"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Tiba-tiba benda seakan bom tergolek'

Nurul Fatihah Sulaini
am@hmetro.com.my
PROSES mengenal pasti bom dilakukan sebelum ia dimusnahkan. (Gambar kecil) Bom yang dijumpai sebelum dimusnahkan. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
PROSES mengenal pasti bom dilakukan sebelum ia dimusnahkan. (Gambar kecil) Bom yang dijumpai sebelum dimusnahkan. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Besut: Seorang pemandu jentolak terkejut apabila menjumpai dua bom lama ketika melakukan kerja pembersihan kawasan di belakang sebuah stesen minyak di Seberang Jertih, petang ini.

Nik Suhairi Azlan Latif, 32, berkata, kejadian berlaku sewaktu dia membuang tunggul kayu di kawasan itu untuk kerja pembinaan rumah.

"Apabila sedang melakukan kerja berkenaan tiba-tiba dua benda seakan bom tergolek bersama tanah yang digali berhampiran jentolak.

"Pada awalnya saya menyangka mainan kanak-kanak sebelum cuba memeriksa sendiri dan menyedari kemungkinan itu adalah bom kerana terasa berat bila diangkat serta keadaan luarannya seperti tidak pernah digunakan sebelum ini.

"Saya segera memaklumkan kepada tuan tanah supaya menghubungi polis untuk menentukan kesahihan barang yang dijumpai itu adalah bom sebenar," katanya ketika ditemui di Seberang Jertih, di sini, petang ini.

Suhairi tinggal di Kampung Tempinis berkata, sepanjang menjadi pemandu jentolak sejak 10 tahun lalu ini adalah kejadian pertama dialaminya dan kali pertama melihat bom depan mata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan bom lama kira-kira jam 1.20 petang.

"Pengadu memaklumkan dia menjumpai dua bom lama dalam tanah semasa menggali lubang di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rozak berkata, susulan itu Unit Persenjataan (AMRA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut serta Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu segera ke lokasi penemuan bom.

"Unit Pemusnah Bom IPK Terengganu mengenalpasti bom itu adalah dua bom lama ataupun Unexploded Ordnance (UXO) berukuran 60 milimeter (mm) yang berkarat kira-kira 4.20 petang.

"Tindakan pemusnahan bot berkenaan selesai dilakukan dengan menggunakan teknik kaedah elektrik kira-kira jam 5.15 petang," katanya.

Beliau berkata, proses memusnahkan bom itu selesai dalam keadaan selamat, tiada sebarang kecederaan serta tiada kerosakan harta benda yang berlaku.

Salah seorang penduduk dikenali sebagai Che Da berusia 60an berkata, dia tinggal di kawasan itu sejak 35 tahun lalu.

"Memang tidak sangka ada bom berhampiran rumah kami namun syukur segala proses memusnahkan bom itu dapat dilakukan dengan selamat," katanya.

Tiada ulasan: