Yasmin Ramlan
JOHOR akan bertukar dari kubu kuat Umno ke kubu kuat Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
"Johor dulu kubu kuat Umno tapi sekarang kita minta supaya jadi kubu kuat Pakatan Harapan."
Menurutnya, Umno asalnya ditubuhkan di Johor untuk menyelamatkan dari jajahan British tapi katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Johor sebagai satu gerakan membersihkan negara dari kleptokrasi.
Ucapannya itu diiringi oleh tepukan dan sorakan yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 hadirin di Taman Dahlia di Tampoi, Johor, iaitu kawasan Parlimen Pulai yang disandang oleh Nur Jazlan Mohamed selama tiga penggal berturut-turut dari 2004 hingga 2013. Beliau juga merupakan timbalan menteri dalam negeri.
Pulai merupakan kubu kuat Umno sejak 1974.
Johor pula merupakan kubu kuat Umno, iaitu tempat lahirnya parti Melayu terbesar itu.
Bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat selama 22 tahun itu juga memberitahu pada para hadirin bahawa jika negeri itu berjaya ditawan oleh pembangkang, semakin cerah peluang mereka untuk menawan Putrajaya.
Beliau menyeru agar rakyat Johor tidak terperdaya dengan muslihat Umno yang sering mempermainkan sentimen perkauman dengan menakut-nakutkan rakyat bahawa Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang akan mentadbir negara sekiranya pembangkang mengambil alih Malaysia.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin turut senada dengan pemimpin berusia 92 tahun itu dengan mengatakan Johor bakal diambil alih oleh pembangkang.
Ahli Parlimen Pagoh yang memegang kerusi selama lima penggal berturut-turut itu berkata rakyat perlu bekerjasama demi menyelamatkan negara sebagaimana wujudnya parti Umno di negeri Johor demi menyelamatkan negara dari jajahan British.
"Saya nak cerita sikit berkenaan negeri Johor ini. Satu ketika dulu bermulalah satu gerakan menyelamatkan negara kita dari dijajah oleh British tapi hari ini, di sini juga (Johor), jelajah untuk menyelamatkan negara kita dari pemimpin yang dikenali dunia sebagai penyangak dan penyamun," katanya.
"Kita semua sedar dan kita semua tahu ini kubu kuat parti Umno. Dulu Umno tak boleh dikalahkan di Johor...itu dulu," katanya sambil disorak oleh para hadirin.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Gelang Patah Kit Siang, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution yang menggantikan Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan