FMT Reporters
PETALING JAYA: Produksi filem Anwar: The Untold Story kecewa dengan sesetengah pawagam yang didakwa enggan memberi sokongan kepada tayangan naskhah biopik memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pengerusi DMY Creation, Mohamed Yusoff berkata, meskipun mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, namun masih tidak memenuhi sasaran susulan ada unsur ‘disabotaj’ pihak pawagam yang enggan memberi lebih slot tayangan.
“Saya kesal filem Anwar: The Untold Story disabotaj oleh pihak pawagam, lebih mengecewakan ada pawagam menyediakan 40 slot tayangan untuk filem antarabangsa.
“Namun, hanya memberikan empat slot untuk naskhah yang mengangkat kisah perjuangan dan pengorbanan perdana menteri menentang amalan rasuah ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan produksi membuat tinjauan setiap hari untuk mengetahui respon penonton dan mendapati terdapat aduan tidak dapat menonton filem tersebut di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.
“Jadi, kami bertindak membuat aduan kepada pihak pawagam, namun keadaan masih sama pada hari ketiga tayangan, semalam. Justeru, kami tidak boleh mendiamkan diri dan memilih untuk bersuara,” katanya.
Sehubungan itu, Yusoff turut berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dapat memantau perkara ini agar layanan karya tempatan dan antarabangsa diberikan sama rata.
Filem Anwar: The Untold Story terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation arahan pengarah Indonesia, Viva Westi mula ditayangkan, sejak Khamis lalu.
Ia dibintangi Farid Kamil yang memegang watak Anwar, manakala aktres popular Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan