BEKAS pelawak dan pelakon, Bob Lokman atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, dilaporkan kini dalam keadaan sihat selepas dimasukkan ke Hospital Taiping, 24 Jun lalu.
Beliau yang dihubungi semalam berkata, keadaannya beransur pulih setelah menerima rawatan.
“Alhamdulillah. Keadaan saya bertambah baik. Doktor mengesahkan jantung dan paru-paru saya dimasuki air.
“Saya akan berehat selama dua hari di rumah (semalam dan hari ini) dan akan kembali berceramah selepas itu,” katanya yang dibenarkan pulang ke rumahnya di Sungai Buloh, pada petang kelmarin.
Pada pagi Ahad lalu, Bob dikejarkan ke Hospital Taiping oleh rakan-rakannya apabila mengalami sesak nafas sewaktu tidur.
Bob ketika itu berada di Taiping bagi menjalankan ceramah agama di sana.
Selepas sehari dimasukkan ke dalam wad di hospital tersebut, pelawak ini dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh dan dijaga oleh anaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan