"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis bedil gas pemedih mata semasa simulasi, 19 pelajar masuk hospital

KOSMO
SERAMAI 19 pelajar dibawa ke kemudahan kesihatan selepas gas pemedih mata masuk ke kawasan sekolah mereka. - Lambe Turah
JAKARTA – Sekurang-kurangnya 19 pelajar di Cilegon, wilayah Banten dibawa ke hospital selepas gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan polis semasa latihan simulasi pengendalian rusuhan masuk ke kawasan sekolah mereka, lapor laman berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku antara pukul 10 pagi (waktu tempatan) hingga 10.30 pagi di SMK Madinatul Hadid, baru-baru ini. 

Naib Pengetua SMK Madinatul Hadid, Farid Jami’in berkata, pihak sekolah pada awalnya tidak mengesyaki asap yang masuk ke kawasan mereka adalah gas pemedih mata. 

“Pada pukul 10 hingga 10.30 pagi, terdapat asap yang dibawa angin dari balai polis. Saya tidak tahu apa asap itu tetapi ia membuatkan saya pening,” kata Farid kepada pemberita. 

Selepas sebilangan pelajar mengadu kesakitan, pihak sekolah segera membawa mereka yang terkesan ke hospital untuk rawatan lanjut. 

Ketua Perhubungan Awam Polis Cilegon, AKB Imam Maryono mengesahkan gas pemedih mata itu dilepaskan semasa latihan simulasi demonstrasi yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Cilegon. 

“Seramai 19 pelajar terjejas dan dikejarkan ke beberapa kemudahan kesihatan,” katanya. 

Beliau turut memohon maaf dan mengesahkan pihaknya akan menanggung seluruh kos rawatan perubatan. – AGENSI

Terengganu: Dua wanita maut dalam kemalangan lima kenderaan

BERNAMA
Anggota mengeluarkan mangsa dari kereta Proton Waja yang terbabit kemalangan di Kilometer 48, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Selamat, Setiu petang tadi.- Foto FB Info Bencana Terengganu
BANDAR PERMAISURI: Dua wanita maut selepas kereta Proton Waja yang dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 48, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Kampung Selamat, di sini petang tadi.

Mangsa terdiri daripada pemandu kereta berkenaan Nur Fauziah Ismail, 38, seorang peniaga dari Kampung Apek, di sini serta penumpang hadapan Zawiah Halias, 41, peniaga dari Kampung Hulu Kekabu, di sini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira 4 petang, manakala kejadian dipercayai berlaku pada 3.45 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Proton Waja yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu, dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler Mercedes-Benz dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, treler berkenaan turut hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz, sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori jenis UDT, yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan dengan itu, Zahril Asri turut meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta meminta saksi kejadian tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Setiu bagi membantu siasatan.

SKMM siasat kandungan disyaki menghina Islam di Facebook

Bernama

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan disyaki menghina agama Islam, yang dimuat naik menerusi Facebook.

SKMM memaklumkan bahawa kandungan itu berkait penggunaan perkataan ‘lighad’, yang merujuk kepada ayat 18 Surah al-Hashr, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

“Kandungan tersebut didakwa mempersenda ayat suci al-Quran, hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan.

SKMM memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan, serta menyita satu unit telefon bimbit dan e-sim untuk tujuan pemeriksaan forensik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

SKMM menegaskan kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama, serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Polis tahan 5 lelaki cuba serang penduduk guna senjata berbahaya

Safeek Affendy Razali

PETALING JAYA: Polis menahan lima lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian menyerang seorang penduduk menggunakan senjata berbahaya di sebuah taman perumahan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.03 pagi semalam, daripada seorang lelaki warga tempatan yang mendakwa diserang beberapa individu.

Beliau berkata, polis turut mengesan video berkaitan insiden yang tular di media sosial.

“Hasil siasatan, polis menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian bagi membantu siasatan.

“Tiga daripada suspek yang ditahan, berusia lingkungan 30 tahun hingga 40-an, mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

“Manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, polis turut merampas sebilah parang dan sebilah gergaji yang disyaki digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal dipercayai kejadian ini bermotifkan perselisihan faham dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata atau objek berbahaya ketika melakukan rusuhan.

“Selain itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial, atau membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung kejadian berkenaan.

Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan.

Heboh pemuda buat ritual bukan Islam

Harapandaily
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius penularan beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang individu beragama Islam terbabit dalam ritual keagamaan bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata rakaman berkenaan termasuk perlakuan yang dikaitkan dengan unsur pemujaan dan penggunaan mantera tertentu.

Beliau menegaskan tindakan sewajarnya sedang diambil bersama pihak berkuasa bagi membolehkan penelitian dan siasatan lanjut dilaksanakan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kerajaan tegas dalam memelihara kesucian akidah umat Islam dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan yang terbukti menyeleweng daripada akidah Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang pemuda difahamkan berketurunan Melayu mengadakan ritual Thaipusam di kuil Batu Caves.

Rakaman video lain pula memperlihatkan dia turut melakukan ritual pemujaan dewi Jawa atau dewi Pantai Selatan, Nyi Roro Kidul di Cepuri Parangkusumo dekat Yogyakarta.

Individu berkenaan juga difahamkan pengikut Gerakan New Age yang menyeleweng dan bercanggah dengan akidah Islam kerana membawa konsep yang merosakkan pegangan tauhid.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, sebarang tindakan lanjut dibuat berasaskan fakta dan hasil siasatan pihak berautoriti bagi memastikan keadilan serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Beliau turut menegaskan bahawa perkara berkenaan perlu ditangani berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang, tanpa membuat sebarang kesimpulan sebelum proses berkenaan selesai.

Lelaki dicekup tanam 27 pokok ganja, bawa benih dari California

KOSMO
POLIS merampas pokok ganja yang ditemukan di rumah suspek di Bandung, wilayah Jawa Barat hari ini. - Wisma Putra
JAKARTA – Seorang lelaki ditahan kerana menanam pokok ganja di bumbung rumahnya di Bandung, wilayah Jawa Barat, lapor laman berita Detik hari ini. 

Ketua Polis Bandung, Pesuruhjaya Kanan Dedi Supriyadi berkata, benih-benih ganja itu  berasal di negeri California semasa suspek dikenali sebagai RA, 55, bekerja di Amerika Syarikat (AS). 

Pemeriksaan ke atas kediaman RA membawa kepada penemuan 27 pasu tanaman ganja pelbagai saiz, daripada benih yang baru ditanam serta pokok yang subur dan sedia untuk dituai. 

“Saya belajar kaedah penanaman pokok ganja itu dengan menonton video di YouTube dan mengamalkannya semasa di AS,” kata RA. 

Pihak berkuasa menyatakan, RA menyembunyikan benih ganja itu di dalam poket seluarnya selepas tiba di Indonesia dari AS. – AGENSI 

JAKIM, Jabatan Mufti siasat video tular perawat campur bacaan tahlil, mantera Siam

Muhaamad Hafis Nawawi dan Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti akan menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan individu dipercayai perawat melakukan rawatan tradisional, yang didakwa mencampurkan bacaan tahlil dengan mantera Siam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, JAKIM dan Jabatan Mufti sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“JAKIM dan Jabatan Mufti akan menjalankan siasatan dan tindakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan bahawa rawatan tradisional adalah haram dan wajib ditinggalkan sekiranya terbukti mengandungi unsur pemujaan, penyembahan atau pergantungan kepada kuasa selain Allah SWT.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman dilaporkan berkata, penggunaan kalimah suci dalam sesuatu upacara tidak semestinya membuktikan keseluruhan amalan itu menepati kehendak syariat Islam.

Beliau berkata, penentuan hukum sesuatu amalan perlu dibuat berdasarkan penelitian terhadap kandungan bacaan, bentuk upacara, tujuan pelaksanaan dan kepercayaan yang mendasarinya, bukan semata-mata berdasarkan penampilan pengamal atau bahasa yang digunakan.

Terdahulu, beberapa video tular memaparkan individu dipercayai perawat melakukan rawatan tradisional yang didakwa mencampurkan bacaan tahlil dengan mantera Siam, sekali gus mengundang pertanyaan warganet mengenai hukumnya.

MB N Sembilan akan hadapi usul tidak percaya?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Ismail Lasim pada sidang DUN akan datang, menurut sumber.

Sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa usul itu akan dikemukakan oleh Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias, yang juga Adun Pertang.

“Keputusan kini terletak pada kepimpinan pusat Umno,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah, barisan baharu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) juga mungkin diumumkan sekiranya langkah itu diteruskan.

FMT sedang cuba mendapatkan komen daripada Jalaluddin berhubung perkara ini.

Sidang DUN dijadualkan berlangsung pada 26 Nov selepas ditangguhkan daripada 16 Okt bagi menyelaraskannya dengan pembentangan belanjawan negeri bagi 2027 pada hari berikutnya.

Speaker DUN Awaludin Said sebelum ini memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang notis rasmi mengenai usul tidak percaya terhadap Ismail, menegaskan beliau tidak akan membenarkan usul tergempar sekali pun untuk menjatuhkan menteri besar.

Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar pada 2 Ogos susulan PRN yang menyaksikan Barisan Nasional meraih 18 kerusi, Pakatan Harapan 11, manakala Perikatan Nasional memenangi tujuh kerusi.

Pentadbiran beliau bagaimanapun dibayangi krisis perlembagaan berhubung cubaan melucutkan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.

Beliau dilaporkan menandatangani proklamasi bagi melucutkan kedudukan baginda pada 3 Ogos. Beliau bagaimanapun mendakwa dipaksa menandatangani dokumen itu dan membuat laporan polis sejurus perkara itu didedahkan kepada umum pada 8 Sept.

Pada 15 Sept, barisan exco Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan mendakwa pelucutan takhta Tuanku Muhriz pada April adalah sah, sekali gus menjadikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar pemerintah negeri yang baharu.

Ismail kemudiannya menyokong kenyataan exco itu dan mengarahkan setiausaha kerajaan negeri meneruskan proses pewartaan proklamasi terbabit.

Tuanku Muhriz sejak itu telah membatalkan pelantikan kesemua 10 exco berkenaan, kecuali Ismail. Susulan itu, 10 bekas exco berkenaan memfailkan cabaran undang-undang di mahkamah awal minggu ini bagi menuntut pembatalan pelantikan mereka diisytiharkan tidak sah.

Lelaki cedera ditembak selepas pandu secara agresif, langgar kenderaan awam

Azizah Mokhtar
Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang memandu Proton Wira itu berjaya diberkas, manakala seorang anggota peronda polis turut cedera. – Foto tular
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera terkena tembakan polis selepas memandu secara agresif dan melanggar kenderaan awam ketika dikejar kereta peronda polis dari Persiaran Mahogani, Petaling Jaya menghala ke Sungai Buloh, semalam.

Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang memandu Proton Wira itu berjaya diberkas, manakala seorang anggota peronda polis turut cedera.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.42 petang.

“Dalam kejadian itu, suspek memandu secara agresif dan berbahaya serta melanggar kenderaan awam sebelum berjaya ditahan polis.

“Suspek mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan pihak polis ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, anggota peronda polis dan suspek kini dirawat di hospital.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lalu merangkumi enam kes dadah dan empat kes jenayah.

“Polis turut merampas dadah serta senjata mainan menyerupai pistol. Ujian saringan air kencing belum dapat dijalankan kerana suspek masih menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menyiasat punca suspek bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 kanun sama kerana memandu secara melulu atau berbahaya.

Siasatan selari turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, selain Seksyen 39B serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Permohonan reman terhadap suspek dijadualkan dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.

Kejadian itu turut mendapat perhatian di media sosial susulan penularan rakaman video yang memaparkan beberapa kereta peronda polis di jalan raya.

Dalam masa sama, Shamsudin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

“Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Empat warga Myanmar ditahan bantu siasatan kematian bayi

Meor Riduwan Meor Ahmad

MELAKA: Empat warga Myanmar termasuk ibu kepada bayi lelaki Rohingya berusia setahun yang meninggal dunia di Hospital Melaka, ditahan bagi membantu siasatan kes disyaki pengabaian yang menyebabkan kematian mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian bayi itu kelmarin, yang dibuat oleh doktor yang merawat mangsa.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan fizikal dan bukannya sawan seperti didakwa ibunya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan dijalankan polis menahan dua suspek termasuk ibu mangsa di tepi Jalan Melati, Banda Hilir, kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam bagi membantu siasatan.

Menurutnya, dua lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Pulau Melaka kira-kira jam 6 petang hari sama.

“Semua suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Mereka direman selama enam hari bermula hari ini hingga 14 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tipu permohonan MyPR, dua lelaki ditahan

Juwan Riduan
Dua lelaki ditahan selepas disyaki terbabit kes penipuan urusan permohonan kad MyPR di Kota Belud.- Foto PDRM
KOTA BELUD: Dua lelaki yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan penipuan dan penyalahgunaan dadah ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan urusan permohonan Kad Pemastautin Tetap (MyPR) di daerah ini.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 33 dan 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi berasingan, hari ini, susulan laporan seorang wanita yang mendakwa kerugian RM6,000 selepas membuat bayaran bagi menguruskan permohonan MyPR.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, hasil serbuan berkenaan, polis merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.

Katanya, antara yang dirampas termasuk sebuah kereta, kad pengenalan, kad MyPR, telefon bimbit, komputer riba, cop serta pelbagai peralatan dan dokumen berkaitan.

“Soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam penghasilan kira-kira 14 keping kad MyPR palsu yang dikaitkan dengan daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabalu.

“Semakan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan dan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Shah berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat mangsa lain yang turut diperdaya oleh suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Lelaki Malaysia ditahan di Sungai Golok, tak sempat seludup dadah ke Kelantan

KOSMO!
Suspek menunjukkan dadah yang dirampas selepas dicekup di dalam kereta dekat sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand semalam.
SUNGAI GOLOK, THAILAND – Seorang pemuda rakyat Malaysia ditahan semalam selepas dipercayai cuba menyeludup pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi dari bandar ini ke Kelantan.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an diberkas pada pukul 10.30 malam ketika berada di dalam kereta berdekatan sebuah hotel di sini.

Lelaki itu disyaki membawa sebanyak 20 biji pil ekstasi, 760 biji pil psikotropik dan sembilan gram ketamin.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Kelantan dan memperoleh bekalan daripada sindiket di Sungai Golok.

Katanya, Bahagian Siasatan Narkotik Polis Wilayah 9 menerima maklumat mengenai suspek yang memandu kereta dipercayai membawa dadah.

“Kereta lelaki itu dikepung dan pemeriksaan polis membawa kepada penemuan kesemua dadah tersebut.

“Suspek mengaku menyembunyikan dadah berkenaan di dalam keretanya dan merancang untuk menyeludup bahan terlarang tersebut masuk ke Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen Sungai Golok hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap itu memberitahu, suspek berdepan pertuduhan memiliki dan menjual narkotik Kategori 1 (ekstasi) dan bahan psikotropik Kategori 2 (ketamin) secara haram.

Sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara setahun hingga 15 tahun dan denda maksimum RM182,767, jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Identiti dua wanita maut, kes Myvi terbakar dikenal pasti

Alias Abd Ran
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta.- Foto JBPM
BATU PAHAT: Dua wanita maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka terbakar susulan kemalangan dengan sebuah lori di Batu 1, Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, pemandu kereta, Siti Nur Batrisya Mohd Khalid, 22, dan penumpangnya, Siti Nurmaisarah Abd Jalil, maut selepas dipercayai terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.25 petang.

“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kebakaran kereta berlaku akibat kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan, iaitu Perodua Myvi dan sebuah lori.

“Perodua Myvi itu terbakar kira-kira 80 peratus, manakala dua mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

“Tiga individu lain, iaitu pemandu dan penumpang lori, terselamat dalam kejadian itu.

“PKO menjalankan kerja pemadaman menggunakan salur bantu mula dan air daripada tangki jentera sebelum mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang dipanggil ke lokasi sebelum mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan. 

Polis: Irene Sofiya dipukul batang besi lepas cinta ditolak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal disyaki menjadi mangsa dendam akibat cinta ditolak dengan suspek disyaki memukul pelajar Tingkatan 4 itu menggunakan sebatang besi berukuran 96cm.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad, berkata pihaknya turut merampas sehelai baju sukan yang ada kesan darah, termasuk merampas besi berkenaan yang dibaluti tali leher.

“Polis turut merampas satu batang besi panjang berukuran 96cm yang dibaluti dengan kain tali leher yang kita syaki digunakan sebagai senjata untuk memukul mangsa.

“Berdasarkan siasatan terkini, polis percaya motif pembunuhan adalah akibat daripada perasaan dendam suspek terhadap mangsa kerana menolak cinta.

“(Terdapat) kesan pukulan di bahagian kepala, ada juga kesan pukulan di bahagian tangan dan beberapa lagi tubuh si mati,” katanya pada sidang media di Johor Bahru.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu hampir dilengkapkan dengan kertas siasatan akan dirujuk hari ini ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.

“Kita jangkakan (kertas siasatan) akan dirujuk pada hari ini untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya.

Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini membenarkan pelajar lelaki yang juga suspek kes bunuh Irene Sofiya di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, direman enam hari lagi.

Dalam kejadian sekitar 5.30 petang Sabtu lalu, Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah pada badan di dewan sekolah berkenaan.

Mangsa ditemukan bersama kesan darah kering pada badan, selain lebam dipercayai akibat dipukul. Sebuah pasu pecah turut ditemukan berhampiran mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar mengesahkan punca kematian Irene Sofiya disebabkan kecederaan trauma akibat objek tumpul di kepala.

2 pegawai SPRM, bekas pegawai diperintah bela diri kes rompak hampir RM950,000

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih berkhidmat dan seorang bekas pegawai membela diri berhubung dakwaan merompak seorang ahli perniagaan China membabitkan wang tunai hampir RM1 juta.

Hakim Arief Emran Arifin membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan mereka oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu, dengan memutuskan bahawa kes prima facie telah dibuktikan.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa bukti terhadap Haffiz Radzi, Fahmee Nor dan bekas pegawai SPRM, Azwan Asli, tidak mencukupi.

Ketiga-tiga mereka didakwa merompak ahli perniagaan Kun Gao dengan mengambil wang tunai RM952,690 dan 1,225 yuan, selain sebuah beg bagasi dan beg Louis Vuitton, di kediamannya di Jalan Ampang pada 10 Dis 2021.

Ketika pendengaran rayuan hari ini, Arief mempersoalkan mengapa harta yang didakwa dirampas semasa siasatan berkenaan dibawa ke rumah pegawai terbabit dan bukannya ke ibu pejabat SPRM.

“Jika benar terdapat siasatan, mengapa mereka tidak membawa harta itu ke SPRM untuk direkodkan? Perkara ini merisaukan saya,” katanya.

Apabila peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff, yang mewakili Haffiz dan Fahmee, berhujah bahawa sebarang kegagalan mematuhi prosedur operasi standard SPRM hanyalah isu tatatertib, hakim itu tidak bersetuju.

“Tidak, perkara ini lebih daripada itu,” katanya sambil mempersoalkan keberadaan dokumen aduan dan kertas siasatan.

Dzulkifli Ahmad, yang mewakili Azwan, berhujah bahawa pegawai terbabit sedang menjalankan pengesahan awal berdasarkan maklumat yang diterima dan tiada bukti menunjukkan mereka membawa harta berkenaan ke rumah masing-masing.

Arief menolak hujah itu dengan mempersoalkan sama ada polis boleh memasuki rumah seseorang dan merampas barang miliknya.

“Terdapat persoalan besar di sini. Mungkin ada isu berkaitan jumlah dan berat. Tetapi bolehkah polis datang ke rumah saya sekarang dan mengambil televisyen saya?” soalnya.

Hakim itu membenarkan rayuan berkenaan, mengetepikan keputusan terdahulu dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Sesyen untuk sebutan.

Jaminan sedia ada RM12,000 terhadap Haffiz dan Fahmee dan RM10,000 terhadap Azwan, dikekalkan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 29 Okt di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.

Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail, Fadhly Zamry dan Hench Goh hadir bagi pihak pendakwaan.

Guok Ngek Seong dan Ahmad Nur Zharif Rosdi hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengadu.

Patung Trump bogel bersalut emas dipamer di Parlimen Eropah

Agensi
Patung itu dipamerkan sehingga Khamis sebelum diteruskan ke lokasi lain termasuk persidangan iklim COP31 di Antalya, Turkiye. - Foto REUTERS
Patung itu dipamerkan sehingga Khamis sebelum diteruskan ke lokasi lain termasuk persidangan iklim COP31 di Antalya, Turkiye. - Foto REUTERS
STRASBOURG: Sebuah patung kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dipamerkan di bangunan Parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis, sebagai kritikan terhadap dasar dan pengaruh politik beliau.

Karya setinggi kira-kira 2.6 meter itu dihasilkan oleh seniman Denmark, Jens Galschiot, yang menampilkan Trump dalam keadaan bogel dan disaluti lapisan emas 23 karat.

Patung yang diberi nama 'The Orange Plague' dan turut digelar 'King of Injustice' itu menggambarkan Trump berada di atas bahu seorang lelaki yang kelihatan lemah sambil memegang kayu golf dan simbol timbangan keadilan.

Menurut Galschiot, karya berkenaan melambangkan kebimbangannya terhadap tindakan Trump yang disifatkan mengancam alam sekitar dan sistem antarabangsa berasaskan peraturan.

Pameran itu ditaja oleh Ahli Parlimen Eropah dari Denmark, Per Clausen, yang berkata ia bertujuan mencetuskan perbincangan mengenai penggunaan kuasa dalam politik global dan kesannya terhadap Eropah.

Patung itu dipamerkan sehingga Khamis sebelum diteruskan ke lokasi lain termasuk persidangan iklim COP31 di Antalya, Turkiye.

Setakat ini, Trump belum memberikan sebarang reaksi terhadap karya berkenaan.
-astroawani

Janji sehidup semati, cuma lelaki terjun tebing 40 meter

KOSMO!
PASUKAN menyelamat turun ke dasar gua untuk mengeluarkan mangsa. - Siamrath
BANGKOK – Seorang lelaki maut selepas terjun dari tebing setinggi 40 meter di kawasan air terjun Pa Wai di Phop Phra semalam,  lapor laman berita Thaiger.

Mangsa dikenali sebagai Kanokphon, 25, dipercayai nekad  terjun selepas membuat janji untuk sehidup semati  bersama  teman wanitanya setelah hubungan cinta mereka tidak mendapat restu keluarga.

Menurut polis Phop Phra, kejadian berlaku apabila pasangan terbabit merancang untuk menamatkan riwayat mereka di  kawasan tinggi di atas sebuah gua di jeram tersebut.

Bagaimanapun, ketika kejadian,  hanya mangsa yang terjun ke dalam gua berair tersebut, manakala teman wanitanya membatalkan hasrat pada saat-saat akhir.

Pasukan penyelamat dan pegawai perubatan yang dikejarkan ke lokasi popular berkenaan mengambil masa beberapa jam sebelum berjaya mengeluarkan mayat mangsa.

Mayat mangsa kemudia dihantar ke hospital tempatan bagi proses bedah siasat.

Siasatan awal mendapati pasangan terbabit telah lama menjalin hubungan dan berhasrat untuk berkahwin. 

Namun, niat mereka ditentang hebat oleh keluarga berikutan status mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan serta berkongsi nama keluarga yang sama.

Tekanan emosi akibat bantahan tersebut dipercayai menjadi punca mereka sepakat untuk menamatkan riwayat hidup bersama pada 6 Oktober lalu.

Polis sedang menyoal siasat teman wanita mangsa serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak bagi melengkapkan siasatan kes. – AGENS

Kedah: Mayat remaja dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam semak

Zuliaty Zulkiffli
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika jenazah Allahyarham dimasukkan ke dalam van jenazah di Jabatan Forensik HSB. – Foto NSTP
ALOR SETAR: Mayat seorang remaja dipercayai mangsa bunuh, dengan kesan kecederaan pada bahagian muka dan kepala, ditemui dalam semak berhampiran Jalan Harvard, Gurun, Sungai Petani, hari ini.

Mangsa, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemui lengkap berpakaian sukan berwarna hitam dan kuning oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi.

Ibu Allahyarham, Azura Zor, 41, berkata beliau terkejut apabila anggota polis hadir ke rumahnya di Guar Chempedak dan menunjukkan gambar mayat lelaki untuk tujuan pengecaman.

Katanya, pada mulanya beliau menyangka polis datang ke rumah untuk menahan anak sulung daripada empat beradik itu.

“Saya tidak tahu anak saya itu tinggal di mana. Saya pernah cuba menghubunginya atau menghantar kiriman WhatsApp, namun tidak berjawab.

“Kami sudah cuba mencarinya tetapi tidak jumpa sehinggalah polis datang ke rumah, hari ini.

“Polis memberitahu bahawa anak dijumpai terbaring di tepi jalan lokasi kejadian, pagi tadi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Azura berkata, keluarganya bagaimanapun tidak membuat laporan polis selepas gagal menghubungi Muhammad Haikal sebelum ini.

Katanya, hubungan beliau dengan arwah tiada sebarang masalah dan remaja itu pernah bekerja di kedai roti canai di Guar Chempedak.

“Kami terputus hubungan selepas arwah anak keluar dari rumah sejak bulan lalu,” katanya.

Azura berkata, suaminya, Mohd Shahrilnizam Che Sharif, 41, pernah menerima mesej WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang RM200.

“Mesej itu berkemungkinan dihantar kenalan arwah anak. Namun, kami tidak mengetahui tujuan permintaan itu.

“Arwah memang tiada masalah dengan kami, malah dia suka bergurau dengan adik-adiknya.

“Kalau betul anak saya dibunuh, saya berharap tindakan setimpal dikenakan terhadap pelakunya,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB selepas proses bedah siasat selesai kira-kira jam 5.45 petang.

Adik lelaki mangsa yang masih berpakaian sekolah dilihat tidak dapat menahan sebak selepas melihat jenazah abangnya di bilik mayat, sehingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga yang lain.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata satu sidang media akan diadakan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, Ahad ini berhubung kejadian berkenaan.

Kes bunuh Nhaveen: Tiga tertuduh nafi serang mangsa

Bernama
Empat lelaki yang didakwa membunuh remaja T. Nhaveen hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi prosiding perbicaraan pembelaan, yang ditangguhkan hingga esok.  Nhaveen meninggal dunia pada 15 Jun 2017 selepas enam hari dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat kecederaan parah dalam kejadian berkenaan. - fotoBERNAMA
Empat lelaki yang didakwa membunuh remaja T. Nhaveen hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi prosiding perbicaraan pembelaan, yang ditangguhkan hingga esok. Nhaveen meninggal dunia pada 15 Jun 2017 selepas enam hari dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat kecederaan parah dalam kejadian berkenaan. - fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang didakwa membunuh remaja T. Nhaveen sembilan tahun lepas hari ini menafikan dia bersama dengan tiga lagi tertuduh melakukan serangan terhadap mangsa dan rakannya di Padang Openg selepas insiden pergelutan di Jalan Kaki Bukit, Gelugor.

J.Ragesuthen, 27, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia berada di Jalan Kaki Bukit ketika berlaku “pergelutan” antara rakannya, iaitu seorang lagi tertuduh yang juga remaja ketika kejadian, dan T. Previin (rakan Nhaveen).

Anda mungkin berminat pada artikel ini

Perbicaraan bela diri kes bunuh Nhaveen ditangguh esok

Kes Nhaveen: Perbicaraan bela diri bermula Oktober, berlangsung lapan hari

Lim Guan Eng, isteri dan Phang gagal batalkan pertuduhan, perbicaraan diteruskan

Ragesuthen berkata Previin bertindak agresif dan memukul rakannya menggunakan topi keledar dan dia menghalang Previin daripada terus menyerang remaja itu manakala dua lagi rakannya yang juga tertuduh, S. Gokulan dan seorang lagi, kemudian datang untuk meleraikan pergelutan itu.

“Saya nampak Previin telah memukul seorang lagi rakan kami dengan topi keledar di bahagian muka dan dia pengsan di tempat kejadian… tiba-tiba, Belang datang ke tempat kejadian dengan motor... Belang telah meleraikan pergelutan pada ketika itu,” katanya ketika membaca pernyataan saksi semasa membela diri atas pertuduhan membunuh Nhaveen.

Ragesuthen berkata dia, Gokulan dan seorang lagi tertuduh telah membantu menghantar rakan mereka yang cedera pulang ke rumah untuk mendapatkan rawatan.

Dia kemudian melihat Belang membawa Nhaveen menaiki motosikalnya manakala Previin bergerak menggunakan motosikal sendiri, dan dia tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka selepas itu.

Ragesuthen juga mengaku telah memerli Nhaveen bersama dengan seorang lagi tertuduh sebelum itu di sebuah gerai burger namun tidak ingat apa isunya dan berkata mangsa kemudian datang bersama dengan Previin di Jalan Kaki Bukit untuk menyoal punca mereka berbuat demikian sehingga berlaku pergelutan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, Ragesuthen menafikan bahawa dia, Gokulan dan dua tertuduh lain kemudian pergi ke Padang Openg serta meneruskan serangan terhadap Nhaveen.

Ditanya sama ada sepanjang perbicaraan sebelum ini dia pernah membangkitkan fakta bahawa rakannya pengsan selepas dipukul Previin, Ragesuthan mengakui perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada mahkamah.

Mohd Amril: Tiada apa-apa keterangan yang dikemukakan pada peringkat kes pendakwaan bahawa rakan tertuduh mengalami kecederaan selepas dipukul Previin.

Ragesuthan: Saya beritahu polis.

Mohd Amril: Bukan, masa pendakwaan perkara yang rakan tertuduh cedera pengsan kita tak dengar pun, betul?

Ragesuthan: Betul

Mohd Amril: Maka, kamu setuju ini kali pertama kamu maklumkan kepada kita... yang pertama, rakan tertuduh dipukul Previin dan kedua, rakan tertuduh pengsan?

Ragesuthan: Ya.

Tertuduh juga mendakwa dia tidak mengasari Previin termasuk cuba “lock leher” sebaliknya hanya memegang rakan mangsa itu ketika cuba meleraikan pergelutan.

Dia turut menafikan menghubungi ibu Nhaveen, T. Shanti pada malam kejadian dan memberitahunya bahawa mangsa tidak akan dipulangkan sehingga “perkara/isu diselesaikan” serta memerli Nhaveen dengan kata-kata menghina termasuk “potte” (pondan).

Sementara itu, Gokulan dalam pernyataan saksi mendakwa melihat Previin memukul seorang lagi tertuduh menggunakan topi keledar di bahagian muka sehingga pengsan di Jalan Kaki Bukit sebelum terdengar bunyi jeritan kuat dan pergi melihat apa yang berlaku.

Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa mereka memukul Previin pada malam kejadian atau meneruskan serangan terhadap Nhaveen di Padang Openg.

Pada prosiding hari ini, seorang lagi tertuduh membacakan pernyataan saksi dengan keterangan hampir sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid bersambung esok.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan Ragesuthan, Gokulan dan dua remaja membela diri atas pertuduhan membunuh Nhaveen selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan mereka pada 3 Okt 2023.

Mereka juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan Previin berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara 11 malam hingga 12 tengah malam 9 Jun 2017.

Nhaveen meninggal dunia pada 15 Jun 2017 selepas enam hari dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam kejadian berkenaan.

-- BERNAMA

Perjanjian kerjasama Adun Bersatu dan parti pemerintah Selangor: Whattt?

Adun Bersatu Selangor dakwa tak dimaklum tentang perjanjian

Anne Muhammad

Nurul Syazwani kata beliau terkejut apabila mengetahui rundingan sudah sampai ke peringkat memuktamadkan terma perjanjian.
Adun Permatang, Nurul Syazwani Noh, kata Adun Bersatu sepatutnya dimaklum jika perjanjian kerjasama dengan parti pemerintah mengikat mereka kepada sebarang komitmen politik. (Gambar Pejabat Adun Permatang)
PETALING JAYA: Adun Permatang, Nurul Syazwani Noh, mendakwa beliau tidak dimaklumkan tentang perjanjian kerjasama antara wakil rakyat Bersatu Selangor dengan parti pemerintah.

Syazwani berkata beliau terkejut apabila mengetahui rundingan sudah sampai ke peringkat memuktamadkan terma perjanjian yang dijangka ditandatangani sebelum pembentangan belanjawan Selangor.

“Saya sendiri agak terkejut apabila membaca kenyataan bahawa rundingan sudah sampai ke peringkat memuktamadkan terma, dan perjanjian dikatakan akan ditandatangani sebelum belanjawan dibentangkan,” katanya kepada FMT.

Syazwani mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari, semalam bahawa rundingan melibatkan terma-terma perjanjian kerjasama sedang berjalan dan akan dimuktamadkan sebelum pembentangan belanjawan.

Kenyataan Amirudin itu menyusuli laporan Utusan Malaysia kelmarin, bahawa Adun Bersatu dijangka bertemu parti pemerintah dalam masa terdekat bagi menandatangani perjanjian kerjasama. Sumber laporan itu mendakwa kerjasama tersebut melibatkan seluruh 11 Adun Bersatu.

Syazwani berkata Adun Bersatu sepatutnya dimaklum dan dirunding terlebih dahulu jika perjanjian itu mengikat mereka kepada sebarang komitmen politik, termasuk sokongan kepada kerajaan atau belanjawan.

“Tidak sepatutnya keputusan dibuat dahulu, kemudian Adun hanya diminta menerima keputusan yang telah dibuat bagi pihak mereka,” tegasnya.

Syazwani berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan parti pemerintah dalam perkara yang membawa manfaat kepada rakyat, namun tidak mahu semak dan imbang terjejas.

“Kerjasama demi rakyat tidak sama dengan menyerahkan fungsi pembangkang kepada kerajaan,” katanya.

Syazwani berkata persoalan mengenai manfaat kerjasama ini harus diajukan kepada pihak yang menjalankan rundingan, kerana beliau tidak diberi ruang membincangkan terma perjanjian.

“Saya tidak memerlukan perjanjian politik untuk membuat kerja saya sebagai wakil rakyat. Kalau sesuatu itu baik untuk rakyat Permatang, saya akan bekerjasama. Kalau sesuatu itu perlu ditegur, saya akan tegur,” katanya.

Menurutnya, beliau sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk di kawasannya.

“Itulah kerjasama yang rakyat mahu lihat — kerjasama untuk menyelesaikan masalah mereka, bukan kerjasama yang memerlukan pertukaran pendirian politik,” katanya.

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bersama membentuk kerajaan di DUN Selangor. PH menduduki 32 kerusi, manakala Umno daripada BN dua kerusi. Seorang wakil rakyat Bebas, iaitu Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari, menyokong kerajaan.

Pembangkang menduduki 21 kerusi, iaitu Bersatu 11 kerusi dan PAS sepuluh kerusi.

Libat urus belanjawan Selangor 2027 berjalan sejak September. Belanjawan lalu dibentangkan pada November.

Sialan!! Negara lain tengah makan asap, dia dah mula tanam semula sawit

KOSMO!
Tangkap layar seorang pekerja sedang melakukan aktiviti penanaman semula sawit di salah satu kawasan yang terlibat dengan kebakaran di Indonesia.
PETALING JAYA – Ketika beberapa negara di Asia Tenggara berdepan masalah jerebu akibat kebakaran hutan dan pembakaran terbuka, sebuah video tular di media sosial mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Video tersebut memaparkan aktiviti penanaman semula kelapa sawit di kawasan tanah dipercayai baru terbakar di Indonesia dengan keadaan tanah masih kelihatan hitam dan kesan kebakaran di sekitarnya.

Situasi itu seolah-olah menunjukkan aktiviti penanaman semula diteruskan seperti tiada apa yang berlaku, ketika asap tebal daripada kebakaran sebelum ini dilaporkan menjejaskan kualiti udara di beberapa negara jiran.

Lebih mengundang perhatian, ruangan komen video berkenaan dipenuhi kritikan netizen yang mempersoalkan kesan pembakaran terhadap alam sekitar, hidupan liar serta kesihatan penduduk di negara lain.

“Negara lain makan asap, dia dah mula tanam semula,” antara komen yang mendapat perhatian.

Seorang lagi netizen menyifatkan tindakan membakar kawasan hutan sebelum ditanam semula sebagai aktiviti yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

Ada juga yang mempersoalkan tujuan pembakaran dilakukan sekiranya kawasan berkenaan akhirnya akan digunakan untuk penanaman kelapa sawit.

“Hasil yang haram (fasad). Membunuh semua binatang dan menyebabkan kerosakan di bumi. Pendapatan daripada penanam sampai lah yang menjual semua haram sebab hasil daripada merosakkan alam sekitar,” tulis seorang netizen.

Seorang lagi pula mempersoalkan, adakah berkat hasil daripada tanaman tersebut kerana telah menyusahkan orang lain.

“Berkat ke makan dari hasil yang mendatangkan mudarat kepada ramai orang?” Soalnya.

Tidak kurang juga yang menyindir tujuan pembakaran tersebut sebelum aktiviti penanaman semula dilakukan.

“Konoha (Rakyat Indonesia) macam ni otak tak ada tu tujuan dia bakar hutan,” tulis seorang lagi pengguna.- KOSMO! ONLINE

Kenderaan polis terbabas, seorang anggota maut

Poliana Ronnie Sidom
Keadaan kenderaan polis yang terbabit kemalangan maut di Kampung Lot M, hari ini. – Foto IPD Kinabatangan
KINABATANGAN: Seorang anggota polis maut apabila kenderaan pasukan dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kampung Lot M, di sini, hari ini, selepas selesai mengiringi tahanan.

Konstabel Mathew Zulian Backly, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa bersama dua lagi anggota dikatakan dalam perjalanan pulang ke IPD Kinabatangan selepas selesai mengiringi tahanan dari Penjara Sandakan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Janeve Sindih, berkata kenderaan pasukan berkenaan dipercayai terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan lain dari arah hadapan.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan ketiga-tiga anggota mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Kinabatangan, untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, seorang daripada anggota berkenaan disahkan meninggal dunia pada jam 4.53 petang ketika dirawat,” katanya ketika dihubungi, di sini, malam ini.

Janeve berkata, mayat mangsa akan dibawa pulang ke Kuching, Sarawak, untuk urusan seterusnya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan pemergian anggota polis itu sebagai satu kehilangan buat seluruh warga IPD Kinabatangan.

“Semoga keluarga mendiang diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.

13 pelajar ‘bergasak’ guna senjata ditahan

FMT Reporters

Siasatan mendapati kejadian berpunca perselisihan faham antara dua pelajar sebelum pergaduhan berlarutan dan membabitkan beberapa pelajar lain.
Tangkap layar video tular sekumpulan pelajar bergaduh di Tawau. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seramai 14 individu termasuk 13 pelajar ditahan polis bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, Tawau, kelmarin.

Bagaimanapun, 13 pelajar terbabit dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disahkan bukan pelajar sekolah.

Ketua Polis Tawau, Rosdi Mat Jusoh, berkata semua individu berusia antara 12 hingga 14 tahun ditahan semalam.

Katanya, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang kelmarin.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca perselisihan faham antara dua pelajar sebelum pergaduhan itu berlarutan dan membabitkan beberapa pelajar lain.

“Rakaman video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu terbabit serta peranan masing-masing dalam insiden berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, polis turut merampas telefon pintar dan basikal dipercayai ada kaitan dengan siasatan kes itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, manakala remaja yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, rakaman video kejadian kira-kira 32 saat yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan remaja memakai uniform sukan dan pakaian seragam sekolah menengah saling tolak-menolak sebelum beberapa individu dilihat bergelut, manakala seorang individu kelihatan berada di atas tanah ketika dikelilingi beberapa remaja lain.

Lelaki ditembak berhampiran Zoo Johor

KOSMO!
POLIS Johor sedang menjalankan siasatan di Jalan Gertak Merah, Johor Bahru susulan satu kejadian tembakan yang dipercayai berlaku pada pukul 2 petang, hari ini.
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki cedera dipercayai terkena tembakan dalam kejadian di Jalan Gertak Merah, berhampiran pintu masuk utama Zoo Johor, di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Saya sahkan berlaku tembakan melibatkan anggota polis dan mangsa orang awam. Orang awam berkenaan dilaporkan cedera,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau turut memaklumkan satu sidang akhbar berhubung kejadian berkenaan akan dilakukan pihaknya, esok.

Sementara itu, seorang pengunjung Zoo Johor yang enggan dikenali berkata, insiden itu dipercayai berlaku pada pukul 2 petang.

“Ketika itu saya berada di dalam zoo, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi seperti tembakan. Jika tidak silap dua das.

“Saya sempat berseloroh dengan rakan dan berkata ‘macam itu rupanya bunyi pistol. Tidak sangka pula memang itu bunyi tembakan,” katanya yang berasal dari Kota Tinggi.

Tinjauan di lokasi mendapati, kawasan berkenaan telah ditutup dengan tali garisan polis berwarna kuning dari kedua-dua arah.

Kenderaan yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan masih berada di lokasi, bagaimanapun pemandu lelaki terlibat telah dibawa ke hospital bagi proses selanjutnya.-KOSMO! ONLINE

Indonesia disaman kerana cuai tangani jerebu

KOSMO!
SEORANG wanita memakai pelitup muka menunggang basikal melintasi Jambatan Kahayan di Palangkaraya, wilayah Kalimantan Tengah ketika ruang udara diselubungi jerebu tebal semalam. – AFP
JAKARTA – Kerajaan Indonesia dituduh melakukan ‘kecuaian serius’ dalam perbicaraan di mahkamah semalam mengenai saman terhadap presiden dan pegawai lain berkaitan jerebu akibat kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian Pulau Borneo.

Empat plaintif daripada badan bukan kerajaan pribumi, AMAM, memfailkan saman berkumpulan pada bulan lepas di sebuah mahkamah di kota Pontianak, wilayah Kalimantan Barat.

Rantau itu  terjejas teruk akibat kebakaran dan asap yang mengakibatkan  sekolah-sekolah ditutup serta memaksa ratusan penduduk  mendapatkan rawatan perubatan bagi penyakit saluran pernafasan.

Presiden Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat adalah antara 10 defendannya.

Peguam plaintif, Glorio Sanen  berkata,  kes itu merupakan ‘langkah untuk menangani masalah’ kebakaran hutan tahunan yang sebahagian besarnya berpunca daripada pemusnahan hutan dan didorong pada tahun ini oleh fenomena cuaca El Nino, mengakibatkan kemarau secara luar biasa.

Indonesia berbulan-bulan bergelut untuk mengawal kebakaran hutan  memusnahkan kawasan luas di Pulau Sumatera, Papua dan Borneo yang  mengeluarkan asap tebal dan menyesakkan dada sehingga ke Malaysia serta Singapura.

Tiada defendan yang hadir, demikian menurut wartawan AFP di dalam bilik mahkamah semalam.

“Kami  sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka(defendan).  Namun, kami juga memahami bahawa mungkin keadaan jerebu ini menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak,” kata Glorio kepada pemberita.

Saman serupa yang difailkan tahun lepas di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan telah ditolak. – AFP

Seludup syabu: Juruterbang Malaysia ditahan

Austin Camoens
POLIS menahan lelaki berkaitan kes cubaan menyeludup syabu dari Laos ke Filipina. FOTO Polis
KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan penahanan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 49 tahun yang memiliki sebuah syarikat berkaitan jet peribadi yang disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup lebih setengah tan syabu dari Laos ke Filipina.

Penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan juruterbang warga Malaysia yang ditahan berkaitan kes penyeludupan dadah kini seramai empat orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan lelaki berkenaan dalam maklum balas ringkas kepada NSTP, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyediakan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

3 beradik maut nahas motosikal di Pontian

FMT Reporters

Dua budak lelaki 11 dan lapan tahun serta remaja lelaki 18 tahun meninggal dunia di lokasi.
Tular di media sosial rakaman nahas maut yang meragut nyawa tiga beradik di Pontian.
PETALING JAYA: Tiga beradik maut selepas motosikal dinaiki terlibat nahas dengan lori dalam kejadian di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 7 pagi itu meragut nyawa dua kanak-kanak lelaki berusia 11 dan lapan tahun, selain remaja lelaki berusia 18 tahun, lapor Sinar Harian.

Dilaporkan, tiga beradik terbabit dalam perjalanan menuju ke sekolah kerana tidak mengetahui sesi persekolahan di seluruh Johor ditutup dua hari susulan kualiti udara teruk akibat jerebu.

Ketua Polis Pontian Hadzrat Hussein Mion Hussian, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.

Dua beradik maut masuk parit selepas berlanggar dengan kereta

LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah awal pagi tadi. - Foto IHSAN JBPM
PASIR SALAK – Dua beradik maut apabila motosikal dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.29 pagi.

Katanya, kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Yaris dan motosikal Yamaha Y15.

“Setibanya jentera di lokasi didapati kereta Toyota Yaris telah berada di dalam parit dan terdapat seorang mangsa cedera iaitu Mohamad Nor Afifi Harun, 31, di dalam kereta namun mangsa tidak tersepit.

“Penunggang dan pembonceng motosikal yang maut turut berada di dalam parit. Mereka ialah Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, dan adiknya, Adam Danial, 18.

Sabarodzi berkata, ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota untuk mengangkat ketiga-tiga mangsa menggunakan stretcher.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian manakala mangsa yang parah iaitu pemandu Yaris dibawa ke Hospital Seri Iskandar.

“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki Myanmar ditahan disyaki bunuh rakan senegara

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan kurang 12 jam selepas disyaki menikam mati rakan senegaranya di sekitar Maluri, Cheras, di sini, kelmarin.

Suspek berusia awal 30-an itu ditahan di sebuah premis sekitar Taman Maluri kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa berusia lingkungan 20-an meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kira-kira jam 10 pagi semalam akibat kecederaan parah di perut.

“Suspek adalah lelaki warga Myanmar berusia awal 30-an, tidak bekerja dan tiada rekod jenayah lampau.

“Suspek ditahan bersama rampasan sebilah gunting yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

PAS digesa bentang pelan ekonomi negara menjelang Belanjawan 2027

Ameer Fakhri dan Lim Yi Hang

PETALING JAYA: PAS digesa menggunakan tempoh menjelang Belanjawan 2027 untuk membentangkan pelan ekonomi negara yang menyeluruh, bukan sekadar mengetengahkan tekanan fiskal yang perlu ditangani Putrajaya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Ahli Parlimen PAS perlu memainkan peranan lebih tegas dengan meneliti belanjawan serta mengemukakan hujah berasaskan fakta, penyelidikan dan cadangan alternatif.

Katanya, perkara itu lebih penting memandangkan PAS mempunyai blok Ahli Parlimen terbesar daripada satu parti di Dewan Rakyat, selain menjadi suara utama pembangkang.

“Ahli Parlimen PAS mesti menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mampu menawarkan dasar dan pendekatan yang lebih baik daripada kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Mazlan berkata PAS juga boleh mengukuhkan hujahnya dengan mengetengahkan pencapaian di empat negeri SG4, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Menurutnya, PAS boleh menggunakan kesempatan itu untuk menjelaskan kekangan dihadapi kerajaan empat negeri berkenaan dalam bidang yang bergantung pada peruntukan, kelulusan serta dasar pelaburan kerajaan persekutuan.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman supaya kerajaan menangani tujuh realiti ekonomi dalam Belanjawan 2027, termasuk ruang fiskal yang terhad, tekanan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan, gaji rendah, tekanan terhadap perniagaan kecil serta kebergantungan belia kepada pekerjaan gig.

Syahir berkata petunjuk utama ekonomi, termasuk pertumbuhan 6% pada suku kedua, pengukuhan ringgit serta pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion bagi separuh pertama tahun ini, masih belum diterjemahkan kepada taraf hidup lebih baik bagi rakyat biasa.

Bagi Mazlan, kebimbangan itu akan lebih meyakinkan jika PAS turut menjelaskan apa yang akan dilakukan secara berbeza sekiranya mentadbir di peringkat persekutuan.

“Sebagai parti terbesar di Parlimen, PAS sememangnya perlu mempunyai agenda ekonomi yang jelas untuk negara.

“Ini kerana PAS berpotensi membentuk kerajaan pada masa depan,” katanya.

SG4 sebagai kayu ukur

SG4 merangkumi 5.7 juta penduduk di 32 daerah, dengan Kedah memberi tumpuan kepada sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik, manakala Terengganu kepada tenaga dan petrokimia.

Kelantan pula berperanan sebagai pintu masuk perdagangan rentas sempadan, sementara Perlis memanfaatkan perdagangan sempadan dan tenaga solar.

Ahli ekonomi Harridon Suffian dari Universiti Kuala Lumpur Business School menyifatkan prestasi ekonomi negeri ditadbir PAS sebagai bercampur-campur, dengan pencapaian ketara dalam beberapa bidang tetapi kemajuan yang tidak sekata antara negeri SG4.

Katanya, Terengganu menjadi satu contoh negeri yang mempunyai entiti ekonomi lebih maju menerusi Terengganu Incorporated, yang telah mempelbagaikan pelaburannya dalam sektor perladangan, penjagaan kesihatan, hartanah dan hospitaliti.

Sementara itu, anak syarikatnya, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd, telah membina kedudukan dalam sektor minyak dan gas serta perkhidmatan marin, dengan mencatatkan hasil RM411.9 juta tahun lalu.

Kedah juga mempunyai potensi besar menerusi Kulim Hi-Tech Park yang berjaya menarik pelabur utama seperti Intel, Infineon Technologies dan Austria Technologie & Systemtechnik.

Bagaimanapun, Harridon berkata Kelantan dan Perlis masih memerlukan usaha lebih kukuh untuk menarik pelabur serta mempelbagaikan asas ekonomi masing-masing.

“Setiap negeri ditadbir PAS perlu melaksanakan usaha secara konsisten untuk meningkatkan kerancakan ekonomi SG4 secara keseluruhan.

“Negeri SG4 memerlukan hubungan ekonomi yang lebih kukuh supaya dapat menikmati limpahan pertumbuhan daripada wilayah yang berkembang lebih pesat,” katanya.

Jika berjaya, Harridon berkata model SG4 akan mengukuhkan hujah PAS bahawa parti itu mampu membawa pembangunan lebih saksama, termasuk kepada negeri yang mempunyai sumber lebih terhad atau kurang tarikan kepada pelabur.

Mazlan pula berkata pengaruh PAS, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, memberikan parti itu ruang untuk suaranya didengar dalam isu ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, kredibiliti PAS bergantung pada keupayaan parti itu beralih daripada sekadar mengkritik kepada membentangkan pelan ekonomi negara yang boleh dinilai pengundi berdasarkan rekod pentadbirannya di negeri SG4.