"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bebanan, tanggungjawab kini terletak di bahu Dr Mujahid

HarapanDaily.com

BORHAN AHMAD 

Konvensyen AMANAH 2023 melabuhkan tirai dengan membentuk barisan kepimpinan baharu walaupun tidak berapa baharu. Ini kerana muka-muka lama kekal memimpin parti yang dikira mengamalkan Islam progresif itu.

Yang baharu adalah perlantikan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebagai timbalan presiden bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia secara mengejut tahun ini.

Salahuddin pergi dengan meninggalkan brand besar kepada Kerajaan Perpaduan berasaskan Malaysia Madani ini iaitu ‘Rahmah’. Rahmah juga memberikan kesan besar kepada AMANAH. Ini kerana, brand ini dilihat melata di seluruh pelusuk rakyat negara ini. Bila sebut rahmah, orang akan teringat Salahuddin, menteri dari AMANAH yang memperkenalkan rahmah ketika rakyat memerlukan pembelaan.

Mohamad Sabu akan menghabiskan penggal terakhir beliau selaku Presiden AMANAH. Selepas tiga tahun, beliau perlu berhenti menjadi presiden kerana itulah perlembagaan parti itu, pemimpin hanya boleh memegang jawatan tiga penggal atau 9 tahun sahaja.

Dengan pemilihan Mujahid selaku timbalan presiden, masa depan AMANAH akan terletak banyak di bahu Mujahid. Ini kerana, ini adalah penggal transisi antara Mohamad dan beliau. Jika beliau berjaya menunjukkan pencapaian yang dikehendaki oleh ahli, Mujahid, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas ini akan ditabalkan sebagai presiden AMANAH tiga tahun lagi.

Perlantikan Mujahid selaku presiden berlaku ketika beliau mendapat undi ke empat selepas Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan), Khalid Samad (Pengarah Komunikasi) dan Azli Yusof (Ahli Parlimen Shah Alam).

Mendapat kedudukan ke empat dalam pemilihan tidak bermakna beliau tidak layak menjadi orang nombor dua parti itu. Ini kerana, Mohamad dahulu dilantik menjadi orang nombor satu walaupun berada di kedudukan nombor tujuh dalam senarai pemimpin yang dipilih oleh perwakilan.

Bahkan dalam pemilihan kali ini, Mohamad berada di kedudukan ke lapan dalam susunan pemimpin yang dipilih perwakilan. Namun Mohamad tetap dipilih oleh 30 pemimpin yang terpilih untuk kekal sebagai presiden.

Mohamad dipilih kerana beliau adalah orang yang mempertahankan jawatan. Ketika pertama kali dilantik sebagai pemimpin utama AMANAH, juga kerana faktor itu yang menjadi keutamaan. Mohamad adalah bekas timbalan presiden Pas ketika AMANAH berpecah dengan parti itu.

Timbalan dan presiden AMANAH. Kini Mujahid perlu buktikan kemampuan beliau memimpin parti Islam progresif.

Sebagai pemimpin paling kanan, beliau mendapat sokongan penuh untuk memimpin AMANAH kerana sebahagian besar pemimpin parti itu adalah dari Pas.

Berbeza dengan Mujahid. Beliau dilantik sebagai pemimpin ketika dua pemimpin kanan parti itu mendapat undi yang lebih dari beliau iaitu Dr Dzulkefly dan Khalid. Kedua-duanya layak menjadi presiden AMANAH.

Namun, saya yakin kedua-dua bersetuju memberikan laluan kepada Mujahid. Mujahid kena faham perkara ini.

Ketika para perwakilan AMANAH sibuk berkempen menjelang pemilihan kali ini, saya banyak menerima mesej dari pihak yang juga cuba mempengaruhi pandangan saya dalam pemilihan kali ini.

Hujjah utama mereka adalah untuk meletakkan pemimpin yang berpendidikan tinggi memimpin parti Islam progresif itu. Mereka juga berkempen untuk meremajakan parti. Kempen dibuat dengan penuh hemah kerana Perlembagaan AMANAH menetapkan pendekatan secara syura dibuat untuk proses pemilihan parti itu. Perwakilan hanya perlu memilih 27 calon sahaja. Mereka bersama tiga ketua sayap yang akan membuat keputusan siapa harus memimpin parti itu.

Dalam kempen itu, Mujahid ditonjolkan sebagai calon untuk menggantikan Mohamad. Usaha dibuat untuk mempastikan mereka yang menyokong Mujahid menguasai majoriti kepimpinan parti itu.

Namun, dalam beberapa mesyuarat dan pertemuan, saya jelaskan, Mohamad mempunyai peluang besar untuk kekal kerana ini adalah penggal terakhir beliau selaku presiden selepas selesai dua penggal.

Pemimpin yang terpilih akan mempertahankan Mohamad selaku pemimpin kerana ini penggal terkahir beliau. Calon lain, jika ada bolehlah berada dalam proses transisi bukannya terus mengambil alih kedudukan Mohamad sebagai presiden.

Kini ia benar-benar berlaku. Mohamad kekal sebagai presiden dan Mujahid menjadi timbalannya.

Bebanan besar kini terletak di bahu Mujahid. Beliau telah diberikan peluang untuk menjadi orang nombor dua parti. Jika beliau gagal membawa AMANAH ke tangga yang lebih baik, pemimpin yang lebih popular (mendapat undi yang lebih besar) akan melawan beliau nanti.

Pengalaman beliau semasa menjadi menteri agama perlu dijadikan pengajaran dan sempadan dalam semua tindakan beliau selepas ini.

Selamat mendayung aduhai bakal presiden AMANAH.

Tiada ulasan: