"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aktivis, siswa, parti politik 'kepung' kedutaan AS mulai esok

Malaysiakini

Aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), gerakan mahasiwa dan parti politik - termasuk PAS dan DAP - akan mengadakan perhimpunan yang dinamakan 'Kepung Demi Palestin’ di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mulai malam esok.

Aksi selama enam hari itu merupakan respon terhadap tindakan Amerika yang berterusan menggunakan kuasa veto untuk mensabotaj usaha perdamaian di Palestin.

"Aksi bertindak ini akan diadakan secara aman. Kami akan membuka khemah dan tinggal di khemah sepanjang piket, selain mengadakan acara-acara solidariti setiap malam, dan memasang bendera dan simbol perjuangan rakyat Palestin.

"Kami juga merancang satu himpunan mega diadakan sebagai grand finale pada 31 Disember sebagai acara penutup," kata Sekretariat Solidariti Palestin dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menamakan 25 NGO, 14 gerakana mahasiswa, dan sembilan parti politikmenyokong piket yang dirancang.

Antaranya termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sisters in Islam (SIS), Bersih, Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia, gerakana-gerakan mahasiswa, Muda, PSM, Pejuang, dan sayap pemuda PAS, PKR, Amanah, Bersatu, dan DAP.

Dalam kenyataan tersbeut, sekretariat itu menuntut Israel menamatkan pembunuhan sewenang-wenangnya terhadap rakyat Palestin termasuk perempuan, kanak-kanak dan bayi; gencatan senjata segera untuk mengakhiri genosid secara kekal dan tanpa syarat; menghentikan pertempuran untuk menangani keperluan segera orang awam di Gaza, baik untuk bantuan mahupun perlindungan; dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk sebuah negara yang berdaulat.

Jumaat lalu, harapan masyarakat dunia untuk menyaksikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengakhiri perang di Gaza menerusi resolusi gencatan senjata gagal apabila badan dunia itu hanya meluluskan resolusi berkaitan bantuan kemanusiaan.

Sebelum ini, Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang resolusi mendesak gencatan senjata di Gaza, dengan UNSC beberapa kali menangguhkan resolusi berkaitan perang di wilayah berkenaan.

Amerika juga sebelum ini memaklumkan gencatan senjata hanya akan memberi ruang kepada Hamas melancarkan lebih banyak serangan ke wilayah Israel.

Angka korban di Gaza dilaporkan kini sudahpun melepasi 20,000 mangsa dengan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak sejak tindakan balas Israel terhadap serangan Hamas pada Oktober lalu.

Tiada ulasan: