"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Duit bukan hal bagi Mahiaddin

A KADIR JASIN

Mahiaddin Md Yasin tidak pernah peduli atau tidak perlu peduli sangat tentang duit. Sejak menjadi Menteri Besar Johor mulai tahun 1986, duit bukan masalah besar kepadanya. Johor boleh dikira negeri kaya dengan peluang pembangunan yang cukup besar kerana lokasinya yang berhampiran Singapura. Ramai usahawan bersedia menjadi penyumbang dan rakan kongsi maka tidak hairanlah jika Mahiaddin adalah “personally well-off” seperti dinyatakan dalam pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Maka tidaklah menghairankan apabila dia menabur duit kerajaan bagi membeli sokongan untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Dia sudah biasa dengan duit. Cuma dia berhati-hati tidak menggunakan label negatif seperti “cash is king” yang dipopularkan oleh bekas Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak. Sebaliknya dia menggunakan frasa ” the scheme of things”.

Jadi apalah sangat membelanjakan beberapa puluh ribu ringgit sebulan duit negara yang dipungut daripada rakyat jelata bagi mengupah Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas bertaraf Menteri kepadanya.

Persoalannya mengapakah dalam keadaan rakyat jelata kesusahan dan populariti beliau sendiri merudum, beliau mengambil risiko menambahkan lagi kemarahan orang ramai dengan membazirkan duit negara ke atas bekas Menteri Besar Perak yang ditendang keluar oleh Exco dan Adunnya sendiri?

Bodoh dan bangang sangatlah Mahiaddin kalau mengharapkan nasihat istimewa daripada Ahmad Faizal yang ramai orang tahu latar belakang serta kebolehannya sebagai budak bilik belakang politik. Dia ini naik kerana tumpang sekaki nama Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir. Kalau tidak kerana rasa hormat pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) kepada Dr Mahathir, dia tidak akan rasa jadi Menteri Besar Perak. Tetapi inilah orang yang akan menasihati Mahiaddin di saat-saat hayat politik kerajaan PN di hujung tanduk dan negara semakin huru-hara.

Mengapa terjadi begitu? Jawapannya Mahiaddin tidak ada siapa lagi yang boleh dipercayai, bukan saja di dalam PN tetapi lebih teruk di dalam Bersatu sendiri. Dengan pelantikan itu Ahmad Faizal menjadi Mossad dan Gestapo Mahiaddin dalam Bersatu. Cakap-cakap (chatter) media sosial dan politik bawah tanah mengatakan Mahiaddin mungkin menghadapi pemberontakan dan pengkhianatan dari dalam Bersatu sendiri.

Dia perlu segera melindungi dirinya daripada kumpulan-kumpulan serigala lapar yang datang dari Umno dan PKR. Mereka ini jauh lebih pintar dan ganas daripada spesis asal Bersatu yang kurang pengalaman politik, justeru itu kurang naluri pembunuh (killer instinct). Kluster Umno dan PKR ini tidak teragak-agak menghalau beliau jika kehadirannya mengancam kedudukan PN.

Kluster original Bersatu dikatakan telah mula hilang kepercayaan kepada Mahiaddin kerana terlalu bergantung kepada kluster pendatang Umno dan PKR serta kluster Menteri Umno.

Selain itu, sikap dan pendekatan Mahiaddin terhadap Yang di-Pertuan Agong pada kebelakangan ini dikatakan telah menyebabkan kluster asal Bersatu itu bimbang parti tersebut dituduh derhaka kepada Raja.

Apa-apa pun kita tunggu dan lihat manalah tahu Penasihat Khas bertaraf Menteri Ahmad Faizal ini lebih menyerlah daripada penjawat-penjawat lantikan khas yang lain, termasuk Duta-duta Khas. Atau ini adalah rendisi “the blind leading the blind” ala Mahiaddin.

Tiada ulasan: