FMT Reporters
GEORGE TOWN: Satu kajian yang menunjukkan ramai doktor muda dan doktor pelatih memikirkan untuk membunuh diri akibat dibuli di tempat kerja tidak mengejutkan sekumpulan doktor yang menjalani latihan siswazah yang ditemubual FMT baru-baru ini.
Pelatih siswazah yang berkhidmat di hospital di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, berkata doktor pelatih bekerja di bawah tekanan yang teruk dan ada yang meminta bantuan pakar psikiatri.
Tetapi mereka menjawab “tidak” apabila ditanya sama ada mereka melaporkan kes itu sebagai maklum balas kepada gesaan oleh Persatuan Perubatan Malaysia baru-baru ini. Ia boleh menjejaskan kerjaya, kata mereka.
Seorang pelatih siswazah mendakwa seorang doktor kanan mengugut akan menggagalkan dia dan rakan-rakannya dalam penilaian akhir jika mereka melaporkan perkara ini kepada pihak atasan.
Penilaian akhir akan menentukan jika pelatih itu boleh mendapatkan lesen pengamalan kedoktoran selepas menjalani latihan selama 2 tahun di hospital kerajaan.
Memburukkan lagi keadaan, pelatih kini dilantik oleh Kementerian Kesihatan berdasarkan kontrak, yang bermaksud mereka tidak mempunyai jaminan untuk lantikan tetap.
“Kami berada di bahagian bawah rantaian,” kata salah pelatih. “Kami perlu bertahan dengan tekanan ini selama 2 tahun. Atau kami tidak boleh menjadi doktor.
“Terdapat sistem penggredan bagi mereka dilantik secara kontrak. Kami dinilai dan diberi markah oleh pegawai perubatan kanan. Oleh kerana mereka adalah penilai, mereka mempunyai kuasa. Mereka akan menggunakannya terhadap anda.
“Seorang doktor kanan memberitahu saya, ‘saya boleh hentikan kontrak anda’. Dan itu terjadi pada hari pertama saya memulakan tugas.”
Seorang lagi pelatih siswazah berkata penderaan fizikal yang teruk jarang berlaku.
Tetapi “penyiksaan mental” adalah perkara biasa, tambahnya. “Ada yang menjerit dan kadang-kala mengarah kami. Kami sering dihina.”
Dia berkata demikian merujuk seorang doktor kanan di Perak yang dikatakannya terkenal kerana menampar pelatih di depan pesakit.
“Dia tidak boleh didekati dan secara terbuka mengatakan dia tidak suka melatih orang. Dia berteriak, menjerit dan menampar orang di tempat terbuka. Pelatih akan menggigil dan lari jika dia datang dekat.
“Selepas beberapa aduan, pengarah mengeluarkan amaran kepadanya. Selepas itu, dia dihantar ke sebuah hospital besar di Kedah. Saya harap dia berubah.”
Pelatih siswazah yang sedang berkhidmat di bahagian psikiatri di sebuah hospital berkata antara pesakit di situ termasuklah beberapa doktor pelatih.
“Seingat saya, sekurang-kurangnya 10 doktor pelatih mendapatkan bantuan pakar psikiatri,” katanya. “Ini menunjukkan betapa buruknya keadaan sekarang.”
Dalam kajian yang dilakukan sebuah forum doktor dalam talian, “Doctors Only Bulletin Board System (DOBBS)”, mendapati hampir 80% doktor muda pernah dibuli di tempat kerja.
Daripada jumlah ini, 17% menyatakan kes buli itu sangat teruk sehingga mereka pernah memikirkan untuk membunuh diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan