"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RAKYAT TIDAK GEMBIRA DENGAN KERAJAAN, IHSAN AGONG BENAR2 DIHARAPKAN

Shahbudin Husin

Dalam program Bicara Negarawan bersama Majlis Profesor Negara semalam, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, seramai 114 atau 115 Ahli Parlimen telah mengutus surat kepada Yang Dipertuan Agong menyatakan bantahan terhadap darurat yang dilaksanakan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan jumlah tersebut yang disifatkan sudah lebih daripada cukup itu, Anwar memohon Agong untuk mempertimbangkan perkara tersebut dan memanggil sidang Parlimen dengan segera.

“Kalau kita tengok yang mutakhir, seperti juga kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN), kita memohon ihsan dan kebijaksanaan Agong untuk menimbang semula, melihat semula, pertama, darurat dan kedua, memanggil sidang Parlimen dalam kadar segera.

“Kita sudah mencecah dalam 114 atau 115 Ahli Parlimen yang menolak usul kerajaan PN pimpinan Muhyiddin. Ini tidak boleh disangkal.

“Adakah jumlah itu cukup? Itu lebih daripada mencukupi,” kata Anwar lagi.

Dalam waktu yang sama, Anwar juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa beliau mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu.

Namun begitu, katanya, kini hanya menunggu ihsan dan budi bicara Agong untuk beliau menyerahkan maklumat berikutnya kepada baginda.

“Tetapi yang ternyata sekarang dan tidak boleh disangkal adalah jumlah setakat ini yang menolak cadangan PN berkaitan perkara besar seperti darurat dan penggantungan Parlimen, ia ditolak oleh majoriti Ahli Parlimen.

“Sekarang GPS di Sarawak juga sedang membincangkan untuk menolak darurat, saya tak tahu apa keputusannya,” tambah beliau seterusnya.

Berhubung pembentukan kerajaan baharu, Anwar tidak menolak khabar angin yang mengatakan beliau mungkin menjalin kerjasama dengan UMNO.

“Sekarang kita sampai ke tahap di mana kita mempunyai keupayaan, setelah melihat kepada kelemahan dan ketidaktentuan dasar dan kelompok dalam PN, kita mengumpul kekuatan pembangkang dan beberapa elemen dalam kerajaan termasuk UMNO.

“Mereka berasakan negara ini harus diselamatkan. Kalau hendak fikir permusuhan lama, itu tidak ada kesudahannya.

“Tapi keadaan sekarang menuntut kita membuat sesuatu untuk menyelamatkan negara dengan garis dasar yang jelas,” ujarnya.

Dengan hujah kukuh dan meyakinkan daripada Anwar ini, adalah sangat-sangat dipohon agar Agong dapat memperkenankan permohonan majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang mahu sidang khas Parlimen itu diadakan segera.

Permohonan majoriti daripada Ahli-Ahli Parlimen yang mewakili kawasan Parlimen masing-masing di seluruh negara itu secara tidak langsung menggambarkan ia adalah juga kehendak majoriti rakyat Malaysia.

Sebagai ketua negara yang adil dan bijaksana serta memahami kedudukan Parlimen sebagai institusi penting dalam sistem demokrasi, Agong tentunya akan diberi limpahan pujian oleh rakyat jika baginda memperkenankan permintaan majoriti Ahli-Ahli Parlimen tersebut.

Dalam keadaan negara tidak stabil, kepimpinan yang lemah, flip-flop dan tiada hala tuju, sementara pilihanraya tidak sesuai untuk diadakan, Parlimen adalah sebaik-baiknya jalan penyelesaian kemelut dalam negara berasaskan suara rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.

Darurat ini secara umumnya tidak diterima baik oleh rakyat kerana tiada huru-hara, tiada rusuhan kaum dan tiada gugatan terhadap ketenteraman serta keselamatan negara, sebaliknya rakyat biasa pun faham ia semata-mata kerana Muhyiddin yang sedang darurat untuk mempertahankan kuasanya yang kian terancam.

Jika Muhyiddin tiada lagi sokongan majoriti, jalan terpuji untuk dipilihnya ialah berundur dan meletakkan jawatan, bukan bergayut kepada bantuan darurat serta berlindung di balik pagar istana.

Istana tidak terlibat dalam politik dan terlalu suci untuk dikotorkan oleh tangan-tangan yang kemaruk untuk mempertahankan kuasa, malah darurat seumpama memberi kuasa tambahan tanpa had kepada seorang Perdana Menteri minoriti untuk bertindak apa saja dan sewenang-wenangnya.

Dengan itu, secara tidak langsung, sidang khas Parlimen, jika diperkenankan oleh Agong, dapat mengelakkan nama istana daripada terus diperguna dan diperalatkan seperti sekarang oleh pihak-pihak pengampu dan berkepentingan, termasuk daripada kelompok yang memperdagangkan agama.

Akhirnya, nama Agong dan Raja-Raja akan terus dapat dijaga dan sentiasa terpelihara.

Apa yang rakyat mahukan, selain kerajaan yang menjaga kebajikan mereka, tidak menindas atau tidak menyusahkan, ialah juga sebuah kerajaan yang keabsahannya tidak dipertikaikan serta memiliki majoriti yang sah.

Ini sudahlah keabsahan serta majoriti dipertikaikan, bab menjaga kepentingan rakyat pula berpilih-pilih serta tidak merata seperti dalam kes pengeluaran KWSP dan moratorium, selain keputusan yang berubah-ubah dalam hal berkaitan persekolahan, penutupan sektor perniagaan dan seumpamanya.

Semua ini mendatangkan kesusahan yang datang sekali dengan Covid19 yang wabaknya terus berpanjangan.

Lebih parah lagi, kerajaan PN ini turut mengamalkan pendekatan “mesti sokong Perdana Menteri” jika seseorang itu mahu menubuhkan sebuah parti politik baru seperti yang dialami oleh Parti Muda yang masih gagal memperolehi kelulusannya sehingga kini.

Dengan itu, melalui pelbagai kesusahan dan ketidaktentuan yang dialami, rakyat sekarang rata-ratanya tidak gembira, tertekan dengan kerajaan dan begitu mendambakan perubahan.

Membenarkan sidang khas Parlimen yang boleh membuka ruang agar darurat dipertimbang semula sambil tidak melihat pimpinan kerajaan terus menyalahgunakan kuasa, seterusnya jika tiada halangan, disusuli pula dengan pertukaran kerajaan, barangkali inilah jalan yang mampu memberikan keceriaan buat rakyat sebelum PRU dibenar diadakan.

Lagi pula, beberapa pakar perlembagaan sendiri tidak ragu-ragu menyatakan bukanlah suatu kesalahan Parlimen dibenar bersidang ketika darurat ini, selain semua negara lain yang mehgisytiharkan darurat ketika Covid19 melanda tidak pula menggantung Parlimen mereka.

Moga Agong benar-benar memahami apa rakyat mahukan tika ini. (Shahbudindotcom 24/01/2021)

Tiada ulasan: