"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Senarai keputusan rasmi PRN Melaka ke-16

Senarai keputusan rasmi PRN Melaka ke-16

N01 Kuala Linggi (15,483 pengundi)
1. Datuk Rosli Abdullah (BN-UMNO) - 7,760
2. Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah (PH-Amanah) - 2,877
3. Dr Nur Farhana Hamzah (Bersama) - 439

Pemenang: Datuk Rosli Abdullah (BN-UMNO) – Majoriti: 4,883
Penyandang (2021): Datuk Rosli Abdullah (BN-UMNO) – Majoriti: 1,836

N02 Tanjung Bidara (15,003 pengundi)
1. Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (BN-UMNO) - 10,079
2. Mohd Yunazri Mustamiri (PH-PKR) - 1,464

Pemenang: Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (BN-UMNO) – Majoriti: 8,615
Penyandang (2021): Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (BN-UMNO) – Majoriti: 364

N03 Ayer Limau (15,379 pengundi)
1. Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-UMNO) - 10,116
2. Mejar (B) Haji Mohd Jaini (PH-PKR) - 1,363

Pemenang: Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-UMNO) – Majoriti: 8,753
Penyandang (2021): Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-UMNO) – Majoriti: 1,085

N04 Lendu (15,043 pengundi)
1. Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (BN-UMNO) - 8,296
2. Nazri Ramli (Bersatu) - 2,211

Pemenang: Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (BN-UMNO) – Majoriti: 6,085
Penyandang (2021): Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-UMNO) – Majoriti: 3,104

N05 Taboh Naning (11,299 pengundi)
1. Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-UMNO) - 6,470
2. Junainah Sahat (PH-Amanah) - 1,443

Pemenang: Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-UMNO) – Majoriti: 5,027
Penyandang (2021): Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-UMNO) – Majoriti: 1,825

N06 Rembia (23,291 pengundi)
1. Ahmad Norazril Abd Aziz (BN-UMNO) - 10,915
2. Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan (PH-PKR) - 4,922
3. Muhamed Aman Akil Abdul Talib (Bersama) - 758

Pemenang: Ahmad Norazril Abd Aziz (BN-UMNO) – Majoriti: 5,993
Penyandang (2021): Datuk Muhammad Jailani Khamis (BN-UMNO) – Majoriti: 860

N07 Gadek (16,617 pengundi)
1. Nadarajah Sellappa (BN-MIC) - 6,472
2. Jegan K (PH-DAP) - 2,958
3. Laila Norinda Maon (Putra) - 1,317
4. Laveen Bala (Bersama) - 287

Pemenang: Nadarajah Sellappa (BN-MIC) – Majoriti: 3,514
Penyandang (2021): P. Shanmugam (BN-MIC) – Majoriti: 559

N08 Machap Jaya (16,030 pengundi)
1. Datuk Ngwe Hee Sem (BN-MCA) - 6,686
2. Datuk Ginie Lim Siew Lin (PH-PKR) - 4,450
3. B. Prasanth Kumar (Bersama) - 281

Pemenang: Datuk Ngwe Hee Sem (BN-MCA) – Majoriti: 2,236
Penyandang (2021): Datuk Ngwe Hee Sem (BN-MCA) – Majoriti: 938

N09 Durian Tunggal (21,181 pengundi)
1. Datuk Dr Mustafa Musa (BN-UMNO) - 10,141
2. Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (PH-Amanah) - 5,494

Pemenang: Datuk Dr Mustafa Musa (BN-UMNO) – Majoriti: 4,647
Penyandang (2021): Zahari Abd Kalil (BN-UMNO) – Majoriti: 559

N10 Asahan (20,217 pengundi)
1. Datuk Dr Fairul Nizam Roslan (BN-UMNO) - 11,731
2. P. Denesh (PH-PKR) - 2,573

Pemenang: Datuk Dr Fairul Nizam Roslan (BN-UMNO) – Majoriti: 9,158
Penyandang (2021): Fairul Nizam Roslan (BN-UMNO) – Majoriti: 2,993

N11 Sungai Udang (29,692 pengundi)
1. Datuk Rais Yasin (BN-UMNO) - 18,317
2. Mejar (B) Abdullah Mahadi (Bersatu) - 2,103
3. Mohd Ridzuan Abdul Rahman (Bersama) - 1,322

Pemenang: Datuk Rais Yasin (BN-UMNO) – Majoriti: 16,214
Penyandang (2021): Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Bersatu) – Majoriti: 530

N12 Pantai Kundor (20,855 pengundi)
1. Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-UMNO) - 8,864
2. Datin Seri Dr Asmah Samat (Bersatu) - 6,112

Pemenang: Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-UMNO) – Majoriti: 2,752
Penyandang (2021): Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-UMNO) – Majoriti: 827

N13 Paya Rumput (46,521 pengundi)
1. Haji Rafie Ahmad (PN-PAS) - 19,723
2. Datuk Azman Abidin (PH-PKR) - 12,538
3. Abdul Rashid @ Rashid Karimi (Bersama) - 1,288

Pemenang: Haji Rafie Ahmad (PN-PAS) – Majoriti: 7,185
Penyandang (2021): Datuk Rais Yasin (BN-UMNO) – Majoriti: 629

N14 Klebang (27,339 pengundi)
1. Datuk Lim Ban Hong (BN-MCA) - 12,522
2. Farzana Hayani Mohd Nasir (PH-PKR) - 5,487
3. Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) - 940
4. Young Jie Yu (Bersama) - 749

Pemenang: Datuk Lim Ban Hong (BN-MCA) – Majoriti: 7,035
Penyandang (2021): Datuk Lim Ban Hong (BN-MCA) – Majoriti: 876

N15 Pengkalan Batu (25,948 pengundi)
1. Siti Aisyah Mahmood (BN-UMNO) - 11,836
2. Jason Tze-Xi Nathan (PH-DAP) - 5,478
3. Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bersatu) - 876
4. Goh Han Koon (Bersama) - 618

Pemenang: Siti Aisyah Mahmood (BN-UMNO) – Majoriti: 6,358
Penyandang (2021): Datuk Kalsom Noordin (BN-UMNO) – Majoriti: 131

N16 Ayer Keroh (38,252 pengundi)
1. Kerk Chee Yee (PH-DAP) - 14,078
2. Datuk Seri Michael Gan Peng Lam (PN-Gerakan) - 8,474
3. Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Bersama) - 1,932
4. Mohd Hamnaim Mohamad (Bersatu) - 1,077

Pemenang: Kerk Chee Yee (PH-DAP) – Majoriti: 5,604
Penyandang (2021): Kerk Chee Yee (PH-DAP) – Majoriti: 5,624

N17 Bukit Katil (35,359 pengundi)
1. Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PN-PAS) - 15,305
2. Adly Zahari (PH-Amanah) - 8,698
3. Dr Aliza Che Amran (Bersama) - 1,119
4. Abu Bakar Sabudin (Bebas) - 115

Pemenang: Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PN-PAS) – Majoriti: 6,607
Penyandang (2021): Adly Zahari (PH-Amanah) – Majoriti: 1,057

N18 Ayer Molek (24,614 pengundi)
1. Mohd Ridhwan Mohd Ali (BN-UMNO) - 16,312
2. Hakimin Mokhtar (PH-PKR) - 3,204

Pemenang: Mohd Ridhwan Mohd Ali (BN-UMNO) – Majoriti: 13,108
Penyandang (2021): Datuk Rahmad Mariman (BN-UMNO) – Majoriti: 2,802

N19 Kesidang (54,910 pengundi)
1. Allex Seah Shoo Chin (PH-DAP) - 21,986
2. Albert Kok Boon Chang (PN-Wawasan) - 12,634
3. Dr Bryan Kek Kit Hun (Bersama) - 2,003

Pemenang: Allex Seah Shoo Chin (PH-DAP) – Majoriti: 9,352
Penyandang (2021): Allex Seah Shoo Chin (PH-DAP) – Majoriti: 10,237

N20 Kota Laksamana (34,066 pengundi)
1. Low Chee Leong (PH-DAP) - 14,599
2. Melvin Chua Kew Wei (BN-MCA) - 5,175
3. Ethan Lim Zhi Hao (Bersama) - 1,582

Pemenang: Low Chee Leong (PH-DAP) – Majoriti: 9,424

N21 Duyong (26,528 pengundi)
1. Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-UMNO) - 15,067
2. Poo Long Suan (PH-DAP) - 5,027

Pemenang: Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-UMNO) – Majoriti: 10,040
Penyandang (2021): Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-UMNO) – Majoriti: 200

N22 Bandar Hilir (23,042 pengundi)
1. Leng Chau Yen (PH-DAP) - 9,942
2. Dr Mohd Nor Rashidi Ab Jalil (Bersama) - 1,315
3. Jasmine Lok Huey Yee (BN-MCA) - 2,085

Pemenang: Leng Chau Yen (PH-DAP) – Majoriti: 7,857
Penyandang (2021): Leng Chau Yen (PH-DAP) – Majoriti: 7,778

N23 Telok Mas (29,751 pengundi)
1. Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN-UMNO) - 16,015
2. Kapten (B) Mohamad Jaafar (PH-Amanah) - 4,901
3. Muhammad Hazwan Mustafa (Bersama) - 918

Pemenang: Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN-UMNO) – Majoriti: 11,114
Penyandang (2021): Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN-UMNO) – Majoriti: 2,076

N24 Bemban (26,381 pengundi)
1. Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Wawasan) - 11,881
2. Dr Muhammad Solehin Saleh (Bersama) - 4,140
3. Muhammad Rabaie Ab Hamid (Bersatu) - 2,109
4. Abd Halim Said (Bebas) - 274

Pemenang: Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Wawasan) – Majoriti: 7,741
Penyandang (2021): Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bersatu) – Majoriti: 328

N25 Rim (17,742 pengundi)
1. Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-UMNO) - 9,847
2. Esma Eazreen Husin (PH-PKR) - 2,757

Pemenang: Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-UMNO) – Majoriti: 7,090
Penyandang (2021): Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-UMNO) – Majoriti: 1,327

N26 Serkam (21,352 pengundi)
1. Datuk Azman Abdullah (BN-UMNO) - 14,632
2. Muhammad Faiq Azman (PH-PKR) - 1,943
3. Muhammad Saffie Md Yasan (Bersama) - 425

Pemenang: Datuk Azman Abdullah (BN-UMNO) – Majoriti: 12,689
Penyandang (2021): Datuk Zaidi Attan (BN-UMNO) – Majoriti: 79

N27 Merlimau (19,759 pengundi)
1. Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-UMNO) - 11,703
2. Rahayu Hamzah (PH-Amanah) - 2,979

Pemenang: Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-UMNO) – Majoriti: 8,724
Penyandang (2021): Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-UMNO) – Majoriti: 3,248

N28 Sungai Rambai (16,043 pengundi)
1. Jezlee Pit (BN-UMNO) - 9,610
2. Aminuddin Abdul Jalil (PH-Amanah) - 2,112
3. Norrizan Jantan (Bebas) - 486

Pemenang: Jezlee Pit (BN-UMNO) – Majoriti: 7,498
Penyandang (2021): Siti Faizah Abdul Azis (BN-UMNO) – Majoriti: 1,137

PRN Melaka: BN rampas Sungai Udang, pertahan 20 kerusi tradisi

KOSMO!

PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Sungai Udang daripada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, sekali gus mengekalkan penguasaan 21 daripada 28 kerusi DUN sebagaimana pencapaian pada PRN 2021.

Kerusi Sungai Udang yang sebelum ini menjadi milik PN pada PRN 2021 menerusi kemenangan calonnya, Dr. Mohd Aleef Yusof dengan majoriti tipis 530 undi, kembali ke pangkuan BN pada pilihan raya kali ini menerusi calonnya, Datuk Rais Yasin.

Rais yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka menang bergaya dengan majoriti besar 16,214 undi dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),Mejar (B) Abdullah Mahadi dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Ridzuan Rahman.

Kemenangan di Sungai Udang itu juga merupakan satu-satunya kerusi yang bertukar tangan kepada BN berbanding keputusan PRN 2021, apabila parti berkenaan berjaya mempertahankan kesemua 20 kerusi lain yang disandangnya sebelum ini.

Antara 20 kerusi tradisi dan kubu kuat yang berjaya dikekalkan BN ialah N01 Kuala Linggi, N02 Tanjung Bidara, N03 Ayer Limau, N04 Lendu, N05 Taboh Naning, N06 Rembia, N07 Gadek, N08 Machap Jaya, N09 Durian Tunggal, N10 Asahan dan N12 Pantai Kundor.

Selain itu, N14 Klebang, N15 Pengkalan Batu, N18 Ayer Molek, N21 Duyong, N23 Telok Mas, N25 Rim, N26 Serkam, N27 Merlimau dan N28 Sungai Rambai.
Sementara itu, PN yang kali ini bertanding sebagai rakan gabungan bersama BN turut berjaya merampas satu kerusi baharu daripada Pakatan Harapan (PH), iaitu N17 Bukit Katil menerusi calonnya, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif yang menewaskan penyandang kerusi tersebut daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari.

Selain merampas Bukit Katil, PN turut mempertahankan kerusi N24 Bemban melalui Dr. Mohd Yadzil Yaakub serta memenangi kerusi N13 Paya Rumput, menjadikan keseluruhan penguasaan gabungan BN-PN mencecah 24 kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Bagi PH pula, gabungan itu hanya berjaya mempertahankan empat daripada lima kerusi yang dimenanginya pada PRN 2021 iaitu N16 Ayer Keroh, N19 Kesidang, N20 Kota Laksamana dan N22 Bandar Hilir yang kesemuanya diwakili calon DAP. – KOSMO! ONLINE

Setakat 7.00 pm BN sedang mendahului di lima kerusi manakala PH pula tiga kerusi

BN sedang mendahului di lima kerusi manakala PH pula tiga kerusi, berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Kerusi yang sedang dikuasai BN ialah Lendu, Asahan, Sungai Udang, Rim, Ayer Molek dan Merlimau.

PH pula mendahului di kerusi tradisi mereka iaitu Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

Dah derhaka tetap derhaka

MB, 10 bekas exco tarik balik surat pertikai Tuanku Muhriz kepada Majlis Raja-Raja
Malaysiakini


Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim bersama 10 bekas anggota exco negeri menarik balik pendirian mereka sebelum ini yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Langkah itu dilihat membuka ruang kepada penyelesaian krisis perlembagaan negeri yang berlarutan sejak tujuh bulan lalu, ketika kerajaan negeri berdepan keperluan mendesak untuk meluluskan Belanjawan 2027.

Ia sekali gus membatalkan pendirian Ismail pada 17 Sept lalu yang menyokong usaha mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pemerintah baru Negeri Sembilan, yang tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, langkah itu tidak menyelesaikan pertikaian berhubung pemecatan 10 exco terbabit, yang masih dicabar di mahkamah.

Dalam sepucuk surat yang didakwa ditandatangani Ismail dan 10 bekas exco berkenaan, mereka memaklumkan keputusan sebulat suara untuk menarik balik kandungan surat yang dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja pada 17 Sept lalu.

Surat bertarikh 10 Nov yang dilihat Malaysiakini itu ditujukan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.

"Saya bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September 2026 tersebut," menurut surat berkenaan.

Surat itu turut mengambil maklum kenyataan Majlis Raja-Raja pada 14 Okt serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut surat itu, keputusan tersebut dibuat bagi menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan memastikan kelangsungan pentadbiran negeri.

"Kami menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan," menurut surat berkenaan.

Dokumen itu turut memaparkan tandatangan yang didakwa milik kesemua 10 bekas exco daripada Umno, MCA, PAS dan Parti Wawasan Negara.

Akuan penerimaan yang dilampirkan pula memaparkan tandatangan atas nama Syed Danial serta cap Istana Negara bertarikh 11 Nov.

Malay Mail yang memetik sumber, melaporkan Ismail bertemu Syed Danial minggu ini untuk menyerahkan surat berkenaan.

Portal itu turut melaporkan Ismail dijangka menghadap Tuanku Muhriz bagi menyatakan taat setia dan mendapatkan perkenan mengadakan sidang DUN.

Sebelum ini, pada 16 Okt, Tuanku Muhriz menegur Ismail secara terbuka di Kuala Pilah berhubung surat yang mempertikaikan kedudukan baginda.

"Selagi dia tak tarik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya..." titah baginda dalam petikan yang dipendekkan.

Ismail sebelum ini mengakui menandatangani dokumen berkaitan pemasyhuran penyingkiran Tuanku Muhriz, tetapi mendakwa dia berbuat demikian dalam keadaan terpaksa.

Pemasyhuran itu bertarikh 19 April, manakala Ismail dilaporkan menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos.

Walaupun kemudian menyatakan taat setia kepada Tuanku Muhriz, Ismail pada 17 Sept mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan pewartaan pemasyhuran yang mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pemerintah baru.

Jabatan Peguam Negara bagaimanapun menyatakan pemasyhuran itu tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pula memaklumkan pihaknya tidak akan mewartakan atau melaksanakan pemasyhuran itu.

Belanjawan 2027 menanti perkenan sidang

Pentadbiran negeri beroperasi tanpa barisan exco selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota berkenaan berkuat kuasa 20 Sept atas alasan melanggar ikrar taat setia. Pembatalan itu diwartakan pada 24 Sept.

Ismail mempertikaikan tindakan tersebut atas alasan ia memerlukan nasihat menteri besar manakala 10 bekas exco terbabit mencabar pembatalan pelantikan mereka di mahkamah.

Ismail sebelum ini berpendirian untuk menunggu keputusan mahkamah sebelum mengisi kekosongan itu, sambil menegaskan dia masih mendapat sokongan 24 Adunke rajaan yang lain.

Pertikaian mengenai pembatalan pelantikan exco itu masih dibawa ke mahkamah, dengan Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Dis untuk mendengar permohonan berhubung persoalan undang-undang yang timbul daripada kes berkenaan.

Sementara itu, sidang DUN yang ditangguhkan daripada 16 Okt dirancang berlangsung pada 26 Nov, diikuti pembentangan Belanjawan 2027 keesokan harinya.

Bagaimanapun, tarikh berkenaan masih tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.

Kelewatan meluluskan belanjawan berisiko menjejaskan pembiayaan operasi dan perkhidmatan kerajaan negeri tahun depan.

Pada 14 Okt, Raja-Raja Melayu menyeru pihak terbabit mencari penyelesaian melalui saluran undang-undang dan adat yang sah, selain mengingatkan pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian itu.

Kemelut adat tercetus apabila Undang Yang Empat dari Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pertikaian itu turut membabitkan kedudukan Mubarak Thahak sebagai Undang Sungai Ujong selepas DKU pada 17 April menerima pemecatannya yang berkuat kuasa 13 Mei 2025.

Dua hari kemudian, Mubarak bersama tiga pembesar lain mengisytiharkan penyingkiran Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai penggantinya.

Warta bertarikh 23 Okt kemudian merekodkan pemberhentian Mubarak dan Undang Jelebu Maarof Mat Rashad, serta pengiktirafan Muhammad Faris Johari dan Hassan Ab Hamid sebagai Undang Sungai Ujong dan Rembau masing-masing.

Bagaimanapun, Tunku Nadzaruddin bersama kumpulan pembesar terbabit pada 29 Okt menolak pewartaan itu dengan mendakwa keputusan DKU yang menjadi asasnya tidak sah.

Lelaki maut ditikam, suspek diburu polis

Juwan Riduan
Pegawai dan anggota Unit Forensik IPK menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di tingkat satu bangunan Sulaman Sentral, Manggatal, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas ditikam di dada dalam satu pergaduhan dengan individu yang dipercayai dikenalinya di sebuah bangunan di Sulaman Sentral, Manggatal, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an dibawa abangnya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi.

Susulan kejadian itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan serta mengumpul bahan bukti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, manakala usaha mengesan dan memburu suspek yang melarikan diri sejurus kejadian sedang giat dilakukan.

Wanita maut dipercayai dijerut anak sendiri

Norzamira Che Noh
Seorang wanita ditemui maut di kediamannya di Banting, hari ini. – Foto NSTP
SHAH ALAM: Seorang wanita tempatan ditemukan maut dipercayai dijerut di bahagian leher oleh anaknya dalam kejadian di sebuah rumah di Banting, Kuala Langat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dijerut di bahagian leher.

“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

Cemar Al-Quran: Lelaki dipenjara 12 bulan, denda RM250,000

Bernama

Mahkamah arah lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang lelaki kerana mencemarkan Al-Quran bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan sebagai peringatan kepada orang awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular selepas memijak Al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial dipenjara 12 bulan, dan didenda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan kerana mencemarkan Al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial, Februari lepas.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu semalam selepas S Vikneswaran, 21, yang juga bekas pelajar sebuah universiti mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum (12 Nov) dan mengarahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Hakim berkata hukuman yang dikenakan bukan sahaja bagi memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga sebagai peringatan kepada orang awam supaya tidak melakukan perbuatan serupa.

Amirull Afiqq Lokman yang mewakili Vikneswaran selaku peguam memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan difailkan atas alasan anak guamnya mempunyai tarikh-tarikh untuk rawatan perubatan psikiatri. Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Sabri Othman, membantah kerana tiada keadaan khas yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Sehubungan itu, tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut Islam iaitu Al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota kira-kira 1.30 tengah hari pada 22 Feb lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menggunakan akaun Threads “ryandaselva” secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran suatu komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu dikesan selepas bapa tertuduh iaitu pengadu dalam kes dihubungi anak perempuannya pada 24 Feb lepas yang memaklumkan mengenai satu video tular di Threads yang memaparkan perbuatan tertuduh.

Pengadu kemudian menghubungi tertuduh mengenai video tular tersebut dan tertuduh mengaku kepada pengadu yang video tular itu adalah dirinya.

Tertuduh kemudiannya ditangkap pada 25 Feb. Hasil analisis di media sosial dan laporan syarikat telekomunikasi mengesahkan akaun serta nombor telefon yang digunakan adalah milik tertuduh dan keluarganya.

Hilang tak sampai 24 jam, wanita ditemukan lemas di Sungai Johor

MASTURAH SURADI
Mayat wanita yang dilaporkan hilang semalam ditemui lemas di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh, Kota Tinggi petang tadi.
​KOTA TINGGI – Kebimbangan sebuah keluarga selepas seorang wanita dilaporkan hilang petang semalam berakhir tragedi apabila mangsa ditemukan lemas di Sungai Johor kurang daripada 24 jam selepas laporan dibuat.

​Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita warga tempatan berusia 32 tahun itu pada pukul 5.36 petang semalam selepas lokasi terakhir mangsa dikesan berada di sekitar bandar Kota Tinggi.

​Menurutnya, bertindak atas maklumat, satu kertas siasatan orang hilang dibuka dan sepasukan anggota polis diketuai Ketua Polis Balai Kota Tinggi segera digerakkan bagi mengesan mangsa.

“Pada pukul 3.45 petang semasa operasi mencari dan menyelamat oleh polis dibantu nelayan setempat menemui seorang wanita dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh.
​
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Susulan penemuan itu, waris kepada mangsa telah dipanggil ke lokasi untuk membuat pengecaman awal dan telah mengesahkan mayat wanita yang ditemui tersebut adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

​Tambahnya mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik Hospital Sultan Ismail untuk tindakan prosedur siasatan dan kes diklasifikasikan dibawah laporan mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Aksi TikTok bertukar tragedi, remaja maut dibaham harimau

Wartawan Luar Negara
LAHORE: Seorang remaja lelaki maut dibaham seekor harimau betina di hadapan keluarganya ketika menjalani penggambaran video TikTok di sebuah ladang persendirian di Pakistan.
Dua individu termasuk seorang pempengaruh media sosial ditahan kerana didakwa membenarkan haiwan itu keluar dari kandangnya bagi menghasilkan kandungan untuk media sosial.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Talha, 19, mengalami kecederaan parah dalam serangan mengerikan itu di Kahna, wilayah Lahore sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Polis menahan pemilik zoo, Fayyaz dan pencipta kandungan dalam talian, Norman Hassan selepas kejadian pada Rabu lalu.

Menurut pihak berkuasa, Norman meminta harimau betina itu dilepaskan dari kandangnya di sebuah ladang pembiakan hidupan liar bagi tujuan rakaman video media sosial.

Bagaimanapun, haiwan itu tiba-tiba menerkam Talha ketika penggambaran sedang berlangsung.

Bapa mangsa dan abangnya, Hashim yang turut bekerja di ladang berkenaan menyaksikan kejadian itu.

Polis mendakwa pempengaruh TikTok berkenaan cuba menyembunyikan kejadian sebenar dengan mendakwa kecederaan mangsa berpunca daripada serangan anjing.

Namun, siasatan polis mendapati kecederaan Talha sebenarnya disebabkan serangan harimau betina berkenaan.

Haiwan itu kini diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.

Pihak berkuasa turut menyiasat sama ada ladang berkenaan mempunyai lesen yang diperlukan untuk memelihara haiwan liar itu.

Polis berkata, minat terhadap TikTok tidak seharusnya mengatasi nilai nyawa manusia.

“Tiada sesiapa boleh dibenarkan membahayakan nyawa manusia atas nama hobi atau hiburan.

“Percubaan menyembunyikan fakta serta segala bentuk kecuaian akan disiasat,” menurut kenyataan polis. -AGENSI
-Utusanonline

Kedah: Mayat wanita terapung tanpa pakaian dikesan cedera di muka, alat suli

Sinar Harian
Lokasi mayat wanita ditemukan terapung berdekatan Pekan Lama Sungai Petani. -Foto Sinar Harian
Lokasi mayat wanita ditemukan terapung berdekatan Pekan Lama Sungai Petani. -Foto Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Mayat seorang wanita ditemukan terapung tanpa pakaian di sungai berhampiran Pekan Lama di sini pada Khamis, dikesan mengalami kecederaan pada bahagian muka dan alat sulit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kecederaan itu berkemungkinan akibat kesan gigitan haiwan.

"Kita kenal pasti kecederaan di muka dan alat sulit mungkin akibat dimakan haiwan.

"Setakat ini, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, orang ramai yang melalui kawasan berkenaan terkejut selepas melihat mayat manusia dalam keadaan mereput terapung di lokasi kejadian.

Menurut Hanyan, polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 1.30 petang.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai ahli keluarga dilaporkan hilang supaya tampil membantu siasatan polis.

Katanya, setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -Sinar Harian

Pekerja Bangladesh pulang dari Malaysia haru biru disambut 3 isteri

KOSMO!
KOMBINASI gambar menunjukkan kekecohan yang berlaku apabila seorang lelaki disambut tiga wanita dipercayai isterinya di sebuah lapangan terbang di Bangladesh, baru-baru ini. – AGENSI
DHAKA –  Seorang lelaki Bangladesh yang bekerja di Malaysia berdepan situasi ‘haru biru’ apabila pulang ke negara asalnya, demikian menurut portal video The Quillcast.

Klip video kejadian tersebut dimuat naik di laman Instagram baru-baru ini sebelum menjadi tular. 

Rakaman itu menunjukkan dia disambut oleh tiga wanita yang dipercayai isterinya secara serentak sebaik selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal dengan menaiki penerbangan dari Malaysia.

Situasi yang pada mulanya gembira,   bertukar kecoh apabila ketiga-tiga isteri mula menariknya supaya  pulang ke rumah masing-masing.

Insiden itu turut dikongsi di platform Tiktok dan menunjukkan beberapa wanita mengerumuni lelaki tersebut, manakala orang ramai termasuk petugas media dilihat berada di lokasi. 

Menurut keterangan video di laman  TikTok, ketiga-tiga wanita itu dilaporkan bertengkar tentang isteri mana yang berhak untuk membawa pulang suami mereka.

Identiti lelaki dan tiga wanita itu tidak dapat disahkan secara bebas, manakala insiden tersebut dikatakan berlaku pada 10 November lalu.

Sama ada insiden tersebut adalah lakonan atau berlaku secara spontan juga tidak dapat disahkan secara bebas.  – AGENSI 

Bom disangka manisan meletup dalam mulut

AFP

New Delhi: Seorang lelaki maut selepas bom buatan sendiri yang dibuat menjadi manisan tradisional India meletup di dalam mulutnya, menurut polis, pada Jumaat.

Peranti berbahaya itu lazimnya digunakan sesetengah komuniti luar bandar untuk membunuh babi hutan dengan memasukkan serbuk letupan ke dalam bebola doh.

Bagaimanapun, bentuknya menyerupai rasgulla, sejenis manisan tradisional India berbentuk bulat, lembut dan direndam dalam sirap gula yang biasanya dimakan sebiji tanpa dipotong.

Mangsa, Rajendra Barautiya, 35, sedang berkumpul bersama beberapa penduduk berhampiran unggun api di daerah Dindori, negeri Madhya Pradesh, tengah India, pada Selasa lalu.

Seorang penduduk kampung kemudian membawa objek menyerupai manisan itu sebelum seorang lagi memberikannya kepada mangsa.

Pegawai polis, Rekha Singh, berkata bom yang digunakan sesetengah penduduk suku kaum di kawasan itu untuk membunuh babi hutan meletup ketika berada di dalam mulut mangsa.

Mangsa dikejarkan ke hospital dengan kecederaan parah, namun meninggal dunia.

Dua lelaki ditahan dan didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Singh berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada kejadian itu bermotifkan pembunuhan atau sekadar perbuatan nakal.

Tujuh Sasterawan Negara tolak undang-undang 'dua darjat'

Malaysiakini

Tujuh Sasterawan Negara menggesa kedaulatan undang-undang ditegakkan secara adil dan saksama tanpa dua ukuran antara golongan berkuasa dengan rakyat biasa.

Dalam kenyataan bersama bertarikh 12 Nov, mereka menegaskan prinsip itu mesti dilaksanakan tanpa mengira kedudukan, pangkat, kekayaan, pengaruh, keturunan, kaum, agama mahupun latar belakang seseorang.

"Tiada sesiapa yang boleh menganggap dirinya terlalu berkuasa untuk dipertanggungjawabkan, dan tiada sesiapa yang terlalu lemah sehingga dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan," menurut kenyataan itu tanpa menyebut nama atau merujuk kes tertentu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani A Samad Said, Baharuddin Zainal (Baha Zain), Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail dan Rahman Shaari.

Ketujuh-tujuh sasterawan itu juga menyifatkan kedaulatan undang-undang sebagai asas membina negara demokratik, berintegriti dan bermaruah, serta menjamin hak, kebebasan, keselamatan dan keadilan setiap warganegara.

Sebagai karyawan kesusasteraan, mereka menegaskan bahasa dan sastera mempunyai tanggungjawab menyuarakan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

Menurut mereka, martabat negara turut diukur melalui caranya melayani rakyat, khususnya golongan yang tidak mempunyai kuasa, pengaruh dan kemampuan memperjuangkan kepentingan sendiri, selain kemajuan ekonomi, teknologi serta kekuatan institusi.

"Undang-undang yang adil ialah undang-undang yang melindungi semua, bukan hanya mereka yang berkuasa; yang mendengar suara semua termasuk rakyat dan orang kecil, bukan hanya mereka yang berpengaruh; dan yang memberikan keadilan kepada semua, bukan hanya mereka yang mempunyai kemampuan untuk mendapatkannya," menurut kenyataan itu.

Mereka turut mengingatkan prinsip Kedaulatan Undang-undang dalam Rukun Negara perlu dihayati dan dilaksanakan supaya tiada seorang pun berada di atas undang-undang dan tiada seorang pun dinafikan perlindungan undang-undang.

Gesaan tokoh utama sastera tanah air ini hadir ketika perdebatan mengenai pengampunan bersyarat bekas perdana menteri Najib Razak serta pelaksanaan tahanan rumahnya masih berlangsung.

Najib mula menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada 10 Nov, selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pada hari sama.

Perintah itu membolehkannya menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Sept.

Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya kepada enam tahun dan dendanya kepada RM50 juta. Najib akan menghabiskan baki hukuman penjara kes SRC di kediamanya di Jalang Langgak Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028.

Selepas itu, Najib dijadualkan kembali ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara berasingan dalam kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan dana kira-kira RM2.3 bilion, jika rayuannya di mahkamah tidak berpihak kepadanya.

Bekas presiden Umno itu sedang merayu sabitan dan hukuman kes 1MDB itu di Mahkamah Rayuan.

Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas 25 pertuduhan — empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram — serta menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion.

Polis cari 3 lelaki pukul pemandu bas di Terminal Bas Larkin

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
PETIKAN Video tular memaparkan pemandu bas dipukul di Terminal Bas Larkin Sentral.
PETIKAN Video tular memaparkan pemandu bas dipukul di Terminal Bas Larkin Sentral.
Johor Bahru: Polis sedang mengesan tiga lelaki terbabit dalam insiden pemandu bas dikasari di Terminal Bas Larkin Sentral di sini yang tular sejak semalam.

Mereka dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul mangsa serta mengeluarkan ugutan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya mengesan video berkenaan selepas laporan polis dibuat mangsa, 41, pada 1.46 petang semalam.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dipukul dan diugut oleh tiga lelaki di terminal bas berkenaan.

"Punca kejadian masih belum dapat dipastikan lagi. Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azrul Hisham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323," katanya.

Perikatan Nasional masih jauh daripada ‘kerajaan menanti’ berwibawa

Moaz Nair

Masalah utama pihak pembangkang berakar umbi daripada defisit isi yang kritikal.

Dalam mana-mana sistem demokrasi yang sihat, pembangkang yang dinamik bukanlah satu kemewahan, sebaliknya ia merupakan satu keperluan. Peranannya menjangkau jauh daripada sekadar menentang kerajaan sedia ada. Ia mesti bertindak sebagai sebuah ‘kerajaan dalam penantian’ (government-in-waiting) yang berwibawa, dengan menawarkan visi alternatif yang jelas dan boleh dilaksana demi kemajuan negara.

Malangnya, dalam landskap politik kontemporari, pembangkang persekutuan — yang diwakili oleh koalisi Perikatan Nasional (PN) — dilihat gagal memenuhi mandat demokratik ini. Di mata rakyat biasa, mereka semakin gagal menampilkan diri sebagai sebuah pasukan yang bertanggungjawab, bersatu padu, dan mampu mentadbir negara.

Sidang Parlimen kebelakangan ini sebaliknya sering kali bertukar menjadi seperti sarkas politik, bukannya mempertingkat kualiti wacana nasional. Daripada bertindak sebagai penggubal undang-undang yang berwibawa, segelintir tokoh pembangkang lebih gemar berkelakuan seperti badut, dengan bergantung kepada gimik, gangguan, dan pertengkaran mulut semata-mata untuk meraih perhatian media.

Soroti sahaja sidang yang kecoh semasa perbahasan RUU Bekalan 2026, yang melarat menjadi pertengkaran mulut yang memalukan. Dewan Rakyat menyaksikan gelagat sumbang ahli pembangkang saling bertukar hinaan melampau seperti ‘gila’ dan ‘mabuk’ dengan penyokong kerajaan berhubung retorik agama berkaitan alkohol, yang akhirnya menyebabkan seorang Ahli Parlimen pembangkang diarah keluar dari Dewan yang mulia itu.

Defisit isi

Masalah utama pihak pembangkang berakar umbi daripada defisit isi yang kritikal. Pembangkang yang konstruktif sepatutnya berfungsi sebagai rujukan semak dan imbang yang penting terhadap kuasa eksekutif dengan meneliti undang-undang, menyuarakan disiplin fiskal, serta konsisten membangkitkan kebimbangan yang berstruktur mengenai tadbir urus, ketelusan, dan inflasi.

Walaupun PN pantas mengkritik keputusan dasar utama pentadbiran semasa — seperti pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api dan elektrik yang mencetuskan kontroversi serta pengenalan cukai digital dan karbon — kritikan mereka sebenarnya retorik kosong tanpa alternatif.

Apabila masyarakat sivil dan badan pemikir ekonomi menggesa PN mengemukakan rangka kerja alternatif berserta kos yang jelas bagi menangani tekanan kos sara hidup golongan kelas pertengahan, respons yang diberikan amat mengecewakan. Kepimpinan pembangkang secara bulat-bulat menolak keperluan merangka belanjawan negara alternatif, malah menyifatkan usaha tersebut sebagai ‘syok sendiri’ kerana mendakwa ia tidak akan berpeluang untuk dilaksanakan oleh kerajaan sedia ada.

Sikap ini mendedahkan salah faham yang besar terhadap fungsi sebenar pembangkang. Memang mudah untuk menuding jari kepada bumbung yang bocor; namun menyedia dan membentangkan pelan seni bina untuk membaikinya adalah satu tugas yang jauh lebih mencabar.

Kekurangan dasar yang mendalam ini berkait rapat dengan kegagalan mengoptimumkan fungsi serta ketidakstabilan dalaman struktur PN sendiri. Walaupun koalisi berkenaan menubuhkan jawatankuasa portfolio untuk bertindak sebagai Kabinet bayangan, pemimpin-pemimpin utamanya dibidas kerana gagal memacu perdebatan dasar secara mendalam mahupun mengemukakan rang undang-undang (RUU) persendirian yang memberi impak.

Pihak pembangkang dikritik kerana gagal menghasilkan rangka tindakan ekonomi tandingan, sebaliknya lebih selesa menumpukan perhatian kepada politik reaktif.

Pada masa yang sama, kredibiliti struktur pembangkang menerima tamparan hebat apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia membatalkan pendaftaran PN ekoran perbalahan dalaman yang sengit antara PAS dan Bersatu, dengan tokoh-tokoh utama Bersatu secara terbuka mengecam kepimpinan koalisi kerana gagal menguruskan blok tersebut berdasarkan prinsip demokrasi dan ketelusan.

Terlalu bergantung kepada politik identiti

Memburukkan lagi vakum dasar ini adalah pergantungan keterlaluan kepada politik identiti. Para penganalisis sering melihat bahawa pihak pembangkang memberi keutamaan kepada retorik perkauman dan keagamaan yang memecahbelahkan berbanding penyelesaian ekonomi yang konkrit.

Walaupun penyokong berhujah bahawa pendekatan ini meletakkan PN sebagai pejuang visi nasionalis-konservatif, fokus yang sempit ini secara tidak langsung menjauhkan sokongan daripada kumpulan pengundi pelbagai kaum dan etnik. Visi yang dibina semata-mata atas paksi identiti tidak akan mampu menyelesaikan isu turun naik mata wang, memulihkan sistem penjagaan kesihatan, mahupun memperbaik kualiti pendidikan.

Malaysia kini sedang berdepan dengan cabaran global dan domestik yang rumit, yang menuntut perbahasan intelektual yang matang serta teliti. Dengan memilih gimik retorik berbanding alternatif struktur yang membina, pembangkang persekutuan sebenarnya sedang mengecewakan rakyat yang kononnya diwakili oleh mereka.

Untuk diiktiraf sebagai sebuah alternatif kerajaan yang berwibawa, PN mesti meninggalkan aksi sarkas politik, mengaktifkan Kabinet bayangan dengan berkesan, menyelesaikan kemelut dalaman, dan membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mampu mentadbir dengan bersandarkan kebijaksanaan intelek, bukannya politik identiti dan retorik kosong.

Jatuh kolam kumbahan, suami isteri maut berpelukan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suami isteri maut dalam keadaan berpelukan dipercayai jatuh dalam kolam kumbahan ternakan babi di Kampung Kawari, Papar.

Mayat mangsa warga asing itu dilaporkan ditemui sekitar 11.56 pagi tadi, selepas lelaki berkenaan terlebih dulu tergelincir dalam kolam kumbahan ternakan babi tersebut, sebelum isterinya cuba membantu, namun turut jatuh.

Ketua Polis Papar, Heryan Mohd Tahir, berkata sepasukan anggota dari Balai Polis Papar bersama bomba bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta membantu mengeluarkan mangsa.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa adalah pasangan suami isteri warga Indonesia yang bekerja di kandang ternakan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa lelaki dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam kolam kumbahan, manakala isterinya dipercayai cuba membantu tetapi turut terjatuh,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, semua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang petunjuk berlakunya unsur jenayah.

Tetak polis: Suspek tinggal di negara ini secara haram sejak 2020

MEDIA MULIA

KUALA LUMPUR – Lelaki warga asing berusia 32 tahun yang menetak tangan anggota polis hingga putus di Desa Aman Puri dekat Gombak, semalam, pernah memegang pas pelajar dari 2015 hingga 2018.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan mendapati, pasport lelaki terbabit bagaimanapun telah tamat tempoh sejak 2020.

“Sejak itu, lelaki terbabit berada di negara ini secara tidak sah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian semalam, seorang anggota polis berpangkat lans koperal parah selepas pergelangan tangan kanan putus akibat ditetak oleh seorang lelaki warga asing menggunakan parang di Desa Aman Puri dekat Gombak.

Kejadian berlaku apabila polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk di sebuah kediaman di Desa Aman Puri.

Anggota polis bergegas ke lokasi itu bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta petugas Kementerian Kesihatan bagi memeriksa keadaan.

Bagaimanapun, pada pukul 7 malam, suspek secara tiba-tiba meluru keluar rumah dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota keselamatan termasuk menetak seorang anggota polis yang berada di hadapan pintu.

Suspek kemudian mati ditembak selepas sekali lagi menyerang pihak polis.

Buruh ditahan susulan kehamilan murid Tahun Enam

Kadir Edison
Lelaki berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam yang disahkan hamil. – Foto Polis
KABONG: Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam berusia 12 tahun yang disahkan hamil.

Kes itu terbongkar selepas ibu mangsa hadir ke sekolah bersama anaknya untuk memaklumkan mengenai kehamilan berkenaan, selain menyatakan hasrat mahu kanak-kanak itu berhenti sekolah dan berkahwin dengan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, ibu mangsa hadir ke sekolah pada 12 November bagi memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

“Pengadu yang juga guru besar sekolah berkenaan kemudian merujuk perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok sebelum diarahkan membuat laporan polis memandangkan mangsa masih kanak-kanak,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit itu mula berkenalan dengan mangsa sejak pertengahan 2025.

Katanya, kedua-duanya kemudian dipercayai menjalinkan hubungan cinta pada awal tahun ini.

“Mangsa mengaku melakukan hubungan seksual bersama suspek sebanyak tiga kali pada pertengahan Jun lalu,” katanya.

Mangsa dikatakan menyedari dirinya hamil kira-kira seminggu lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya pada 11 November.

Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Saratok diketuai Inspektor Henry Muji menjalankan operasi mengesan suspek.

Lelaki berusia 28 tahun itu kemudian ditahan di sebuah rumah panjang di Kabong bagi membantu siasatan.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tetak polis: Suspek murung selepas kekasih lari ikut lelaki lain

MEDIA MULIA
Tangkap layar menunjukkan suspek keluar dari rumah sebelum menetak anggota polis di Desa Aman Puri, Gombak, semalam.
GOMBAK – Tekanan jiwa selepas ditinggalkan kekasih dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga asing mengamuk sebelum menetak pergelangan tangan kanan anggota polis di Desa Aman Puri di sini, semalam.

Seorang penduduk, Mohd. Aidil Roslan berkata, suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas ditinggalkan kekasihnya yang menetap di blok bersebelahan sejak lebih sebulan lalu.

“Sebelum ini, kami ada lihat dia tinggal bersama kekasihnya, namun wanita terbabit kemudian berpindah ke kediaman lain bersama teman lelaki baharu. Mungkin sebab itu dia murung,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Aman Dua, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek tinggal setingkat di bawah unit kediamannya sering menjerit-jerit, selain kerap bertengkar dengan teman serumah dalam tempoh dua minggu ini.

Katanya, kemuncak kejadian berlaku selepas ada rakan suspek datang dan pujuk untuk membawanya ke hospital.

Dalam kejadian pukul 7 malam semalam, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak seorang lelaki warga asing di Desa Aman Puri.

Suspek kemudian ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang dengan lelaki warga asing itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.

Pergelangan tangan kanan mangsa yang putus berjaya disambung menerusi prosedur mikrosurgeri kompleks selama lapan jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Bapa Altantuya mahu Baginda, Azilah dan Sirul ‘teman’ Najib di rumah?

Harapandaily
Satu tangkap layar yang dikongsikan menerusi Facebook Penang Netizen mencuri perhatian apabila memaparkan komen daripada sebuah akaun menggunakan nama Dr Shaariibuu Setev, bapa kepada mendiang Altantuya Shaariibuu.

Komen itu dipercayai ditinggalkan pada hantaran seorang pengguna Facebook yang mencadangkan supaya 20 hingga 30 banduan lain turut ditempatkan bersama bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang kini menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Menariknya, akaun berkenaan menyebut tiga nama yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya, iaitu Abdul Razak Baginda, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

“If you arrest BAGINDA AZILA AND SIRUL WITH NAJIB, it will be a real punishment,” (Kalau Baginda, Azilah dan Sirul turut dipenjarakan bersama Najib, barulah itu dianggap hukuman yang sebenar) menurut komen berbahasa Inggeris yang dipaparkan dalam tangkap layar berkenaan.

Kenyataan itu boleh difahami sebagai sindiran bahawa jika ketiga-tiga individu tersebut turut ditempatkan bersama Najib, ia akan menjadi satu bentuk hukuman yang sebenar.

Perkongsian itu mencetuskan perhatian kerana nama-nama berkenaan mengingatkan orang ramai kepada kes pembunuhan Altantuya pada 2006 yang pernah menggemparkan negara.

Abdul Razak Baginda, yang ketika itu merupakan penganalisis politik dan kenalan Najib, pernah didakwa bersubahat dalam kes pembunuhan tersebut. Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada pertuduhan pada 2008 tanpa dipanggil membela diri.

Sementara itu, Azilah dan Sirul, kedua-duanya bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), disabitkan bersalah membunuh Altantuya oleh Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Azilah kemudiannya mendapat pengurangan hukuman kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan pada 2024, manakala Sirul berada di Australia selepas melarikan diri dari Malaysia.

Bagaimanapun, komen yang dikongsikan Penang Netizen itu tidak menjelaskan secara terperinci konteks perbualan asal atau senarai individu lain yang dikatakan mahu ditempatkan bersama Najib.

Kesahihan identiti pemilik akaun menggunakan nama Dr Shaariibuu Setev juga belum dapat dipastikan secara bebas.

Namun, kemunculan komen itu sekali lagi menghidupkan perbincangan mengenai kes Altantuya dalam perdebatan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, khususnya apabila isu berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai kesaksamaan hukuman dan layanan terhadap banduan di negara ini.

Empat warga Pakistan samun stesen minyak direman

SITI A'ISYAH SUKAIMI
Empat suspek warga Pakistan dipercayai terbabit dalam kes samun di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam bagi permohonan reman, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD / KOSMO!
BUKIT MERTAJAM – Empat warga Pakistan termasuk dua wanita direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes samun seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Permatang Pauh, Selasa lalu.

Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia antara 23 hingga 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Savinder Singh Jugindar Singh di Mahkamah Bukit Mertajam, di sini hari ini, sehingga 17 November ini.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Difahamkan, kesemua mereka ditahan menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara bermula petang semalam hingga awal pagi tadi.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi, 10 November lalu di sebuah stesen minyak, Jalan Samagagah, Permatang Pauh.

Siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menggunakan modus operandi meminta sumbangan wang daripada orang awam yang berada di kawasan stesen minyak sebelum bertindak melakukan samun.

Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 43 tahun dipercayai mengalami kecederaan sebelum barangan peribadinya dilarikan. Jumlah kerugian akibat kejadian berkenaan dianggarkan sebanyak RM10,000. – KOSMO! ONLINE

PATI: Malaysia terus jadi syurga pendatang

JAMDI NASIR
BARU-BARU ini Kosmo! melaporkan tangkapan 4 tekong rakyat tempatan membawa masuk 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah pangkalan haram di Tanah Merah, Kelantan. Tangkapan terhadap aktiviti jenayah yang kelihatan seperti tidak berkesudahan.

Diandaikan tekong itu sebelum ini melakukan aktiviti sama sekurang-kurang 10 hari sebulan, maka ada kemungkinan 300 PATI telah terlepas masuk ke negara kita yang berdaulat ini.

Andai dia telah melakukan aktiviti sama berbulan-bulan lamanya, maka lebih 3,000 telah berada menetap dan bekerja secara haram di negara ini. Itu di lokasi di Tanah Merah, bagaimana dengan pesisir Kepulauan Tumpat, serta kegiatan jenayah sama di sempadan Kedah/Perlis, pesisir pantai Selangor terutama di Klang, Banting dan Kuala Selangor.

Begitu juga di pesisir Negeri Sembilan di lokasi seperti Port Dickson serta Batu Pahat, Pontian dan Kota Tinggi di Johor. Belum lagi diambil kira kemasukan melalui modus operandi ‘kaunter setting’ di lapangan terbang utama negara.

Dalangnya rakyat tempatan dan berkompromi dengan rakyat asing yang lama bertapak di negara ini. Mereka mengaut untung wang haram bernilai beratus-ratus juta.

Bayangkan jika seorang PATI dikenakan bayaran RM1,000 hingga setinggi RM25,000 bergantung kepada pakej dan perjalanan masuk ke Malaysia. Jika dihitung purata RM5,000 seorang pun mereka mengaut RM5 juta bagi 1,000 PATI.

Apakah 1,000 sahaja yang berjaya melepasi sempadan negara? Lihatlah di sekeliling kita baik di Jalan Silang, Lebuh Pudu, Kotaraya atau di Pasar Borong Kuala Lumpur, Chow Kit dan Bukit Bintang.

Lihat juga di sekitar Maluri, Segambut Dalam, Pantai Dalam, Klang dan Kapar, Subang Perdana, Shah Alam, Balakong serta lokasi-lokasi tumpuan di negeri-negeri.

Keadaan merimaskan ini akan berterusan kerana Malaysia adalah syurga bagi warga asing. Mereka dengan mudah masuk ke negara ini, mempunyai rangkaian bersistematik untuk berlindung, bergerak dan tinggal tanpa takut.

Malah mereka juga yakin berpeluang memperoleh pekerjaan dengan mudah kerana ramai sahaja majikan tamak haloba bersedia menerima sebagai pekerja. Mereka akan disediakan tempat tinggal serta ada pihak yang memberikan ‘perlindungan’ daripada serbuan atau operasi pemeriksaan.

Itulah pakej syurga di Malaysia yang disebar luas oleh PATI yang berada di negara ini kepada rakan-rakan dan saudara-mara mereka di negara asal. Bagaimana jika ditangkap? Rasanya tidak begitu menggerunkan mereka.

Seseorang PATI yang ditangkap akan direman dan kemudian ditempatkan di depot tahanan sementara menunggu pendakwaan. Di sini mereka menikmati makan minum percuma beserta pakej perubatan lengkap.

Selepas pendakwaan jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-dua sekali serta boleh dikenakan sebatan.

Di sini mahkamah juga menggunakan budi bicara mengenakan kompaun tanpa perlu melalui pendakwaan penuh bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang.

Selepas pulang apa yang mereka lakukan? Penulis yakin mereka akan berusaha masuk kembali. Siapa tidak mahu tinggal di syurga dunia seperti Malaysia ini.

Sehubungan itu, penulis mencadangkan hukuman sebat wajar dikenakan secara mandatori kepada PATI yang ditangkap, kenakan dua kali ganda kepada dalang yang membawa masuk serta tiga kali ganda majikan yang menggaji mereka. Kita lihat nanti kesannya.

Tangan anggota polis berjaya disambung, HKL buat pembedahan 8 jam

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

PUTRAJAYA- Seorang anggota polis yang mengalami kecederaan serius pada pergelangan tangan kanan akibat diserang warga asing berjaya menjalani pembedahan penyambungan semula tangan menerusi prosedur mikrosurgeri kompleks selama lapan jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pembedahan itu diketuai oleh Dr. Allan Ravi Rajagopal dan Dr. Aziz Sabbir Husain yang merupakan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL.

Katanya, pembedahan itu turut melibatkan kerjasama seluruh pasukan Unit Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL (Hand and Microsurgery Unit).

“Pembedahan bermula pada pukul 10 malam dan mengambil masa kira-kira lapan jam untuk diselesaikan.

“Prosedur kompleks ini melibatkan penggunaan mikroskop pembedahan bagi membolehkan penyambungan semula salur darah dan struktur saraf yang tercedera, selain pemulihan struktur anatomi tangan yang terlibat,” katanya di sini tadi.

KKM berkata, terdahulu, mangsa telah dirujuk ke HKL untuk mendapatan rawatan kepakaran.

“Setelah menjalani pemeriksaan dan penilaian teliti oleh pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri, beliau telah dibawa segera ke Dewan Bedah Utama bagi menjalani pembedahan penyambungan semula tangan (hand replantation),” katanya.

Dalam masa yang sama, KKM berkata, pasukan Neurosurgeri turut menjalankan prosedur pembersihan luka pembedahan (wound debridement) bagi merawat kecederaan di bahagian kepala pesakit.

“Kes ini merupakan satu prosedur pembedahan yang amat kompleks yang mana memerlukan kepakaran khusus, kemahiran mikrosurgeri yang tinggi serta kerjasama erat antara pelbagai disiplin kepakaran bagi memastikan rawatan yang menyeluruh dan optimum.

“Kami berharap agar pesakit menunjukkan perkembangan pemulihan yang baik dan seterusnya mencapai tahap pemulihan fungsi tangan yang seoptimum mungkin,” katanya.

KKM berkata, HKL komited untuk terus memberikan perkhidmatan rawatan kepakaran yang berkualiti tinggi melalui kepakaran multidisiplin, teknologi serta kemahiran profesional demi kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong semalam.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, seorang anggota polis yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu berlaku di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Mangsa sebelum ini dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan bagi menyelamatkan pergelangan tangannya. – KOSMO! ONLINE

Bekas kakitangan GLC disyaki minta, terima rasuah RM3 juta ditahan

FMT Reporters

Suspek lelaki berusia lingkungan 40an itu kini direman lima hari sehingga 16 November.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk mendapat perintah tahanan reman.
PETALING JAYA: Seorang bekas kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta.

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai melakukan kegiatan itu untuk membantu mendapatkan projek penyelenggaraan jalan di pencawang elektrik seluruh Semenanjung bernilai kira-kira RM95 juta.

Dia disyaki meminta dan menerima rasuah terbabit daripada seorang pengarah syarikat kontraktor.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu di antara 2023 hingga 2025 dengan menggunakan dokumen berkaitan perolehan dan pelantikan kontraktor bagi meyakinkan pengarah syarikat berkenaan.

Suspek juga dipercayai menerima wang rasuah melalui beberapa keping cek yang disalurkan oleh beberapa syarikat yang bertindak sebagai orang tengah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan tersebut sambil berkata kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama lima hari sehingga 16 November terhadap suspek dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Anggota polis putus pergelangan tangan ditetak warga asing

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 4 petang berhubung kejadian seorang lelaki berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak mengamuk.

Beliau berkata susulan laporan itu, sepasukan polis bersama-sama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) digegaskan ke lokasi untuk membantu mengawal keadaan.

“Ketika pintu rumah itu dibuka, suspek telah bertindak menyerang anggota polis berkenaan dengan dua parang menyebabkan seorang daripada anggota polis lelaki Cawangan Kereta Peronda (MPV) IPD Gombak yang berusia 26 tahun dan berpangkat Lans Koperal putus pergelangan tangan kanan, selain turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya pada sidang media di Hospital Selayang di sini malam ini.

Shazeli berkata beberapa anggota bomba dan petugas KKM juga dilaporkan mengalami sedikit kecederaan akibat insiden itu.

Beliau berkata suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum berjaya dikesan berada di sebuah taman permainan berhampiran pada 8 malam.

“Ketika polis cuba menahan lelaki itu, dia telah bertindak menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang menyebabkan beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan bagi anggota polis mempertahankan diri.

“Suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Shazeli berkata anggota polis yang cedera dibawa ke Hospital Selayang dan telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan tangan kanannya yang terputus dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Terdahulu, kes berkenaan turut tular melalui media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Ada gembira mahu Najib balik jadi PM, ada kesal sebut 'penyamun'

Malaysiakini

PRN MELAKA | Perintah Mahkamah Tinggi pada 10 Nov yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan rumah mengundang reaksi bercampur dalam kalangan pengundi Melaka.

Perintah itu dikeluarkan pada hari yang sama pengundian awal bagi pilihan raya negeri berlangsung untuk anggota tentera, polis dan pasangan masing-masing mengundi.

Tinjauan KiniTV sebelum ini menyorot pandangan yang berkata perkembangan berkenaan akan menjejaskan sokongan mereka kepada BN manakala yang lain kekal setia kepada gabungan itu. Malah ada pengundi yang berharap Najib akhirnya dapat kembali menerajui kerajaan.

“Tahu dia keluar, dia dah bayar RM50 juta keluar kanSebenarnya untuk saya memang tak bersetuju kalau dia keluar, sebabnya sebelum-sebelum ni hutang-hutang yang ada kat negara ni pun tak dapat nak disettlekan,” kata peniaga, Izzat.

Sementara itu, Ali juga seorang pengusaha berkata dia tidak bersetuju dengan perkembangan itu kerana ia mengingatkannya kepada kes 1MDB yang melibatkan wang rakyat.

"Ah tak boleh lah, sebab kalau untuk ambil duit rakyat macam kes 1MDB semua tu. Kita pun tak tahu apa yang dia... tiba-tiba dia keluar macam tu. Kita pun tak setuju lah," katanya.

Dia berkata perkembangan itu membuatkan dia lebih tidak mahu mengundi BN.

“Tak nak mengundi BN sebab rasa macam tak setuju lah kalau orang macam kita panggil penyamun,” kata Ali lagi.

Sementara itu, penghantar makanan Khairul Azizi mengakui sumbangan Najib sebelum ini namun berkata dia tetap bimbang tentang kesan skandal 1MDB.

“Kita tengok rekod kan, mungkin dia banyak bantu rakyat, tapi akhirnya rakyat yang tanggung hutang 1MDB berapa puluh tahun akan datang. Jadi, itu fakta lah,” katanya.

Khairul belum memutuskan sama ada perkembangan itu akan mempengaruhi undinya, sambil berkata dia juga tidak berpuas hati dengan parti-parti yang sedang berkuasa.

“Jadi, mungkin kita perlukan kuasa ketiga barangkali,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penarik beca Jamal berkata dia akan terus menyokong BN dan berharap gabungan itu memenangi pilihan raya negeri.

Malah, dia memuji bekas perdana menteri dan menyifatkan Najib sebagai “orang yang bijak pandai”.

"Oh, saya fikir Najib dapat balik rumah, bagus, lebih baik kan. Saya pun memang sokong dia," kata Jamal.

"Yalah betul ah, Najib dah keluar penjara, di rumah kan. Jadi undi saya tetap mengundi untuk Najib punya parti juga. Saya mengharapkan pilihan raya kali ini BN menanglah ni kan," jelasnya lagi.

Siti, seorang petugas pembersihan berkongsi sentimen sama, berkata dia suka dan gembira dengan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumahnya.

"Sukalah, gembira. Alhamdulillah dia okey kan, dia selamat masuk dekat rumah dia," katanya.

Bagaimanapun, Siti berkata dia tidak akan menukar undinya kerana masih menerima bantuan, termasuk SARA.

"Tak ubah-ubahlah. Sebab saya ada bantuan. Sampai hari ni masih dapat. Saya ada bantuan SARA... Jadi dia kata undi ya, jangan tak undi. Kita ni bantuan ni semua daripada situ lah," katanya.

Jadi bosku semula

Wan, yang bekerja sebagai maskot pula berharap Najib akhirnya dapat kembali menerajui kerajaan. Dia membuat perbandingan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kembali berpolitik selepas menjalani hukuman penjara.

"Bagus lah kalau dia balik rumah kan, walaupun tu kes lama dia. Sekarang ni orang cakap dia dah berubah lah. Baguslah kalau Najib keluar balik, dia jadi bosku balik kan. Harap dia naikkan jadi PM balik ah, sebab apa yang dulu-dulu tu bagus lah. Kebanyakan yang dia buat tu bagus daripada sekarang.

“Mungkin dia macam Anwar dulu. Anwar kan kena penjara, sekarang Anwar keluar dia macam-macam dia buat reformasi. Ni mungkin Najib akan buat lain daripada yang lain lah,” katanya.

Perpindahan Najib dari penjara kepada tahanan rumah berlaku empat hari selepas dia melunaskan denda RM50 juta. Ketika itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon supaya pemindahan Najib ke rumah ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan mengenai pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 18 Sept.

Pengampunan bersyarat itu membenarkan Najib menjalani baki hukumannya secara tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda.

Hukuman Najib berpunca daripada sabitannya dalam kes SRC International, membabitkan RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB itu. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu sebelum Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya pada 23 Ogos 2022. Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada hari yang sama.

Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya kepada enam tahun dan dendanya kepada RM50 juta. Najib akan menghabiskan baki hukuman penjara kes SRC di kediamanya di Jalang Langgak Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028.

Selepas itu, Najib dijadualkan kembali ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara berasingan dalam kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan dana kira-kira RM2.3 bilion, jika rayuannya di mahkamah tidak berpihak kepadanya.

Bekas presiden Umno itu sedang merayu sabitan dan hukuman kes 1MDB itu di Mahkamah Rayuan.

Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas 25 pertuduhan — empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram — serta menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion.