"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mereka yang tak peduli

Pembentangan Merdeka Center tempoh hari tentang angka bilangan anak muda yang tidak sedikit pun peduli untuk tidak mendaftar sebagai pengundi, sebenarnya tidak begitu memeranjatkan.

Anak muda Malaysia sememangnya sudah biasa membiarkan orang lain membuat keputusan bagi pihak mereka. Dimanja dan dibesarkan dengan teknologi di tangan dan makanan disuap ke mulut, kita tidak perlu hairan.

Kita sepatutnya sedar bahawa kitalah yang telah meletakkan masa depan negara di tangan generasi yang tidak peduli.

Terbaru muncul beberapa pihak yang mengajukan usaha supaya tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang. Dan kalau pun keluar mengundi, harusnya dirosakkan sahaja undi itu sebagai tanda protes.

Kata mereka undi nan satu itu tidak akan merubah apa-apa. Malah undi yang demikian banyak sehingga gabungan Pakatan Rakyat meraih 51% undi popular pada 5 Mei 2013 pun tidak membawa kesan.

Lebih baiklah merajuk dan marah-marah dengan keadaan, menendang-nendang sambil berteriak seperti bayi kehilangan botol susu, supaya semua orang memandang mereka dan bertanya khabar dan kemudian diberi segala yang dimahu.

Malangnya realiti politik Malaysia tidak semudah itu. Tidak semudah bayi menangis-nangis minta susu.

Kelas membebel

Di antara lapis-lapis kelas elit, borjuis dan proletariat itu sebenarnya ada satu lagi kelas yang disebut Hishamuddin Rais sebagai kelas membebel.

‘The chattering class’ katanya. Kasta masyarakat yang hidup berbekalkan kopi dan air liur. Banyak cakapnya, kurang kerja buatnya.

Kelas pemalas yang akan mengambil jalan mudah untuk duduk di rumah dan membiarkan orang lain berpartisipasi mencatur masa depannya yang sudah malas diambil peduli.

Kelas masyarakat spesis ini kini adalah majoriti. Mereka lahir daripada rahim kebangkitan media sosial dan internet laju; di mana hari demi hari boleh dihabiskan dengan menonton video kucing berlari-lari sambil membebel sesama sendiri.

Menyerahkan hak memilih adalah jalan mudah. Sebab yalah, menyerah sebelum kalah. Meletakkan senapang sebelum berjuang. Bukankah mudah?

Ia bukan aksi melawan. Bukan aksi menunjukkan kekuatan atau menggunakan ‘hak untuk tidak memilih’. Tidak memilih ertinya menyerah. Ertinya merelakan diri dilenjan daulah tanpa mengangkat walaupun sebatang jari.

GST, korupsi, bertuankan kerajaan sarat kleptokrasi? Na’am, na’am ya sidi. Kemudian membebel berjemaah. Pahala berganda barangkali.

Menyedari hakikat

Akar kepada permasalahan ini sebenarnya bukanlah kebodohan, seperti yang kita semua sangkakan. Masalahnya juga bukan sebenarnya kelelahan. Meski kita nyata melihat begitu ramai aktivis dan anggota kelas membebel ini sebenarnya letih dan lesu dengan segala yang sedang terjadi.

Akar kepada masalah malas ambil tahu dan tidak peduli ini ialah kegagalan kita untuk memahami hakikat pergelutan puluhan tahun melawan United Malays National Organisation.

Pokok pangkal kepada masalah ini ialah tumpuan kita yang mudah dialih-alih. Dan tengkuk kita yang cepat geli dengan hal-hal yang melalaikan daripada tunjang utama perjuangan.

Seharusnya kita tidak boleh gagal daripada memahami bahawa setiap pilihan raya adalah upaya masyarakat untuk melawan rejim. Sebuah rejim yang sudah berkuasa selama 60 tahun tanpa sekali pun pernah ditewaskan.

Kita semua tidak mengundi untuk menghantar siapa-siapa ke Putrajaya. Kalau mahu ke Putrajaya, menyelinap sahaja masuk Umno, masuklah kerajaan dan bisikkan dasar-dasar serta pembaharuan ke telinga mereka yang melilau di koridor kuasa. Mudah.

Kalau pun tak ada manifesto di pihak parti-parti lawan Umno, perlawanannya tetap bertujuan untuk mencabut parti pemerintah itu daripada takhta kekuasaan.

Dasar dan tawaran baru sebagai langkah memulihkan negara itu kira bonus. Apa yang asas ialah mengalih kedudukan Umno sebagai parti politik paling lama berkuasa sehingga merasakan dirinya tuan dan empunya kita semua, menjadi hamba dan pesuruh yang akan harus merayu-rayu untuk kembali diberikan kerja.

Itu dia hakikatnya.

Kita mesti menang

Pilihan raya umum yang bakal menjelang tiba adalah penentu kepada nasib negara untuk sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi. Sekiranya Umno dibiarkan untuk terus menang dan berkuasa, tidak akan ada lagi ruang untuk melawan ataupun bersuara.

Kemenangan Umnoi pada pilihan raya kali ini, akan mempertingkatkan egonya setinggi langit dan membuatnya rasa hebat dan langsung tidak tercabar.

Kenyataan terbaru Perdana Menteri Najib Razak menempelak rakyat yang ‘bising’ kerana dikenakan cukai GST 6% adalah petanda bahawa ia boleh sahaja dinaikkan sekiranya Umno merasakan mereka diberi mandat lanjutan.

Kemenangan Umno akan membawa erti sokongan terhadap dasar-dasarnya yang hari ini menjerut leher kita semua.

Kita tidak ada pilihan, kita mesti menang. Rakyat mesti menewaskan rejim ini. Kalau pun anda merasakan BN dan Pakatan Harapan itu sama sahaja, saya ada khabar untuk anda. Itu bukan pilihannya.

Pilihannya ialah sama ada membiarkan Datin Seri Rosmah Mansor dan suaminya terus merajalela. Atau menunjukkan mereka pintu keluar dari istana Putrajaya. Itu sahaja.
Kalau itu pun anda tidak peduli. Anda sememangnya berhak untuk dilenjan oleh parti pemerintah setiap hari. Padan muka anda.

IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: