"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketagih mencari salah silap orang?

Kalau dah ketagih beri teguran, itu tandanya… – Hasanuddin

AKMAL MANAF

Semua orang berhak memberi teguran atau pandangan berbeza, namun jangan terbawa-bawa sikap sehingga sentiasa mahu mencari salah orang.

Itu nasihat Yang DiPertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dalam program Ruang Bicara, Bernama TV, malam tadi.

Program selama satu jam yang dihoskan oleh Sherkawi Jirim itu membawa tajuk ‘Merungkai Isu Ancaman Pemikiran Neo-Khawarij dan Takfiri’.

Katanya, jika sikap negatif (sering mencari salah orang) itu terbawa-bawa dalam diri, ia memberi makna ‘penyakit’ sudah mula datang kepada individu tersebut.

”Semua ada hak bagi pandangan, tapi jangan pula kita terbawa-bawa sehingga pagi, petang, siang, malam nak cari apa salah orang itu, apa salah kumpulan itu, apa salah jiran kita.

”Tidak salah kalau kita nampak ada kelemahan kemudian kita beri teguran. Tidak salah juga kalau kita nampak ada pandangan berbeza, kemudian kita berikan pandangan kita pula.

”Tetapi apabila ia telah menjadi satu ketagihan, nampak saja muka orang itu kemudian terlintas nak cari salah dia, itu tandanya ‘penyakit’ mula datang,” ujar beliau sambil berkata tidak mahu melihat hati rakyat di negara ini ditanam dengan sikap negatif tersebut.

Dalam pada itu, Hasanuddin turut mengambil contoh mengenai arena politik tanah air melibatkan kedua-dua blok, iaitu kerajaan dan pembangkang.

”Minta maaf kalau saya cakap seperti teman-teman pembangkang di parlimen, mereka pembangkang bukan bermaksud kerjanya untuk menurunkan kerajaan.

”Atau di pihak kerajaan pula, fikir macam mana hendak menjaga kuasa agar tidak terlepas. Saya cakap untuk dua-dua pihak ya, bukan satu pihak sahaja.

”Pembangkang fikir macam mana nak jatuhkan kerajaan. Blok kerajaan pula fikir macam mana nak kekalkan kuasa untuk lima atau 10 tahun akan datang. Ini juga merupakan elemen yang tidak sihat.

”Apabila jadi pembangkang, berikan teguran jika ternampak sebarang kelemahan (pihak kerajaan) dan kalau ada kebaikan daripada pihak kerajaan, berikan penghargaan. Maka suasana harmoni akan bermula,” ujar Hasanuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Langat.

Beliau juga sempat menjelaskan bahawa tajuk yang dibincangkan dalam program berkenaan bukan untuk menuding jari kepada sesiapa yang dimaksudkan.

Malah katanya, tujuan tajuk itu dibincangkan kerana mengambil iktibar pada zaman Rasulullah SAW bahawa terdapat protes dalam keadaan tidak dapat mengawal diri.

Tiada ulasan: