"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP perlu cari pengganti selepas ‘Abah’ rebah di pintu istana

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

Mesej dalam artikel ini ditujukan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen saya dari semua blok di atas keperluan bahawa semua kami perlu membuat keputusan kritikal menyokong calon Perdana Menteri dalam kalangan 220 Ahli Parlimen (MP) yang akan menentukan untung nasib rakyat yang kini menderita.

Pilihan kita adalah demi suara rakyat dan bukan demi habuan kita, setelah kita menyokong calon yang tepat dengan penuh bertanggungjawab, kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam Perkara 43 (2) (a) akan berkuatkuasa untuk kita mulakan hari baharu yang segar dan penuh harapan untuk rakyat.

220 MP mewakili suara rakyat di atas apa jua platform kepartian mereka. Parti mencalonkan nama manakala jentera parti yang bertungkus lumus untuk menangkan calon masing-masing.

Rakyat buat keputusan di peti undi calon mana mereka fikir layak. Menang atau kalah calon adalah atas keputusan rakyat, sebab itu MP adalah Wakil Rakyat secara peranan hakikinya dan wakil parti secara semangatnya

Kini tiba masanya peranan hakiki kita sebagai Wakil Rakyat dizahirkan dalam menentukan bakal PM supaya di garis penamatnya hasrat rakyat dan kehendak rakyat perlu menjadi pertimbangan dalam kita membuat pilihan PM dari kalangan kita.

Tindak-tanduk kita terikat dengan kehendak maslahat rakyat yang memilih kita, adalah satu pengkhianatan jika tindak-tanduk kita ditentukan oleh habuan dan kepentingan nafsu.

Untuk membantu hasrat ini, kesemua 220 MP harus memahami latar yang membentuk krisis hari ini. PRU 2018 adalah tanda aras kepada keazaman rakyat menolak kleptokrat dan kerajaan BN yang terpalit dengan soal kepertanggungjawaban dan tadbir urus yang tiada integriti. Pasca PRU 2018 adalah natijah kesepakatan rakyat menolak pentadbiran rasuah dan budaya ahli politik yang mengamalkan ‘cash is king’.

Hasrat di atas dan naratif politik pembangkang pra PRU 2018 telah melonjakkan nama Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada tiga parti teras PKR, DAP dan AMANAH dan kemudian di ambang PRU disertai oleh PPBM.

Keputusan PRU-14 adalah hasrat melihat sinar baharu memenuhi kehendak rakyat supaya kerajaan yang Bersih, Berintegriti dan Bertanggungjawab dapat ditegakkan. Namun, tidak sampai dua tahun, hasrat ini dibeloti oleh rakan komponen PH sendiri dan beberapa MP kartel sehingga jatuhlah cita-cita dan HARAPAN rakyat. Munculnya Perikatan Nasional (PN) atas pembelotan yang berlaku dibayangi dorongan kebencian kaum dan nuansa ‘Melayu-Isle’ yang pekat.

Kemarahan rakyat

Selain dorongan sentimen agama dan kaum, PN terbentuk atas asas kepentingan untuk mengekalkan kuasa yang dirampas. Komponen PN dari Umno, Pas,  Ahli-Ahli Parlimen ‘lompat katak’ dan lain-lain hanya berada secara kebetulan memastikan Mahiaddin dapat berkuasa dan mereka dapat habuan sebagai balasan.

Kerajaan PN tidak fokus mentadbir negara sebab itu PN goyah, lemah dan akhirnya dilabel rakyat sebagai #kerajaangagal. Umno tidak mahu berkrompomi secara berterusan dengan kegagalan ini dan tarik ‘handbrake’ daripada terus menyokong Mahiaddin.

Umno tahu risiko kemarahan rakyat atas kegagalan ini akan menjejaskan imej Umno yang sudah pun tercalar sebelum ini. 15 MP Umno menyebabkan Mahiaddin hilang majoriti dan membawa kepada runtuhnya kerajaan PN pada 16 Ogos 2021.

Rebahnya ‘Abah’ bermakna semua komponen PN yang bertenggek atasnya termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus mengambil tanggungjawab penuh kepada kegagalan PN dan sikap tidak menghormati demokrasi sehingga membawa negara kepada krisis politik yang meruncing di celah kematian Covid-19 yang tinggi. Kemarahan rakyat bukan sahaja kepada kerajaan tetapi kepada keseluruhan institusi politik negara termasuk kita ahli-ahli Dewan Rakyat.

Latar ini harus dipersetujui oleh semua 220 MP kerana kita akan menentukan kepimpinan politik negara untuk mengeluarkan rakyat daripada perasaan kecewa terhadap pemerintah dan ahli Dewan Rakyat yang hanya memikirkan kedudukan mereka.

Calon-calon PM kita tidak layak datang dari kelompok yang bersengkongkol dengan kegagalan PN malah membiarkan kegagalan bertakhta selama 17 bulan. Calon PM perlu datang segar dari dapur (fresh from the oven) untuk menyuntik semangat baru dan imej baharu serta membina semula kepercayaan baharu antara kita dan rakyat.

Lebih segar

Semua kita harus akur bahawa bakal PM harus konsisten mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi serta mampu mengutarakan idea-idea lebih segar menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat.

Tempoh 17 bulan PN berkuasa telah mendedahkan bagaimana Perlembagaan Negara dilayan, bagaimana demokrasi diperlakukan dan bagaimana Kabinet XXL yang tidak berfungsi. Apakah calon-calon dari kelompok yang sama kita mahu kemukakan kepada rakyat? Tanyalah dhomir (conscious) kita, apakah rakyat boleh dipermainkan sebegini rupa?

Pilihan kita sepatutnya jelas, calon yang perlu disokong perlu ada kesegaran, bertenaga dan terbukti konsisten menjaga teras negara dan kepentingan demokrasi supaya implikasi Covid-19 dapat ditangani dengan lebih berkesan. Hanya kita para MP dapat menentukan siapa yang kita mahu dan pilihan kita adalah untuk kemaslahatan rakyat dan negara seperti ikrar sumpah yang kita angkat.

Saya dari kerusi P057 mengingatkan diri saya dan rakan MP lain supaya jauhilah sama sekali membuat pilihan atas dorongan habuan sendiri, kepentingan jawatan mahupun emosi dan sentimen perkauman dan agama yang sempit.

Kita sudah tahu apa yang berlaku hari ini kenapa Mahiaddin rebah di pintu istana dan kenapa PN digelar kerajaan gagal. Apakah kita mahu mengulangi kebodohan yang sama dan mengharapkan natijah berbeza?

Pilihlah dengan kesedaran yang mendalam, rakyat menanti pilihan kita untuk mereka!

“….إِنَّ خَیۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِیُّ ٱلۡأَمِینُ

(sebahagian Al-Qasas 26]

“….Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang KUAT, lagi AMANAH”.

Tiada ulasan: