Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Gambar itu tidak sepatutnya diedarkan."
Demikian jawapan penyanyi dan komposer, Chubb-E ketika ditanya mengenai gambar imej wanita separuh bogel yang didakwa terkandung dalam video muzik lagu Rambang yang dihantar kepada beberapa pihak, semalam.
Chubb-E, 22, atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy berkata, imej dipaparkan itu tidak ada dalam muzik video yang sepatutnya dilancarkan hari ini.
"Gambar tersebar yang dikatakan sedutan dari muzik video lagu saya sebenarnya tidak ada pun dimuatkan dalam video berkenaan. Gambar itu tidak sepatutnya diedarkan. Malah, dalam muzik video sebenar tidak ada wanita separuh bogel itu.
"Gambar yang tersebar menimbulkan salah anggap orang ramai. Muzik video Rambang adalah lain daripada yang lain, ia mempunyai konsep dan koreografi tarian menarik dan ini yang sepatutnya menjadi tumpuan orang ramai," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Chubb-E penyebaran gambar itu juga bukanlah sebahagian daripada gimik lagu dan muzik video Rambang.
"Saya pasti ia menjadi tanggapan negatif segelintir pihak. Bagi saya, gimik tidak diperlukan untuk lagu dan muzik video terbaharu saya. Ini kerana lagu dan muzik video ini ada tarikan dari segi melodi, senikata, rapping dan tarian," katanya.
Terdahulu, Harian Metro juga mendapat kiriman mesej WhatsApp daripada wakil penganjur berhubung pembatalan acara sidang media dan pelancaran single dan muzik video Rambang petang ini.
"Setelah menempuh perbincangan panjang hari ini (semalam) pihak pengurusan Nova mengambil keputusan membatalkan sidang media Chubb- E yang dirancangkan esok (hari ini). Kami memohon maaf kerana membuat pembatalan ini di saat-saat akhir," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan