Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di laluan menuju ke Pos Orang Asli menyebabkan penduduk terputus hubungan. FOTO Ihsan Penduduk
Gua Musang: Tanah runtuh yang berlaku sejak tiga hari lalu menyebabkan lebih 2,500 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di tiga pos di daerah ini terputus hubungan untuk keluar.
Penempatan yang terbabit adalah Pos Balar dan Pos Bihai dihuni 2,000 penduduk dan Pos Tuel didiami seramai 500 penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, kejadian tanah runtuh yang berlaku di Bukit Pasir pada Isnin lalu menyebabkan sekumpulan Orang Asli yang ingin pulang ke rumah terpaksa berjalan kaki.
"Setakat ini saya dapati satu kawasan berlaku tanah runtuh iaitu di Bukit Pasir, di sini.
"Kejadian berlaku pada awal pagi, menyebabkan penduduk yang ingin pulang terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke rumah mereka dengan membawa bersama barangan untuk sambutan menyambut Hari Krismas.
"Semalam beberapa penduduk cuba untuk membersihkan jalan bagi membolehkan kenderaan pacuan empat roda yang terkandas melaluinya namun tidak berjaya kerana keadaan tanah yang basah," katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.
Manakala bagi penduduk Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud, 39, pula berkata, kejadian tanah runtuh yang berlaku Isnin lalu menyebabkan penduduk terputus hubungan.
"Semua kenderaan tidak dapat masuk ke perkampungan kami. Sudah dua hari kami tidak mendapat rangkaian internet berikutan diesel yang menghidupkan pencawang internet sudah kehabisan.
"Situasi ini menyebabkan kami tidak dapat berhubung sekiranya berlaku kecemasan atau ada penduduk yang perlukan rawatan segera," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan