Mohamad Fadli
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin Umno berkata pertemuan pemimpin PAS dengan beberapa pemimpin parti Melayu itu semalam hanyalah pertemuan biasa dan tidak melibatkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Begaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Ummo, Mohd Puad Zarkashi berkata masih belum terlambat untuk Umno dan PAS berunding.
“Saya yakin itu adalah sembang politik biasa antara pemimpin Umno dan PAS. Tidak ada yang perlu dihairankan.
“Presiden Umno sudah pun membuat kenyataan bahawa tidak ada kerjasama Muafakat Nasional jika berlaku PRN Melaka dalam masa terdekat. Lagi pun Muafakat Nasional belum didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan politik seperti Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.
Terdahulu tular satu gambar di media sosial mengenai pertemuan antara pemimpin Umno dan PAS.
Antara yang dilihat hadir adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan; Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir; Naib Presiden PAS Idris Ahmad; dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam pada itu, Puad berkata Umno dan PAS masih boleh mewujudkan persafahaman supaya tidak berlaku pertembungan antara dua parti terbesar orang Melayu di PRN Melaka nanti.
Katanya, PRN Melaka akan menjadi ujian besar kepada PAS sama ada akan bertanding di kerusi yang dimenangi oleh Umno atau tidak.
“Kalau berlaku pertembungan Umno dengan PAS di PRN Melaka, itu bermakna Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS akan tinggal nama sahaja. Ia tidak lagi boleh diselamatkan,” katanya.
Puad juga berkata pendirian Umno cukup jelas iaitu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu di PRN Melaka, lebih lagi Umno bukan anggota dalam PN.
“Umno seperti yang disebut Presiden Umno, Zahid Hamidi bersedia untuk bertanding secara solo di PRN Melaka,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berharap kerjasama Umno dan PAS di Melaka menjadi realiti.
“Saya rasa sebagai ahli politik perjuangkan agama dan Islam, tak ada sebab kita tak boleh duduk berbincang.
“Kalau PAS dan Umno tak boleh kerjasama, bukan salah orang lain tetapi salah pemimpin,” katanya.
Nazri juga mendoakan Umno dan PAS dapat kerjasama dalam PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana menyifatkan ia adalah harapan besar orang Melayu.
Beliau juga berharap pemimpin Bersatu kembali menyertai Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan