M Faqih
KOTA BHARU: Kenyataan Senator John McCain dari Amerika Syarikat kononnya Malaysia negara Islam contoh di mata dunia, disifatkan seumpama membiar harimau menjadi gembala kambing.
“Semua orang tahu Amerika Syarikat bermusuh dengan umat Islam sejak sekian lama, bagaimanapun pula mereka boleh mengatakan Malaysia negara Islam contoh.
“Samalah seperti membiarkan harimau menjadi gembala kambing. Kita malu dengan kenyataan seperti itu,” kata Mursyidul Am PAS pada reaksinya terhadap kenyataan McCain seperti disiarkan media hari ini.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sejak dahulu lagi masyarakat dunia sudah kenal negara terbabit yang memusuhi orang Islam, tiba-tiba pula menganggap Malaysia negara Islam contoh.
McCain yang juga bekas calon Presiden Amerika dilapor mengakui Malaysia merupakan contoh sebuah negara Islam di mata dunia yang mengamalkan sistem demokrasi dan kemajuan ekonomi menakjudkan.
Kenyataan itu dikatakan dibuat selepas tokoh terbabit dan Senator Joseph Lieberman mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya bulan lepas.
Berucap pada perasmian Pusat Penerangan PAS Kelantan di Jalan Dato Pati Tuan Guru Nik Aziz juga berkata, ada pihak sekarang sibuk mempamerkan sikap rasis seumpama seperti budak tadika.
“Sekarang mereka sibuk memperjuangkan bangsa sehingga pandangan Islam yang lebih jauh tidak dipakai.
“Mengapa mereka tidak menjadikan al Quran sebagai panduan dan mengikut segala suruhan Nabi Muhammad saw. Sedangkan baginda menjadi pengantara antara manusia dengan pencipta-Nya.
“Kalau kita tolak Islam bermakna kita tolak Rasul dan dengan sendirinya juga tolak Allah Taala,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan