"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kata-dua buat Dr M: Mohon maaf atau kami buat laporan polis

Gerakan Akar Umbi Umno memberi Tun Dr Mahathir Mohamad tempoh selama seminggu untuk memohon maaf berhubung ucapannya mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di Sarawak pada Ahad lalu.

Kegagalan berbuat demikian, kata pengerusi gerakan itu, Datuk Zulkarnain Mahdar, akan menyaksikan pihaknya membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri itu berdasarkan alasan fitnah dan menghasut.

Gerakan itu mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mempersalahkan Najib dan bapanya, yang juga adalah perdana menteri kedua, berhubung dakwaan terhakisnya hak dan keistimewaan Sarawak termasuk negeri Sabah.

Sambil mencabar Dr Mahathir untuk menyokong tuntutannya dengan bukti, Zulkarnain menegaskan bahawa Najib adalah satu-satunya perdana menteri yang mencadangkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

“Najib juga telah berjaya memberikan peluang kepada rakyat Sarawak dan Sabah menjadi menteri kanan persekutuan sehingga melibatkan 11 menteri penuh dan sembilan timbalan menteri yang tidak pernah berlaku pada zaman Tun Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi meletakkan kesalahan di atas bahu Abdul Razak berhubung Akta Petroleum 1974, Zulkarnain mengingatkan Mahathir bahawa beliau adalah anggota kabinet ketika itu.

“Harus diingat Akta Petroleum 1974 tersebut telah mendapat persetujuan kabinet malahan Mahathir telah menjadi menteri kabinet pada masa akta tersebut diluluskan dan tujuh tahun kemudian Mahathir telah menjadi perdana menteri.

“Kalaulah benar menurut pandangan Mahathir, Akta Petroleum itu adalah satu kesilapan dan dosa besar yang telah dilakukan oleh Abd Razak kenapa selama 22 tahun Mahathir menjadi perdana menteri, akta tersebut tidak digubal semula,” soalnya.

Zulkarnain juga menegaskan bahawa Mahathir turut memperkenalkan dasar Kabotaj untuk Sabah dan Sarawak ketika beliau adalah timbalan perdana menteri serta menteri pelaburan dan industri.

“Dasar ini yang diperkenalkan oleh Mahathir pada tahun 1980-an dengan setiap barang yang dibeli dari luar negara perlu melalui Pelabuhan Klang terlebih dahulu sebelum dihantar ke Sarawak dan Sabah.

“Dengan terlaksananya dasar ini sekaligus menjadi peyumbang utama harga barang di Sarawak dan Sabah jauh lebih mahal dibandingkan dengan semenanjung Malaysia kerana kos pengangkutan yang berganda sekaligus memberi kesan kepada kapal-kapal asing kerana tidak boleh memunggah kargo mereka secara langsung dalam pelabuhan-pelabuhan lain dan perlu melalui pelabuhan ditetapkan seperti Port Klang,” katanya.

Zulkarnain berkata Najib, sebaliknya, menghapuskan dasar Kabotaj pada 7 Mei tahun ini dengan harapan ia akan mengurangkan harga barangan.
“Ini tidak termasuk jasa Najib meluluskan pembinaan projek Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah yang menelan belanja hampir RM29 bilion,” katanya.

Zulkarnain mendakwa walaupun Dr Mahathir cuba menghalalkan cara dan mengelirukan pemikiran rakyat dengan tuduhan tidak berasas itu namun beliau percaya bahawa rakyat akan dapat menilai sumbangan Najib berbanding bekas perdana menteri itu kepada negeri masing-masing.
-malaysiakini

Tiada ulasan: