"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah tolak injunksi, Wisma Tok Guru masih milik Husam

ZIKRI ABDULLAH
Wisma Tok Guru masih milik Adun Salor, tetapi tapaknya milik PAS selepas dibeli.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Adun Salor, Datuk Husam Musa untuk menghalang Pas Kelantan mengadakan majlis solat hajat di atas tanah yang dibeli mereka yang menempatkan pejabatnya, Wisma Tok Guru.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Ahmad bin Bache berkata, bangunan Wisma Tok Guru masih dimiliki oleh Adun Salor itu sehinggalah perbicaraan penuh mengenainya diadakan.

Menurut hakim itu, mahkamah tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk membuat aktiviti di atas tanah milik mereka selepas pihak defendan mengemukakan tanah itu adalah milik mereka.

Tambahan lagi, katanya, pihak polis telah memberikan permit kepada majlis solat hajat yang telah dipohon oleh Pas Kelantan yang akan diadakan malam ini di atas tanah itu.

Husam telah diperintahkan membayar kos RM7,000 kepada pihak defendan iaitu pemilik tanah itu iaitu Mohd Yassin Yusof, Setiausaha Kerja Pas Kelantan.

Ketika dibangkitkan oleh peguam Husam tentang isu keselamatan yang mungkin berlaku, hakim berkata, pihak polis telah memberikan permit kepada majlis malam ini dan bertanggungjawab untuk menjaga keselamatannya.

“Jika ada berlaku pergaduhan maka pihak-pihak perlu datang semula ke sini,” katanya dalam penghakiman itu.

Husam membuat permohonan perintah injunksi itu terhadap Setiausaha Kerja Pas Kelantan yang Mohd Yassin Yusof yang membeli tanah pejabatnya, Wisma Tok Guru dengan harga RM700,000 dari balu Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim, pemilik asal tanah dan bangunan itu.

Husam memohon injunsksi dari mahkamah untuk menghalang Pas dari memasuki premis itu.

Husam diwakili oleh tujuh peguam iaitu Mat Zaidan Ali, Norazham Yahya, Hisham Fauzi, Mohd Murtadza Mohd Mokhtar, Shamsul Baharin Abdullah, Mohd Yusof Yakob dan Alawi Mohd Rashid.

Yassin pula diwakili oleh Nik Asma Baharom Nik Abdullah dan Datuk Takiyudin Hassan.

Pas Kelantan telah mengarahkan semua ahlinya agar hadir ke majlis solat hajat di Wisma Tok Guru malam ini selepas membeli tanah tapak bangunan itu sebulan yang lalu.

Husam telah memfailkan saman terhadap Yassin berkaitan tanah dan bangunan ini. Perbicaraan penuh mengenainya telah ditetapkan pada 4 Disember ini.

Sementara itu, waris Datuk Rosli Ibrahim pula telah membuat tuntutan pembahagian harta pesaka ke atas tanah ini di mahkamah syariah dan perbicaraan kes ini akan diadakan pada 7 Januari 2018.

Tiada ulasan: