"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pastor Jones sudah ‘kubur’ kempen bakar al-Quran

NEW YORK, 12 Sept: Pastor Terry Jones menegaskan gereja diketuainya tidak akan membakar al-Quran sebagai tanda memprotes projek pembinaan pusat Islam beserta masjid berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang ranap dalam serangan pengganas sembilan tahun lalu.

Dalam temu bual kepada program TODAY siaran NBC semalam, Jones dari gereja kecil di Gainesville, Florida berkata: “Kami pastinya tidak akan membakar al-Quran, tidak.”

“Tidak pada hari ini, tidak selama-lamanya,” kata beliau ketika ditekan dengan soalan sama ada berhasrat untuk berbuat demikian pada masa-masa akan datang.

Jones menjelaskan, perkara itu tidak akan berlaku meskipun pusat Islam yang dimaksudkan akan dibina berhampiran WTC.

Beliau terbang ke New York untuk muncul dalam program TODAY dan memberitahu pengendali program itu Carl Quintanilla bahawa tiada pertemuan diaturkan untuk berbincang dengan Imam New York Feisal Abdul Rauf.

Bagaimanapun beliau masih berharap untuk bertemu dengan imam itu kemudian hari.

“Meskipun kami tidak membakar satu naskhah al-Quran pun, tetapi kami sudah menerima 100 ancaman bunuh,” kata Jones.

“Kami merasakan bahawa Tuhan meminta kami menghentikan (perkara ini), dan kami berharap begitu... kemungkinan yang itu akan membuka pintu untuk, kemungkinan boleh mengadakan perbincangan dengan imam (Feisal),” katanya lagi.

Jones berkata matlamat gereja Dove World Outreach Center diterajuinya adalah untuk “mendedahkan adanya elemen Islam yang sangat berbahaya dan sangat radikal.”

Beliau memberitahu NBC bahawa “kami sememangnya telah mencapai misi itu.

Semalam, Feisal berkata pihaknya tidak bercadang untuk bertemu dengan Jones yang sebelum ini mengancam mahu membakar al-Quran.

“Saya bersedia untuk bertemu sesiapa sahaja, yang dengan serius mahu menegakkan keamanan. Kami tiada rancangan pertemuan sedemikian pada masa sekarang.

“Pendirian kami untuk mengadakan pusat komuniti (dekat dengan tapak WTC) tidak berubah.

“Ketika detik hari 11 September yang menyedihkan di depan kita, saya meminta setiap daripada kita meluangkan masa untuk mengadakan solat dan muhasabah diri,” kata Feisal dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Amerika Syarikat mengadakan ulang tahun kesembilan memperinghati mangsa serangan itu semalam manakala umat Islam seluruh dunia menyambut Syawal.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: