Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
Kuala Lumpur: Menegur seorang lelaki yang menggunakan telefon bimbit ketika menunggang motosikal.
Itulah punca kejadian pelawak dan pelakon popular, Lan Pet Pet, 52, memukul seorang lelaki penghantar makanan seperti dalam video yang tular sejak kelmarin.
Lan berkata, sebelum kejadian dia yang memandu di Jalan Ampang, iaitu lokasi di hadapan Kedutaan Russia ternampak penghantar makanan terbabit yang sedang menunggang motosikal menggunakan telefon bimbit dengan kedudukan motosikal di tengah jalan.
Memikirkan perbuatan lelaki terbabit mendatangkan bahaya bukan saja kepada dirinya tetapi juga pengguna jalan raya yang lain, Lan menghampirinya dan bersemuka.
"Saya menegurnya. Tindakannya (menggunakan telefon bimbit ketika menunggang motosikal) amat berbahaya. Bukan saja boleh mengancam nyawanya, malah pengguna jalan raya lain.
"Bagaimanapun, lain pula jadinya apabila saya kena maki dan menerima provokasi. Saya juga manusia biasa, kesabaran ada batasan. Takkan saya mahu membiarkan saja apabila diserang.
"Tindakan saya hanya untuk mempertahankan diri, bukan tunjuk samseng. Kami hanya bergaduh dalam beberapa saat saja," katanya.
Terdahulu, rakaman video Lan atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad memukul seorang lelaki yang juga penghantar makanan tular dan menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.
Video berdurasi 24 saat itu dikongsi oleh pengguna laman sosial dan mendakwa anggota kumpulan Senario itu melakukan kekerasan terhadap lelaki penghantar makanan itu.
Menerusi video berkenaan, Lan dilihat merangkul dan memukul kepala lelaki berkenaan, tetapi cuba ditenangkan beberapa tiga lelaki lain. Di hujung video, Lan juga melemparkan kata-kata berbaur amaran kepada lelaki itu.
Lan berkata, dia sudah membuat laporan polis semalam berhubung insiden pergaduhan berkenaan.
Katanya, dia juga membuat laporan polis terhadap seorang wanita dalam kereta dipercayai merakamkan dan menyebarkan video ini.
"Saya kesal dengan tindakan wanita ini, dia hanya melihat kejadian depan mata tanpa mengetahui punca kejadian sebenar. Saya diberitahu wanita ini mula menyebarkan video menerusi aplikasi WhatsApp hingga tular.
"Dia tidak sepatutnya membuka aib orang sesuka hati. Tindakannya menyebarkan video ini boleh menimbulkan fitnah," katanya.
Lan berkata, dia akan bertemu dengan lelaki penghantar makanan itu hari ini.
"Kami akan bersemuka di balai polis untuk menyelesaikan isu yang tercetus antara kami. Saya tidak mahu membiarkan insiden ini terus membelenggu hidup secara berpanjangan. Lagipun, eloklah kami meleraikan kekusutan yang berlaku, Aidilfitri pun tidak lama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan