"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Murid maut dirempuh kereta guru di sekolah

Agensi

Wuhan: Seorang murid Tahun Satu di China, maut selepas dirempuh kereta dipandu guru di perkarangan sekolahnya, Selasa lalu.

The Straits Times melaporkan, mangsa yang tidak didedahkan namanya dalam media tempatan itu meninggal dunia akibat kecederaan selepas dibawa ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Menurut Biro Pendidikan Daerah Hanyang dan sekolah, insiden berlaku di Sekolah Rendah Hongqiao dekat daerah Hanyang, sembilan minit sebelum kelas pertama pada petang.

Pemandu kereta yang juga seorang guru berusia 20-an itu ditahan polis untuk membantu siasatan.

Menurut Biro Pendidikan, mangsa bukan salah seorang murid kepada guru berkenaan.

Ibu mangsa dalam temu bual video yang diterbitkan di portal berita The Paper berkata, anaknya sedang makan tengah hari di sekolah pada hari kejadian.

Pada 2 petang, ibu mangsa menerima panggilan daripada guru besar memaklumkan anaknya dilanggar sebuah kereta.

Dia bergegas ke hospital sebelum diberitahu yang doktor tidak dapat menyelamatkan anaknya.

Ibu bapa kanak-kanak itu mempersoalkan sama ada guru itu berada di bawah pengaruh alkohol.

Laporan mengatakan bahawa guru itu mempunyai kelas pada pagi itu dan tidak minum semasa makan tengah hari.

Dia kemudiannya memandu keretanya dari garaj bawah tanah dan berhenti kira-kira 10 meter dari pintu pagar sekolah untuk menunggu rakan sekerja.

Mereka sepatutnya menghadiri sesi latihan di luar sekolah.

Ketika itu, murid sedang berehat sebentar sebelum memulakan kelas petang pada 2 petang.

"Ketika guru itu memberhentikan keretanya, seorang kanak-kanak berlari di hadapan kenderaan dan mencangkung, dan berada di situ selama kira-kira dua minit," kata wakil Biro Pendidikan dalam temu bual video itu.

Guru itu memandu selepas rakan sekerjanya masuk ke dalam keretanya dan kemudian melanggar murid berkenaan.
-hmetro 

Tiada ulasan: