Chia Wan Rou
PETALING JAYA: Kemungkinan kecerdasan buatan (AI) diguna untuk menghasilkan bahan palsu ‘realistik’ untuk disebar di media sosial ketika pilihan raya patut diambil serius oleh pihak berkuasa, kata penganalisis.
Sungguhpun penyebaran maklumat palsu sebegitu tidak dijangka berlaku semasa PRN enam negeri tidak lama lagi, risiko AI diguna untuk propaganda fitnah semasa pilihan raya di masa depan tidak boleh diremehkan, kata Harris Zainul, penganalisis kanan di Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS).
Beliau berkata kos tinggi dan masa suntuk menyebabkan sukar untuk sesiapa menggunakan AI bagi tujuan kempen pada PRN berkenaan.
Harris berkata semua pihak harus peka isu penggunaan AI, yang mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan pakar teknologi dan ahli politik negara kuasa besar misalnya Amerika Syarikat yang baru-baru ini mengadakan pendengaran senat bagi membincangkan risiko menjelang pilihan raya.
Sungguhpun di Malaysia para penyelidik dan pemerhati belum temui bukti kukuh masyarakat tempatan ‘disuap’ propaganda ciptaan AI, namun semua pihak wajar berwaspada.
“Perkara yang perlu diberi perhatian adalah imej, video, dan audio yang dimanipulasi oleh AI. Ada pepatah mengatakan ‘seeing is believing’ dan dalam persekitaran maklumat yang kacau-bilau semasa tempoh pilihan raya, pengundi mungkin terpengaruh oleh imej, video, dan audio yang telah dimanipulasi,” katanya kepada FMT.
Harris berkata perbincangan mengenai perkara itu telah berlangsung di Malaysia, dan beliau menulis mengenai topik teknologi baharu dan ancaman yang mungkin timbul terhadap demokrasi sejak awal 2019 lagi.
“Kebimbangan saya berkaitan dua perkara. Pertama, teknologi ini digunapakai dengan cepat dan secara senyap tanpa rangka kerja pengawalseliaan, tanpa ketelusan, dan tanpa hukuman yang memadai bagi mereka yang menyebarkan ‘disinformation’,” katanya.
“Disinformation” ialah maklumat palsu yang sengaja dibuat untuk memperdaya, lazimnya untuk menggugat sesuatu atau seseorang. Ia berbeza dengan “misinformation”, iaitu maklumat yang mengandungi fakta yang salah.
“Pada masa sama, saya juga bimbang kemungkinan usaha untuk mewujudkan undang-undang secara tergesa-gesa dapat membawa kepada kesan tidak diingini seperti meningkatkan risiko ‘censorship’ (penapisan) dan mengehadkan kebebasan bersuara.”
Mengimbangi keselamatan dan kebebasan
Menangani ancaman ini, Harris berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan berhati-hati dan teliti apabila menggubal atau meminda undang-undang berkaitan.
Beliau berkata penggubal undang-undang harus mengimbangi pengawalan yang sah bagi membanteras “disinformation” – baik berunsur politik mahupun yang lain – dan memelihara kebebasan bersuara.
“Kebebasan bersuara, terutamanya dalam politik, merupakan asas demokrasi,” tegasnya.
Ditanya sama ada pilihan raya masa depan bakal menyaksikan bot dikerah secara meluas berbanding laskar siber, Harris percaya bot tidak akan menggantikan akaun manusia “dalam masa terdekat”.
“Alasan utamanya kos untuk mencipta bot yang boleh beroperasi secara berautonomi dan mencipta serta bertindak balas kepada topik politik dengan cara yang ‘cohesive’ (berjalinan). Kos bot berteknologi tinggi ini pada masa ini masih agak tinggi berbanding kos mengupah individu untuk mengendalikan akaun ‘palsu’,” katanya.
Buat masa ini, Harris percaya teknologi model bahasa yang dipandu AI, seperti ChatGPT, akan meningkatkan kecekapan ejen politik mencipta propaganda.
“Ini dapat membantu memudahkan pembuatan kandungan politik yang baharu dan akhirnya dapat membanjiri persekitaran maklumat,” katanya.
“Ini mungkin termasuk penyebaran ‘misinformation’ dan ‘disinformation’.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan