"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sokong ketua Umno cawangan yang menentang Najib: Muhyiddin tidak kisah dipecat

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini bagi beri sokongan kepada 9 ketua Umno cawangan Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 2 Disember, 2015. Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini bagi beri sokongan kepada 9 ketua Umno cawangan Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin hari ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke perkarangan Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur kira-kira 2 petang tadi untuk memberikan sokongan kepada 9 ketua Umno cawangan Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau tidak kisah sekiranya dirinya dipecat kerana datang ke PWTC hari ini kerana kehadirannya adalah untuk menegakkan kebenaran.

"Bagi saya, penting ialah perjuangan yang benar, saya rasakan saya dah bersedia menghadapi apa saja.

"Walaupun saya tidak mahu diri saya dipecat," katanya kepada pemberita.

Semua ketua cawangan yang menamakan diri mereka Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) hari ini dipanggil kerana mengadakan sidang media tempoh hari, menggesa Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno.

"Saya datang memberikan sokongan moral kepada mereka yang dipanggil Lembaga Disiplin Umno.

"Saya percaya mereka menyatakan sesuatu yang benar," kata bekas timbalan perdana menteri itu yang menegaskan mereka turut mempunyai hak sebagai ahli, tidak kira jawatan.

Timbalan presiden Umno itu juga berharap lembaga disiplin mempertimbangkan hukuman yang akan dijatuhkan dan tidak semudahnya menghukum hanya kerana mereka berbeza pendapat.

Kedatangan Muhyiddin disambut 50 ahli Umno diiringi bekas ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman dan bekas pemimpin Wanita Langkawi Anina Saadudin untuk memberikan sokongan solidariti kepada 9 ketua cawangan tersebut.

Sebelum ini pada 24 Oktober lalu, 13 cawangan di bawah Umno bahagian Telok Kemang mendesak Najib meletak jawatan.

Bagaimanapun, hanya 9 ketua cawangan Teluk Kemang itu dipanggil Lembaga Disiplin hari ini dan 7 daripada mereka yang hadir.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: