KUALA LUMPUR, 14 Sept: Wanita Keadilan mengecam pembunuhan kejam terhadap jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya Abdullah Yusof bersama pemandu, pegawai bank dan peguamnya.
Mereka meninggal dunia dalam insiden culik, pukul, bunuh dan bakar di Tanjung Sepat, Banting.
“Wanita Keadilan mengecam perbuatan terkutuk ini sebagai sesuatu yang kejam dan zalim.
“Wanita Keadilan juga merasakan tragedi tersebut merupakan satu lagi kes pencabulan terhadap wanita di negara ini,” ujar ketuanya, Zuraida Kamaruddin (gambar) dalam satu kenyataan.
Baginya, perasaan hormat kepada kaum Hawa semakin hari semakin terhakis.
Sebelum ini, katanya negara digemparkan dengan berita kematian ngeri seorang model yang dikenali sebagai Altantuya Shaariibbu beberapa tahun yang lalu yang dibunuh secara kejam dengan letupan bom.
“Peristiwa pembunuhan kejam dan zalim itu tidak wajar dan ini dengan jelas menunjukan bahawa tahap keselamatan rakyat di negara ini khususnya wanita makin tidak terjamin,” katanya.
Menurutnya, akibat daripada sikap lepas pandang dan tidak komitednya PDRM dalam membuat siasatan dan kegagalan menangkap penjenayah sebenar dalam kes Altantuya, menyebabkan ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas ketidakmampuan PDRM menyelesaikan kes pembunuhan tersebut dan juga beberapa kes lain yang melibatkan wanita.
“Masihkah kita ingat kes pembunuhan Mustakhizah?
“Jenayah ini berulang lagi hari ini akibat kegagalan kita sendiri memilih kerajaan yang telus, berwibawa, amanah yang tidak mempergunakan institusi kerajaan untuk kepentingan peribadi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Oleh itu, katanya Wanita Keadilan mengecam kes pembunuhan itu dan menyampaikan perasaan simpati dan takziah kepada keluarga semua mangsa.
Wanita Keadilan, jelasnya mengharapkan satu bentuk tindakan yang tegas oleh pihak PDRM dan berharap Ketua Polis Negara yang baru dilantik dapat membawa perubahan dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat Malaysia sekaligus menyegerakan siasatan dan mengheret semua mereka yang bersalah ke muka pengadilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan