Muhaimin Sulam
Sewaktu catatan ini ditulis, saya berada di negeri Serambi Mekah. Tanah serendah sekebun bunga ini nampaknya tidak lagi mewangi, bahkan layu.
Bulan tidak mengembang tapi suram dan kelam. Tengah harinya hujan panas diikuti petang yang mendung.
Dalam cuaca begini, ingatan pada kenangan lama kepada PAS dan Kelantan memaut kuat. Dan tidak ada salahnya untuk berfikir begitu.
Kadang-kadang sejarah itu sifatnya peribadi. Tiada siapapun boleh mencabutnya dari ingatan. Hanya orang yang tiada sejarah dengan PAS dan berfikiran jumud, dangkal serta dungu akan berasa cemburu.
Sejarah saya bersama PAS adalah jejak yang sarat dengan onak, duri dan api. Sebenarnya ia adalah kenangan indah untuk dikenang-kenangkan selain mencetuskan seribu satu idea dalam berkarya.
Justeru mungkin tulisan ini sedikit berbaur romantisme pada mengundang anggapan kononnya saya ingin kembali kepada PAS. Romantisme memang mempunyai ciri-ciri emosi dan peribadi serta penyanjungan pada sejarah.
Ia merupakan tindak balas kepada perubahan besar yang berlaku akibat pemusnahan norma-norma yang lama wujud dalam masyarakat atau kelompok, sama halnya seperti PAS yang kehilangan wajah serta rohnya.
Politik tanah air kini dipenuhi dengan watak-watak jahat yang bertopengkan agama dan bangsa. Rakyat kebanyakan pula terus hanyut dan tenggelam bersama kemiskinan material dan jiwa.
Oleh itu gerakan romantisisme wujud dalam pemikiran pemimpin yang sedar tentang kepentingan akar pejuang bangsa dan agama. Watak-watak pemimpin seperti Burhanuddin al-Helmy, Zulkifli Muhammad, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Fadzil Noor dan lain-lain mulai mengamit kenangan dalam fikiran masyarakat kini.
Karya dan sejarah mereka kembali ditelaah dan dibahaskan sama ada secara ilmiah, santai di media massa ataupun di bilik kuliah universiti.
Lambaian dedaunan kelapa
Tulisan ini adalah sebahagian kecil daripada karya gerakan romantisisme yang wujud dalam masyarakat pada hari ini. Apakah gerakan romantisisme akan mengembalikan masyarakat kepada masa lalu? Tidak.
Gerakan ini hanya bertujuan menyedarkan masyarakat tentang keperluan menilai kembali pemikiran dan tindakan pada hari ini.
Biasanya kalau dahulu jika balik kampung ke Kota Bharu, saya solat Subuh di Masjid Pulau Melaka, dan mencari buku di kedai Jaafar Rawas, minum teh tarik di kedai sebelah Pejabat PAS Kelantan.
Bukan sangat kerana tuntutan perut tetapi lebih kepada mahu menghimbau kenangan lama.
Kemudian pergi ke pejabat Harakah yang tidak jauh dari Pasar Siti Khadijah untuk berjumpa wartawan Mazlan Jusoh dan Kak Salmah. Kemudian mendengar kuliah Maghrib di Masjid Langgar.
Saat kapal terbang AirAsia melabuhkan tayarnya, bangunan Putik kelihatan di celah-celah daun kelapa yang bagai menggamit kenangan bermuktamar atau berkonsert di situ suatu waktu dahulu. Pokok kelapa di tepi lapangan terbang masih setia di situ.
Di bangunan itulah - pada 2002 - almarhum Ustaz Fadzil Noor melambai tangannya ke arah kami yang sedang berada di pentas. Itulah lambaian dan senyuman terakhirnya kepada kami. Saat itu tidak akan dapat dilupakan oleh kami selagi bernyawa.
Manakan tidak, beliau adalah 'baba' kami sang pemuda zaman.
Pada 1986, kami mahasiswa Universiti Malaya (UM) berkampung dua minggu di Kelantan. Kami dipecah-pecahkan kepada beberapa pasukan terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Saya di Pasir Mas.
Misi kami besar iaitu menentang 'mustakbirin' BN dan memenangkan 'Islam.'
Pada tahun itu PAS mencatat sejarah apabila meletakkan calonnya yang paling ramai sepanjang.
Di Pasir Mas, kami membantu Ustaz Ismail Noh yang bertanding di kawasan parlimen itu. Dia ialah pensyarah Akademi Islam UM dan merupakan naqib usrah umum kami di universiti itu.
Kami tidak hadir kuliah dan kelas tutorial sepanjang kempen berlangsung. Perjuangan dan jihad wajib diutamakan.
"Kita sudah menang!"kata seorang pemimpin yang bersemangat. PAS menghantar calon untuk bertanding di hampir semua kerusi yang ada. Pendekatan itu dianggap sebagai melunasi tanggungjawabnya sebagai jemaah Islam.
Itulah 'kemenangan' iaitu menyelamatkan umat Islam daripada mengundi orang kafir dan sekutunya.
Kami ditarbiyah bahawa tanpa syak, Allah sentiasa bersama perjuangan PAS. Jarang dinilai kenyataan yang sebaliknya, bahkan jangan sesekali cuba meraguinya.
Tidak berniat salahkan sesiapa
Sesudah kami berijtimak di serata tempat, memperingati tragedi Memali, detik cubaan merampas Muasasah Darul Ulum, isu ladang udang Kerpan dan lain-lain, PRU adalah waktu untuk menjatuhkan rejim secara demokratik.
Namun saat perjalanan pulang ke UM selepas waktu mengundi tamat, radio dalam bas yang kami sewa menyiarkan keputusan satu persatu kerusi yang ditandingi.
Ia hanya dimenangi oleh calon-calon BN. Kami lalu mengalah kepada kantuk yang ditahan sejak sekian lama. Malam itu kami semua kembali ke kampus di Lembah Pantai dalam sepi dan tanpa mimpi.
Esoknya kami kembali berkuliah dan berusrah seperti biasa. Muhasabah berjalan bukan untuk menuding kesalahan pada orang lain bagi menanggapi kekalahan paling teruk PAS dalam sejarah PRU.
Kelantan kekal di bawah BN. PAS hanya menang satu kerusi parlimen dan dua kerusi DUN.
Sebagai anak muda, kami bukan hendak berpolitik. Kami mahu berjuang, melawan dan menentang kezaliman. Kami diajak menggempur pemikiran asabiyah dan madiyah. Kamilah pemuda 'hizbullah' dan pemecah mata rantai mustakbirin.
Kamilah ansarallah, juga mustadafin yang bersatu atas slogan "tidak Barat, tidak Timur', wehdah Islamiyah. Kalah teruk pun tidak mengapa. Kami pasrah dan reda.
Antara pertengahan dan penghujung 1980-an dakwah siasah PAS diperluaskan. Sempadan agama, etnik, kaum dan wilayah dirungkai. Majlis Perunding Cina (CCC) ditubuhkan sebagai jambatan kepada masyarakat bukan Islam.
Kamipun diajak belajar mendekati masyarakat bukan Melayu.
Kemudian PAS menyeberang Laut China Selatan. Merasalah sukarnya bermudik di Sungai Rejang. PAS menubuhkan cawangan di sana dan akhirnya bertanding di Borneo.
Itu memang tanggungjawab sebuah jemaah Islamiah.
Kami pun ke Sabah dan Sarawak berkempen bagi memperkenalkan PAS kepada masyarakat setempat.
Tidak salah merindui PAS. Tapi PAS yang dulu, bukan yang sekarang.
MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional dan pernah menjadi Setiausaha Perhubungan PAS Perak di bawah tiga pesuruhjaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan