Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR: Ucapan Datuk Seri Najib Razak digasak oleh beberapa ahli parlimen kerajaan pada pertama kali berucap dalam Dewan Rakyat sebagai pembangkang ketika membahaskan titah Agong.
Hari ini merupakan kali pertama Najib berucap di Dewan Rakyat sejak ia mula bersidang pada 16 Julai lalu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika berucap, kelihatan beberapa ahli parlimen kerajaan turut mencelah termasuk R Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong).
Rayer meminta Najib menjelaskan isu 1MDB dan simpanan wang di rumah bekas perdana menteri itu.
Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudian meminta Rayer tidak menganggu Najib.
“Yang berhormat ikut peraturan,” katanya.
Najib berkata beliau akan membantu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.
Ahli parlimen Pekan itu berkata, semasa di akhir pemerintahan BN sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), keadaan ekonomi negara begitu kukuh.
Katanya, kini beliau berasa bimbang nasib golongan Felda di bawah kerajaan PH.
“Sebaik sahaja PH mentadbir, mereka tidak endahkan golongan peneroka, hari peneroka tidak disambut.
“Manifesto PH ingin membatalkan hutang peneroka dalam 100 hari, tapi apa jadi dengan janji ini,” katanya.
Pada PRU14 menyaksikan BN tumbang kepada PH yang membentuk kerajaan apabila memenangi 121 kerusi Parlimen.
Gabungan itu juga berjaya merampas bebarapa negeri baharu selain Selangor dan Pulau Pinang. Mereka menawan Perak, Kedah, Sabah, Negeri Sembilan, Johor, dan Melaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan