SG KANDIS | Usikan kartunis muda Amin Landak terhadap PAS berkaitan isu pilihan raya kecil Sungai Kandis menimbulkan rasa tidak senang parti itu dan penyokongnya.
Malah, tempiasnya turut terkena Malaysiakini yang menyiarkan kartun satu muka tanpa dialog itu.
"Kartun yang disiar di Malaysiakini ini bagi kami adalah biadab!" tulis PAS di Facebooknya dan diulang siar di media sosial Harakahdaily.
Parti itu memuat naik semua kartun itu dengan ditambah tulisan "Malaysiakini biadap!" dan perkataan "rude” (biadap).
Baca: Yak bok te! Amin Landak yang saya kenali
Kartun itu menggambarkan pemimpin PAS sedang membentangkan permaidani merah kepada BN di Sungai Kandai.
Ia dipercayai merujuk kepada keputusan PAS tidak bertanding dan memberi laluan kepada BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Ketua Penerangan PAS pula baru-bari ini, ketika mengulas itu PRK itu, memperkenalkan slogan "Asalkan Bukan Pakatan Harapan - ABAH".
'Tentera Hijau' balas
Sementara itu, Facebook pro-PAS "Tentera Hijau Kebangsaan Malaysia" pula membalas kembali usikan Amin dengan mengubah suai kartun itu.
karya ubah suai itu kini menggambarkan serpihan PAS - Parti Amanah Negara (AMANAH) membentangkan permaidani PKR kepada DAP dan Pakatan Harapan.
Amin terkenal dengan kartun-kartun satira politik, khususnya dalam siri “Yak Bok Te!”
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Amin berkaitan kontroversi itu.
PRK DUN Sungai Kandis bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru calon BN Datuk Lokman Noor Adam, calon PKR Zawawi Mughni dan calon bebas K Murthy.
Ia diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, orang lama reformasi serta bekas setiausaha politik menteri besar Selangor, meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi itu dengan 23,998 undi selepas menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan