"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakar forensik bedah siasat jenazah Ramli petang ini

Hafiz Irwan
KOTA BHARU, 19 Mei:
Jenazah pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang ditembak dari jarak lelaki tidak dikenali 1 Mei lalu, dijangka disembahyangkan di Masjid Muhammadi petang ini.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II kira-kira jam 3.15 pagi tadi.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata, pakar forensik daripada Kuala Lumpur dijangka tiba jam 3 petang ini untuk melakukan bedah siasat.

“Jenazahnya akan dikapan di hospital berkenaan selepas itu sebelum dibawa ke Masjid Muhammadi untuk disembahyangkan. Jenazahnya akan dibawa pulang ke kampungnya di Kok Keli, Tumpat untuk disemadikan,” katanya ditemui di pekarangan rumah mayat di sini.

Pada kejadian 1 Mei lepas, Ramli sedang menunggang motosikal pulang ke rumah selepas tamat bertugas, ditembak seorang suspek yang tidak dikenali di Kampung Kok Keli.

Akibat serangan itu beliau mengalami kecederaan parah akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat.

Sebelum ini doktor berjaya mengeluarkan sebutir peluru yang melekat pada dadanya. Namun beliau masih berada dalam keadaan kritikal dan semalam organ utamanya dikatakan dijangkiti kuman.

Abdul Halim juga berkata, kira-kira jam 11.30 malam tadi Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra menziarahi Ramli di hospital, beberapa jam sebelum beliau meninggal dunia.

Baginda juga menghulur sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 kepada keluarganya bagi mengurangkan beban dihadapi mereka. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

Turut kelihatan di perkarangan rumah mayat pegawai-pegawai Istana Kelantan bersama Abdul Halim.

Manakala dalam perkembangan lain malam tadi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien mengadap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota.

Tiada ulasan: