MUFTI Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu DAP menyatakan pendirian parti itu terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy yang dikaitkan dengan kegiatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Beliau berkata, sehingga kini masih belum ada mana-mana pimpinan tertinggi parti itu bersuara mengenai perkara berkenaan.
“Saya dukacita, saya hairan kerana pimpinan DAP tiada yang bersuara dalam kes ini. Saya tidak tahu kenapa mereka diam.
“Mungkin mereka sedang tunggu kenyataan polis atau sebagainya. Sekurang-kurangnya kita harap mereka akan menyebut 'kita minta polis akan siasat', tetapi tiada?” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-14 di Kangar, hari ini.
Mohd Asri berkata, sikap ‘double standard’ Ramasamy dapat dilihat sebelum ini apabila membantah ekstradisi anggota LTTE yang ditahan di negara ini untuk pulang ke Sri Lanka.
“Ini bukan soal Dr Zakir Naik, tetapi apabila membabitkan Dr Zakir Naik, dia (Ramasamy) meminta perkara yang berbeza dengan apa yang dia tuntut dengan LTTE.
“LTTE adalah pasukan keganasan yang bukan sahaja memerangi Kerajaan Sri Lanka, malah membunuh orang Islam. Kebencian LTTE dengan umat Islam amat ketara.
“Saya lihat kebencian dan anti Islam ini ada pada Ramasamy, ini iaitu salah satu ciri LTTE," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kecenderungan Ramasamy menyokong LTTE tidak dapat dinafikan apabila pemimpin itu turut menjemput aktivis LTTE menghadiri majlis anjurannya sebelum ini.
Menurutnya, sebelum ini ada wanita yang memiliki beberapa buku mengenai Daish sudah dihukum kerana dikaitkan dengan keganasan.
“Bagaimana Ramasamy sehingga hari ini belum diambil tindakan? Sedangkan pembabitannya jelas dengan LTTE berbanding dengan individu yang hanya memiliki buku yang dikaitkan dengan pengganas,” katanya.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan