"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Myanmar maut dengan kesan tikaman

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
Anggota polis membawa keluar mayat seorang lelaki warga Myanmar yang maut dengan kesan tikaman di kepala dalam kejadian di sebuah asrama kilang barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Anggota polis membawa keluar mayat seorang lelaki warga Myanmar yang maut dengan kesan tikaman di kepala dalam kejadian di sebuah asrama kilang barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Bukit Mertajam: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui maut dengan kesan tikaman di kepala dalam kejadian di sebuah asrama kilang barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, di sini, pagi tadi.

Insiden kira-kira jam 9 pagi itu disedari majikan mangsa yang pergi membuat pemeriksaan di tingkat atas premis menempatkan asrama pekerja terbabit selepas tiada seorang pekerjanya datang bertugas.

Majikan mangsa terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, sepasukan polis bersama Unit Anjing Pengesan (K-9) pergi ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebelum menemui senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa di kawasan berhampiran.

Difahamkan, mangsa tinggal di asrama itu bersama enam rakan senegaranya, namun kesemua mereka melarikan diri sejurus kejadian.

Menurut sumber, mangsa dipercayai dibunuh disebabkan perselisihan faham dengan rakannya.

Setakat ini, 11 suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes itu nanti.

Tiada ulasan: