"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zamihan fitnah Bilal Philips, disaman RM1 juta

Diyana Ibrahim
Zamihan fitnah Bilal Philips, disaman RM1 juta
Abu Ameenah Bilal Philips (gambar) seorang pendakwah terkenal dari Kanada dan individu yang tersenarai dalam senarai tokoh Islam berpengaruh dunia 2017 memfailkan saman ganti rugi lebih RM1 juta terhadap pendakwah kontroversi, Zamihan Mat Zin kerana memfitnah kononnya Bilal Philips menyokong kumpulan pengganas antarabangsa melalui satu tulisan di Facebook setahun lalu. – Gambar YouTube, 15 November, 2017.
SEORANG pendakwah Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips memfailkan saman ganti rugi lebih RM1 juta terhadap pendakwah kontroversi, Zamihan Mat Zin kerana memfitnah.

Zamihan didakwa membuat kenyataan fitnah kononnya Bilal Philips menyokong kumpulan pengganas antarabangsa melalui satu tulisan di Facebook setahun lalu.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September lalu, Bilal Philips menamakan Zamihan sebagai defendan tunggal.

Kes berkenaan didengar di mahkamah hari ini untuk pengurusan kes, kata peguam Meor Amir Meor Omar Baki yang mewakili Bilal Philips.

Berita saman terhadap Zamihan ini muncul sehari selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, April lalu yang memutuskan beliau membuat kenyataan fitnah terhadap Syria Care, tiga tahun lepas

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh The Malaysian Insight, pendakwah antarabangsa itu menuntut satu perintah mahkamah untuk Zamihan memohon maaf secara terbuka dalam akhbar utama pilihan plaintif.

Beliau juga mahu Zamihan memohon maaf melalui akaun Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari dan menarik balik catatan yang memfitnah itu.

Bilal Philips merupakan pendakwah bebas terkenal yang mendapat jemputan berdakwah dan menyampaikan ceramah agama di serata dunia.


Beliau memeluk Islam sekitar tahun 1970-an merupakan lulusan Pengajian Islam dari Universiti Islam Madinah serta memiliki ijazah sarjana dan Ph.D dalam bidang teologi Islam masing-masing dari Universiti Riyadh dan Universiti Wales.

Dalam penyata tuntutan samannya, Bilal Philips berkata Zamihan, dengan niat jahat, telah memuat naik posting yang memfitnahnya sebagai "international terrorist supporter" (penyokong pengganas antarabangsa).

Kenyataan Zamihan itu, katanya, bukan saja merosakkan reputasi dan kredibilitinya tetapi turut mendatangkan “kesusahan dan kesedihan teruk” pada dirinya.

Dalam penyata tuntutannya, Bilal Philips menyatakan beliau telah menulis, menterjemah dan memberi komentar bagi lebih 50 buah buku pelbagai topik berkenaan Islam, serta terlibat dalam penerbitan pelbagai program televisyen berunsurkan Islam.

Beliau juga pernah memberikan pengajian Islam secara percuma dalam talian, Islamic Online University yang beliau asaskan, dan kerana sumbangannya itu, beliau dinamakan sebagai antara 500 individu Islam paling berpengaruh pada 2017.

"Plaintif menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan defendan di dalam posting yang memfitnah tersebut yang merujuk plaintif sebagai penyokong keganasan antarabangsa," katanya dalam penyata tuntutan tersebut.

"Plaintif menegaskan bahawa posting tersebut adalah fitnah, palsu dan tidak mempunyai sebarang asas."

Bilal Philips merujuk kepada catatan di akaun Facebook Zamihan bertarikh 26 September 2016 yang mengulas kuliah agama pendakwah antarabangsa itu di Kangar, Perlis.

Catatan Zamihan itu turut memaparkan poster majlis itu yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail, di Kangar Perlis pada 1 Disember 2016, lengkap dengan foto Bilal Philips.

Dalam penyata tuntutannya, Bilal Philips mengatakan beliau menerima jemputan individu daripada kerabat diraja Perlis.

Bilal Philips, yang juga pensyarah di American University di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, turut memohon injuksi kekal menghalang Zamihan daripada mengulangi kenyataan fitnahnya.

Selain ganti rugi lebih RM1 juta yang akan ditaksirkan oleh mahkamah, Bilal Philips juga menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Tiada ulasan: