KUALA LANGAT 15 Sept. - Seorang pemilik bengkel kereta di pekan Banting dekat sini mendakwa kematian isterinya pada tahun lalu ada hubung kait dengan suspek utama iaitu seorang peguam yang kini ditahan untuk membantu siasatan kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lagi di Tanjung Sepat, baru-baru ini.
P. Balasandam, 54, berkata, dia yang turut cedera parah dalam insiden dua tahun lalu pernah menjalinkan kerjasama dengan suspek atas urusan pinjaman wang sejak 2006.
Katanya, dia bertindak sebagai pemberi pinjaman mencecah berpuluh ribu ringgit manakala suspek pula menyediakan dokumen perjanjian.
Namun, katanya, keadaan bertukar menjadi masalah apabila beberapa peminjam enggan melunaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.
"Masalah yang timbul adalah peguam itu mendakwa saya pula mengugut peminjam menyebabkan wang yang saya beri tidak mahu dipulangkan.
"Ekoran itu, saya telah ditahan lokap di Balai Polis Teluk Panglima Garang beberapa hari atas dakwaan mengugut," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Cempaka di sini hari ini.
Balasandram juga mendakwa, pada Disember 2008, peguam itu telah mengupah dua lelaki untuk menyerangnya dengan parang menyebabkan kedua-belah bahunya, kening, kepala dan hidung mengalami cedera parah.
Katanya, kejadian itu berlaku di bengkel keretanya di pekan Banting.
Namun, kemuncaknya, kata Balasandram adalah apabila isterinya, T. Selvi, 46, dibunuh setelah diserang di kawasan rumah mereka. Isterinya ditikam di bahagian dada, perut pada April 2009 kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, dia bersetuju menjalinkan kerjasama dengan suspek ketika itu kerana mereka ada pertalian saudara dan para peminjam juga sudah lama dikenali.
"Sehingga kini kes saya diserang dan isteri dibunuh masih belum selesai," ujarnya.
-utusan-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan