"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Whattt MyKad, lesen memandu Malaysia ditemui di medan perang Ukraine-Russia?

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Wisma Putra belum dapat mengesahkan kesahihan tentang gambar tular menunjukkan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu milik rakyat Malaysia yang dilaporkan ditemui di medan perang Ukraine-Russia.

Kementerian Luar menyatakan pihaknya sudah mengambil maklum mengenai laporan yang mengatakan MyKad dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dijumpai di Levadne, Zaporizhia itu.

"Buat masa ini, kami tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut. Maklumat tersebut juga telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan.

"Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdapat juga dakwaan di media sosial bersama gambar-gambar itu, mendakwa ia milik seorang rakyat negara ini yang tidak dapat dipastikan statusnya sama ada terbunuh atau ditahan tentera Russia.

Berdasarkan pemerhatian ke atas salah satu gambar yang tular, lesen memandu itu milik seorang individu beralamat di sebuah negeri di utara Semenanjung dan ia sah sehingga Februari 2025.

Pada Januari lalu, media pernah melaporkan ada rakyat Malaysia didakwa menjadi askar upahan Russia dalam perang Russia- Ukraine. Bagaimanapun ia dinafikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Kementerian Luar dalam kenyataan sama itu turut menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing.

"Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyemak kesahihan maklumat terbabit.

"Buat masa ini PDRM sedang menyemak sama ada ia benar atau sebaliknya dan kita juga berhubung dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan maklumat," katanya

Tiada ulasan: