SHAHBUDIN HUSIN
Malam ini akan berlangsung mesyuarat MT Umno yang antara lain akan membuat ketetapan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Sementara Bersatu menyatakan sedia bekerjasama, manakala Pas memang mengharapkan wujudnya kerjasama tiga parti Melayu berkenaan demi kepentingan mengekalkan nikmat berjawatan dalam kerajaan, pendirian Umno memanglah sesuatu yang ditunggu-tunggu.
Tetapi, sebelum ketetapan dimuktamadkan dalam mesyuarat MT malam ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya lebih dulu tampil dengan pendirian tegasnya.
Kata Zahid Hamidi, Umno tidak akan bekerjasama dengan Pas dan Bersatu dalam PRN Melaka ini, sebaliknya kekal dengan pendirian bertanding solo bersama panji-panji BN.
Menurut beliau, kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) sukar direalisasikan, selain kerana gabungan itu tidak didaftarkan, ia juga disebabkan Umno telah dikhianati beberapa kali oleh Pas.
“Kalau pengkhianatan itu telah berlaku berulang kali, bukan saja kepada Umno tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir hubungan itu harus dinilai semula,” tegasnya lagi.
Berkenaan dengan Bersatu pula, Zahid Hamidi menjelaskan, ketetapan tiada kerjasama dengan parti itu adalah keputusan yang telah dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.
Ia katanya, bukan saja keputusan yang dikehendaki akar umbi dilaksanakan dalam PRU-15, bahkan dalam PRN Melaka ini, itulah juga kemahuan seluruh kepimpinan Umno negeri Melaka.
“Itu adalah kehendak dan suara hati politik mereka, saya perlu menghormati kehendak serta suara hati mereka,” ujarnya.
Dengan pendirian tegas yang dibentangkan Zahid Hamidi selaku peneraju Umno, mesyuarat MT Umno malam ini sepatutnya tidak sukar atau perlu berhujah panjang lagi dalam membuat ketetapan yang muktamad berhubung kerjasama dengan Bersatu dan juga Pas.
Semuanya telah jelas diungkapkan beliau dan semua ahli MT mesti menyokong serta mendookong pendirian yang sama.
Adalah jelas bahawa pendirian yang dinyatakan Zahid Hamidi itu merupakan satu manifestasi jati diri yang unggul dalam usaha beliau untuk mengangkat dan memartabatkan semula nama Umno dalam politik negara ini, di sebaliknya pelbagai cabaran sedang dilaluinya.
Dengan kekal bertanding solo bersama panji BN, ia bukan saja pendirian yang mampu meletakkan nama Umno kekal berwibawa sebagai penunjang gabungan tersebut, malah meletakkan ia mampu berdiri sendiri tanpa perlu bergantung pertolongan pihak luar yang tiada ikatan.
Apabila bergantung kepada orang lain yang hakikatnya mereka itu lebih mahu menumpang kekuatan Umno, ia dalam masa yang sama juga akan mendedahkan Umno kepada kemungkinan dikhianati dan ditikam oleh kebuasan nafsu mereka yang mengaku kawan itu.
Jika Zahid Hamidi dengan terang-terang mengakui Umno pernah dikhianati oleh Pas, manakala Bersatu pula memang tujuan serta matlamatnya untuk membenam serta menguburkan Umno, inilah yang sepatutnya dijadikan pegangan oleh seluruh kepimpinan parti itu dalam usaha untuk membawa parti itu mampu bangkit semula.
Hanya bersama BN, Umno mampu bangkit semula atau menjadi dominan dalam politik negara, sebaliknya bersama Pas yang pernah khianat dan bekerjasama dengan Bersatu yang memang berniat mahu membunuhnya, laluan Umno bukan saja lebih berliku, bahkan hanya lubang kubur yang akan lebih dulu ditemuinya.
Jangan sesekali Umno lupa, bersama Mahiaddin Md Yasin yang bukan lagi rahsia ingin melakukan “comeback” semula, Pas dan Bersatu pula adalah ahli gabungan yang mempunyai ikatan sah dalam Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan yang ada sekarang.
Dengan itu, tujuan mereka ingin bekerjasama dengan Umno sudah tentu dengan matlamat bagi menaikkan semula PN, bukannya untuk membantu Umno jadi dominan.
Jati diri Zahid Hamidi dalam usaha mengangkat semula Umno ini selain harus disokong, ia juga mesti dipuji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan