Semalam, di antara jam 12 tengahari dan 5 petang saya berada di kawasan lobi Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Kuala Langat, Selangor, menunggu.
"Datuk ada di atas tengah buat laporan polis," kata sumber.
Datuk, ahli perniagaan dikatakan sepatutnya bertemu suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya 3 hari lalu untuk menuntut kembali wangnya berjumlah 1.5 juta ringgit berikutan 2 transaksi beli jual tanah di Pulau Pinang.
Saya dan penerbit 999, Shahnun Hanif akhirnya berjaya menemubual ahli perniagaan terbabit awal malam tadi di rumah beliau.
Menurut beliau, transaksi pertama pada bulan Mac 2008 membabitkan rakan kongsi perniagaannya, Datuk Sosilawati, suspek utama dan 2 orang kenamaan lain.
"Kami sepatutnya mendapat keuntungan 4 juta ringgit dalam tempoh 6 bulan, hasil beli jual tanah itu, bahagian saya 500,000 ringgit tetapi selepas lebih 2 tahun peguam terbabit (suspek utama) tidak menyerahkan wang itu kepada kami," kata datuk berusia 42 tahun terbabit.
Lokasi tanah seluas 30 ekar terbabit di Batu Feringgi.
"Transaksi ke dua, membabitkan seorang rakan kongsi, kami membayar deposit 1 juta ringgit. Suspek utama kemudian berjanji memulangkan wang itu kembali pada 13 September lalu, mujur saya berada di Johor, beraya pada ketika itu," tambahnya.
Setelah diperiksa, tanah di Butterworth terbabit diragui status hak miliknya.
Datuk terbabit dan rakan kongsinya membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuala Langat pada jam 11 pagi semalam namun enggan bertemu saya pada waktu itu.
"Saya bersyukur tidak bertemu dengan suspek, jika tidak, mungkin saya menjadi mangsa ke lima," tambah beliau.
Temubual bersama beliau akan disiarkan dalam 999, jam 9 malam esok. Bagaimana pun identiti datuk terbabit tidak dapat kami dedahkan atas faktor keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan