"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua sisi Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat bijak apabila berjaya memenuhi kehendaknya sendiri dan turut mengasingkan kehidupan peribadi dan keluarganya daripada persekitaran politik.

Penulis Barry Wain juga berkata dari sudut ini beliau melihat Mahathir sebenarnya mendukung hukum politik yang berbeza sama sekali daripada persepsi umum terhadap mantan perdana menteri itu.

Wain berkata beliau mendapati Mahathir sebenarnya merupakan seorang yang mementingkan keluarga atau'family man', berdasarkan temubualnya dengan anggota keluarga negarawan tersebut.

Katanya, anak-anak Mahathir terdidik dengan nilai-nilai penting untuk menjalani kehidupan -- supaya kuat berusaha, berperangai baik dan saling menghormati.

Namun, menurut Wain lagi, Mahathir tidak dapat membuktikan nilai moral yang ditanam itu dengan tindakannya mengheret individu tertentu ke penjara di bawah ISA.

Tun Musa Hitam, seorang seteru politik Mahathir mengungkapkan sisi tersebut dengan jelas, katanya.

"(Dalam kes Mahathir) 'Anda boleh jadi sahabat saya hari ini, tapi pagi esok, anda boleh jadi musuh saya hingga akhir hayat'," kata wartawan veteran itu.

Wain mengakui tersentak apabila mengetahui mengenai keupayaan Mahathir untuk merahsiakan aktiviti politiknya daripada keluarganya sendiri.

Malah, Mahathir juga merahsiakan mengenai sepucuk surat tulisannya, yang keras mengkritik Tunku Abdul Rahman, perdana menteri ketika tragedi 13 Mei 1969 berlangsung.

Isteri Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah hanya mengetahui berkenaan surat tersebut selepas ianya diposkan.

"Ketika dia menulis (surat tersebut), mungkin dia menjangkakan Tunku akan memenjarakannya, (jadi) dia tidak (perlu) memberitahu isterinya," kata Wain dalam temebual eksklusif dengan
Malaysiakini.

'Mahathir benar-benar menangis'

Tambahnya lagi, Mahathir terlalu menumpukan untuk membangunkan Malaysia sehingga 'terlupa' dengan masalah yang dihadapi masyarat Melayu luar bandar.

Sedangkan, golongan inilah yang didukung oleh Mahathir pada peringkat awal karier politiknya, kata Wain lagi.

Katanya lagi, Mahathir memilih untuk terus membina sokongan kepada minorit Melayu elit yang telah pun mendapat keuntungan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Walaupun dasar tersebut telah menyimpang daripada matlamat asalnya, Mahathir tidak menumpukan sepenuhnya untuk membuat pembaikan, termasuk di dalam Umno sendiri, katanya.

"Saya rasa dia sebenarnya terlupa (dengan golongan Melayu yang terpinggir)... Tidak ada ruang untuk pekebun kecil Melau, petani dan nelayan (dalam wawasannya).

"Apabila saya membincangkan tajuk ini dengan (Musa Hitam) -- tapi saya tidak mengulasnya di dalam buku ini -- (Musa) memberitahu saya bahawa dia selalu mengingatkan Mahathir bahawa golongan Melayu yang terpinggir sedang ketinggalan.

"(Tetapi Mahathir) meletakkan wawasannya jauh ke hadapan dan dalam pelan besarnya itu (golongan Melayu luar bandar) tidak termasuk dalam wawasannya," katanya lagi.

Tambahnya lagi, Mahathir juga amat taksub dengan wawasannya sendiri dan begitu kecewa apabila ia gagal dicapai.

Mengimbas kembali drama yang berlangsung ketika Mahathir menangis ketika memberi ucapan terakhir sebagai presiden Umno di perhimpunan parti itu, Wain berkata linangan air mata itu bukanlah dibuat-buat.

"Saya langsung tidak fikir dia berlakon semata-mata. (Mahathir) menangis kerana hatinya benar-benar diruntun emosi," katanya lagi.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: