FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, memberi Dr Mahathir Mohamad tujuh hari untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang berunsur fitnah bulan lalu.
Khalid turut menuntut bekas perdana menteri itu menarik balik kenyataan disiarkan sebuah portal berita yang disifatkan tidak benar dan menjejaskan reputasi serta maruahnya selaku bekas KPN.
“Saya beri Mahathir tujuh hari untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik semula kenyataannya,” Khalid dipetik sebagai berkata oleh portal PNBBC.
“Jika gagal saya akan arahkan peguam saya meneruskan tindakan saman kerana memfitnah.”
Kenyataan Mahathir yang disiarkan portal berita itu pada 16 April lalu bertajuk “Khalid Abu Bakar bocor rancangan pada Najib”.
Antara kandungannya yang didakwa memfitnah Khalid adalah “Tindakan ke atas Najib Razak gagal dilaksanakan lebih awal kerana dibocorkan oleh Ketua Polis Negara waktu itu Khalid Abu Bakar, dakwa Dr Mahathir Mohamad”.
“Perdana Menteri ketujuh itu mendedahkan demikian sewaktu menjelaskan komunikasi beliau dengan Zeti Akhtar Aziz sewaktu bekas penasihat kerajaan itu masih menjadi Gabenor Bank Negara.”
Khalid mengarahkan firma guaman Gunaseharan & Linda menghantar notis tuntutan kepada Mahathir pada 22 April lalu bagi menuntut beliau membuat permohonan maaf terbuka secara bertulis dalam portal berita itu dan media sosialnya seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.
Mahathir juga dikehendaki membuat akujanji tidak mengulangi kenyataan sama secara lisan atau bertulis di mana mana saluran media penyiaran, serta menarik semula kenyataan palsu bersifat fitnah.
Sekiranya gagal memenuhi segala tuntutan ini, Mahathir akan berdepan saman RM10 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan