KUALA LUMPUR, 18 Sept—Tempoh tahanan reman seorang peguam yang mendakwa dirinya bergelar “Datuk” bersama adiknya dan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dilanjutkan sehingga 25 September ini.
Majistret Mohd Azeli Ibrahim hari ini membenarkan lanjutan tahanan reman ke atas ketiga-tiga lelaki yang berumur lingkungan 30 dan 40an itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kes tersebut.
Perintah dikeluarkan Mohd Azeli di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil di sini, iaitu tempat semua suspek terbabit ditahan.
“Datuk” itu dan adiknya yang juga seorang peguam adalah suspek pertama yang ditahan polis pada 9 September di Banting, manakala enam lagi ditahan pada 10 September.
Sementara itu seorang jurucakap polis mengesahkan bahawa tempoh reman ke atas lima lagi suspek disambung hingga Khamis ini.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 September lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayatnya dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan