"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Bom Raksasa’ meletup di Krasnogorovka

KOSMO!
LETUPAN akibat penggunaan bom raksasa di Ukraine baru-baru ini. - Foto Twitter
MOSCOW – Tentera Russia menggunakan bom pemusnah bersaiz besar yang menghasilkan bola api setinggi 45 meter atau menyamai ketinggian bangunan 20 tingkat, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Bom tersebut berupaya memusnahkan keseluruhan blok perumahan di Ukraine.

Digelar ‘Bom Raksasa’, senjata mega seberat 1,500 kilogram untuk sebutir bom itu menghancurkan sebuah bangunan apabila meletup di Krasnogorovka, dekat Donetsk, baru-baru ini.

Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan pengeluaran besar-besaran bom yang paling berat di dunia itu, FAB-1500-M54 baru-baru ini selepas melihat kekuatannya memusnahkan sasaran.

Satu rakaman video menunjukkan sebutir bom tersebut menyasarkan sebuah bandar di Ukraine dan merempuh sebuah bangunan lapan tingkat.

Rakaman menunjukkan senjata itu meluncur di langit sebelum jatuh di kawasan perumahan yang tenang dan meletup dengan mengeluarkan bola api besar setinggi 20 tingkat.

Bom membawa lebih 675 kilogram bahan letupan itu turut menyebabkan kepulan asap tebal yang menjangkau jauh dan luas ke seluruh bandar itu.

Bom FAB-1500 dilaporkan boleh meluncur sejauh 40 kilome­ter dan mengenai sasaran dengan tepat menggunakan panduan satelit atau navigasi laser.

Apabila mengenai sasaran, bom itu boleh menyebabkan kemusnahan dalam radius 200 meter.

Penggunaan bom tersebut menimbulkan kebimbangan kepada Ukraine kerana saiz bom yang besar dan sukar untuk menghalangnya.

Ketua Tentera Udara Ukraine, Mykola Oleshchuk pertama kali memberi amaran pada November 2023 bahawa Russia sedang melakukan persediaan untuk menempatkan bom FAB-1500 secara besar-besaran.

Pada Februari lalu, Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu dilihat melawat kilang yang bertanggungjawab menghasilkan bom tersebut.

Media pro-Moscow melapor-kan bom itu sedang dalam pengeluaran sejak permulaan perang Ukraine lebih dua tahun lalu tetapi bilangannya telah digandakan.

FAB-1500-M54 dilihat sebagai kemajuan besar pembuatan bom di Russia.

Ini kerana ia adalah yang senjata konvensional terbesar selepas bom KAB-1500 buatan Kesatuan Soviet pada tahun 1970-an.

Putin sebelum ini berkata, beliau mempunyai bom untuk setiap situasi dan telah memberi jaminan kepada dunia bahawa senjata dimiliki Russia mampu melakukan kemusnahan secara besar-besaran.

Sebelum ini, Russia mengumumkan ujian tembakan peluru berpandu balistik Yars yang boleh membawa peledak nuklear.

Video yang dikeluarkan oleh media negara itu, menunjukkan senjata seberat 50,000 kilogram dan sepanjang 22.86 meter itu dilancarkan daripada platform pelancar peluru berpandu mudah alih. – AGENSI

Tiada ulasan: