"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aktivis Royalti terus kempen walau dibelasah

Harakahdaily
KOTA BHARU: Biarpun berdepan tentangan dari pihak tertentu sehingga beberapa aktivis Royalti cedera dipukul minggu lalu, Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) tetap meneruskan desakan dan kempen mereka.

Pada 7 Julai ini, satu lagi program yang dinamakan 'Berjalan untuk Royalti' akan diadakan pihak mereka.
Menurut setiausahanya Hisyamuddin Ghazali, program itu akan diadakan di sekitar Stesen Bas Bandar Kota Bharu termasuk Pasaraya Giant dan Pasar Siti Khadijah bermula jam 2 hingga 4 petang.

"Tujuan program ini dibuat kerana mahu mengumpulkan aktivis royalti dan menyebarkan maklumat kepada rakyat di negeri ini.

"Setakat ini kita tidak mendapat liputan yang baik dari media cetak mahupun media elektronik, dan kami terpaksa bertemu sendiri dengan masyarakat," katanya kepada harakahdaily.

Pada himpunan di hadapan pejabat SUK 26 Jun lalu, enam aktivis royalti cedera didakwa dipukul oleh pihak tertentu ketika bertembung dengan kumpulan NGO pro Umno Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Himpunan Royalti yang memakai logo 'R' untuk royalti, bertujuan menjunjung titah baginda Sultan Kelantan yang menyokong pendaratan minyak dan gas ke negeri itu.

Mengulas lanjut himpunan Sabtu ini, Hisyamuddin berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pihak polis untuk tujuan keselamatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hisyamuddin memberitahu pihak Royalti akan mendedahkan hasil kajian impak ekonomi Pendaratan Gas di Songkla, Thailand yang dijalankan mereka baru-baru ini.

Seramai 28 orang deligasi aktivis Royalti telah pergi ke negara Gajah Putih itu minggu lalu bagi melihat kesan sosio ekonomi kawasan yang terlibat dengan pendaratan petroleum itu.

"Di sana kita telah membuat kajian lapangan, kita bertemu masyarakat setempat, beberapa agensi kerajaan yang berkaitan serta pihak universiti di sana.

"Banyak penemuan-penemuan penting yang kita perolehi dan kita akan dedahkan dalam masa terdekat," katanya.

Tiada ulasan: