FMT Reporters
PUTRAJAYA: Rombakan Jemaah Menteri dalam kerajaan perpaduan adalah hak mutlak dan berdasarkan budi bicara perdana menteri, kata Zahid Hamidi.
“Lazimnya tiada seorang perdana menteri berbincang dalam (mesyuarat) Kabinet untuk melakukan rombakan,” kata timbalan perdana menteri menurut Bernama.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di Putrajaya.
Pada 24 Mei, FMT memetik sumber sebagai berkata, Anwar difahamkan akan merombak Jemaah Menteri selepas PRN, namun terlebih dulu melaksanakan “pembersihan” melibatkan jawatan kanan awam, menurut sumber terdekat PKR.
Sumber yang enggan didedahkan identitinya berkata, Anwar berhasrat menyingkirkan ahli Jemaah Menteri tidak berprestasi, selain berkemungkinan memberi keutamaan pembersihan di beberapa kementerian dengan menukar ketua setiausaha dan ketua pengarahnya.
Bagaimanapun, sumber berkata, melaksanakan perubahan di peringkat kementerian tidak memberi banyak perbezaan, jika pegawai tidak kompeten masih berada dalam perkhidmatan awam.
“Ia merupakan pendekatan dari bawah ke atas. Apa guna menukar menteri kalau anda tidak menukar sistem?” katanya.
Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu perlu mengadakan PRN yang dijangka berlangsung pada Julai.
Sementara itu, semasa dirujuk mengenai prestasi Jemaah Menteri ketika ini, Zahid berkata, pada pandangannya semua menteri melaksanakan tugas dengan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan