Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
TERTUDUH (dua dari kanan) didakwa terhadap 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang rekrut di Kem Terendak, tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Melaka: Bekas tentera didakwa atas 17 pertuduhan termasuk 15 kesalahan mencabul rekrut lelaki di Kem Terendak, tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan pertama hingga 15, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang prebet berusia 20 tahun.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kem Terendak, Sungai Udang di sini, pada tarikh dan masa berbeza antara 12 tengah malam 25 Ogos 2023 hingga 6 pagi, 14 Oktober 2023.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ke-16 dan 17, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di tempat sama pada 2 pagi, 15 Oktober 2023 dan pada 3 petang, 16 Oktober 2023.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan RM134,000 bagi semua pertuduhan, namun Peguam S Daniel merayu jaminan rendah, mengambil kira anak guamnya dalam proses pemberhentian kerja dan menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.
Selain itu, tertuduh juga perlu menanggung ibu bapa yang uzur dan memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan kes.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin bermastautin di Melaka.
Selain itu tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa. Kes disebut semula 30 April depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan