"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'1Malaysia belum yakinkan kaum Cina di S'wak'

Konsep 1Malaysia masih belum menyakinkan lagi masyarakat Cina di Sarawak, kata penganalisa politik, Prof Dr Mohd Agus Yusoff.

“Sebab itu bila dijanjikan dengan pembangunan di Sibu, ada perkara lain yang masyarakat Cina lihat,' kata pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

“Konsep 1Malaysia ini masih belum mampu untuk menambat hati dan sokongan masyarakat bukan Melayu dan Cina di Sibu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Prof Dr Agus menegaskan demikian ketika diminta mengulas kegagalan BN mempertahankan kerusi parlimen Sibu dalam pilihan raya kecil kawasan itu Ahad lalu.

Dalam pilihan raya kecil itu, DAP berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan majoriti tipis 398 undi.

Calon DAP Wong Ho Leng mendapatkan 18,845 undi untuk menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi.

Manakala calon Bebas Narawi Haron mendapatkan 232 undi.

Mengulas lanjut, Prof Dr Agus berkata, terdapat beberapa isu yang masih lagi menjadi persoalan di kalangan rakyat di sana.

“Seperti contoh isu keadilan masih lagi belum terjawab," katanya sambil menambah BN perlu memikirkan semula, kemungkinan masyarakat Cina melihat isu ketuanan Melayu dan sosio-kontrak.

"Mereka juga perlu menterjemahkan konsep 1Malaysia ini untuk kebaikan semua kaum,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya tingkah laku pemimpin BN diperbaiki.

“Pemimpin ni bila jumpa di sini cakap ini, bila disana cakap lain pula. Ini membuatkan rakyat rasa, pemimpin tidak jujur dengan mereka.

“Antara kemungkinan lain pula ialah mereka berasa tidak puas hati dengan (Ketua Menteri Tan Sri) Taib Mahmud kerana lama sangat (menerajui Sarawak).

"Mungkin orang di Pusat boleh terima beliau, tetapi mungkin (rakyat) negeri (itu) tak boleh terima beliau,” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: