Agensi
KERETA berkenaan ditemukan oleh mangsa. FOTO Agensi
Washington: Mayat seorang individu yang dipercayai ada kaitan dengan kes orang hilang di Missouri pada 2013, ditemukan baru-baru ini, dengan bantuan YouTuber, menurut Pejabat Syerif Camden County.
CNN melaporkan, dalam satu hantaran berita, pejabat syerif itu memaklumkan, James Hinkle, seorang juruvideo tempatan yang mengendalikan saluran YouTube, Echo Divers, ternampak sebuah kenderaan yang tenggelam di dalam kolam persendirian ketika melakukan rakaman dengan dron.
Hinkle melakukan pencarian di kawasan itu untuk mendapatkan petunjuk yang berkaitan dengan kehilangan Donnie Erwin, 59.
Lelaki itu dilaporkan hilang dari Camdenton, Missouri, pada Disember 2013.
"Apabila saya mendapat tahu bahawa Donnie adalah seorang veteran tentera dan tinggal satu setengah jam dari rumah saya di Clinton, Missouri, saya tahu saya boleh membantu pencarian," kata Hinkle, yang menyelia pasukan mencari dan menyelamat selam skuba, kepada CNN, melalui Facebook.
Menerusi hantaran berita pada 16 Disember, pejabat syerif itu berkata, penyelam mengesahkan nombor plat kenderaan itu sepadan dengan nombor pendaftaran kereta milik Erwin.
Bagaimanapun, tiada mayat dilaporkan ditemukan.
Pada hujung minggu menjelang sambutan Krismas, pihak berkuasa membawa masuk anjing pengesan ke kawasan itu.
Ahad lalu, penyelam menemukan mayat manusia yang sepadan dengan Erwin, lapor Pejabat Syerif Camden County.
"Walaupun pakar patologi forensik perlu memeriksa mayat untuk menentukan dengan pasti sama ada ia adalah milik Erwin, penyiasat yakin mayat itu adalah miliknya," kata pejabat syerif.
Menurut pemakluman orang hilang, Erwin kali terakhir dilihat pada 9.30 pagi, 29 Disember 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan