Tinjauan Bernama berhampiran sungai itu yang terletak di jalan utama menuju Banting-Tanjung Sepat mendapati pasukan polis memeriksa bahan yang kelihatan seperti tulang berwarna kelabu kehitam-hitaman.
Daripada pemerhatian, terdapat beberapa penandaan (marking) diletakkan pada bahan-bahan itu.
Memandangkan para wartawan tidak dibenarkan menghampiri kawasan operasi itu, mereka terpaksa berpusing di sekitar kawasan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.
Polis hari ini mengesahkan bahawa Sosilawati dan tiga orang lain mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.
Tiga orang lagi itu ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah. Operasi polis ini menarik perhatian orang ramai yang cuba memperlahankan kenderaan masing-masing untuk melihat apa yang sedang berlaku.
Sementara itu, orang ramai turut berkumpul di satu kawasan yang terletak kira-kira 600m dari Ladang Gadong, tempat di mana mangsa-mangsa dipercayai dibakar.
Kira-kira pukul 6 petang, polis mengarahkan mereka bersurai dan hanya membenarkan wartawan berada di situ.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan