Malaysiakini
Satu pertemuan diadakan di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan dalam usaha menyelesaikan masalah air di negeri itu.
Kelantan diwakili Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor dan kerajaan persekutuan diwakili oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam satu catatan di Facebook, Azami berkata, pertemuan dengan menteri di Putrajaya semalam adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar kedua-dua pihak berbincang bagi mengatasi masalah air yang berlarutan sejak sekian lama.
"Alhamdulillah kunjungan kami disambut baik oleh menteri, beberapa perkara mencapai kata sepakat antaranya pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) dan projek penukaran paip di Kelantan.
"Insya-Allah siri-siri perjumpaan teknikal akan terus dibuat nanti, terima kasih kepada semua yang terlibat, rakyat Kelantan yang terus mendoakan. Kami usaha semampu mungkin insya-Allah ," katanya.
Turut serta dalam pertemuan itu adalah pihak pengurusan tertinggi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan pegawai-pegawai kementerian berkenaan.
Terdahulu Anwar dalam kunjungannya ke Kelantan baru-baru ini menegaskan komitmen Putrajaya untuk membantu Kelantan menyelesaikan masalah bekalan air.
Bagaimanapun kata perdana menteri usaha tersebut memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri.
Sementara itu Nik Nazmi berkata, pihaknya bersedia melihat soal kewangan termasuk pembinaan loji rawatan air dan penggantian paip.
"Namun, saya ingatkan dalam pertemuan itu, sebagaimana jawapan mantan menteri alam sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man, tanpa usaha membaiki tatakelola AKSB, permasalahan ini tidak akan selesai," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Nik Nazmi mengeaskan masalah bekalan air bersih di Kelantan tidak boleh diatasi hanya dengan peruntukan semata-mata kerana ada faktor lain yang lebih utama perlu ditangani.
“Soal peruntukan memang menjadi sebahagian isu namun perkara utama adalah masalah tadbir urus yang gagal.
“Sebab itu soal peruntukan kita boleh bincang namun jika pengurusan dan tadbir urus AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd) tidak selesai, bagilah duit macam mana pun, masalah air di Kelantan tidak akan selesai,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan