"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penagih dadah ugut ibu sebelum maut ditembak polis

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my

Bagan Datuk: Penagih dadah dilaporkan maut selepas sanggup jadikan ibu kandung sebagai 'tawanan'dalam kejadian tembak di Kampung Teluk Kompol, Hutan Melintang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Hilir Perak menerima laporan daripada ahli keluarga suspek berkenaan.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun didakwa di bawah pengaruh dadah yang bertindak agresif pada jam 10 pagi, semalam.

"Pegawai polis diatur gerak ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan. Setibanya di lokasi, pihak polis memujuk suspek untuk memberikan kerjasama, namun dia enggan dan bertindak agresif.

"Suspek kemudiannya mengugut untuk menetak dan mencederakan ibunya yang berusia 72 tahun. Suspek turut meletakkan parang di tengkuk mangsa dan menuntut pihak polis untuk beredar.

"Pihak polis secara berhati-hati, memotong pintu jeriji yang dikunci dari dalam oleh suspek menggunakan pemotong besi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, suspek yang menyedari pihak polis berjaya masuk ke rumah, bertindak menolak mangsa sehingga jatuh dan pengsan serta menghayun parang kepada pihak polis yang cuba menangkapnya.

"Atas faktor ancaman nyawa yang dihadapi oleh anggota polis, satu das tembakan dilepaskan ke arah suspek dan terkena di bahagian bahu kiri. Suspek rebah ke lantai dan mangsa berjaya diselamatkan.

"Pihak polis bertindak menghubungi ambulans ke tempat kejadian bagi membantu suspek dan mangsa yang cedera.

"Walau bagaimanapun, suspek disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan setibanya di lokasi," katanya.

Menurutnya, bedah siasat terhadap suspek dijalankan pada hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh serta kematian mengejut (SDR).

"Suspek adalah duda dan bekerja sebagai buruh kampung yang mengusahakan kebun sawit seluas satu ekar milik keluarga di belakang rumah ibunya.

"Hasil siasatan awal mendapati, suspek memiliki dua rekod jenayah lampau melibatkan dadah," katanya.

Tiada ulasan: