Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Melaka: Remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas disyaki cuba menyamun dan merogol seorang wanita pekerja spa di sebuah premis di Taman Bachang Utama, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan di sebuah rumah pangsa di Taman Merdeka tengah malam tadi oleh sepasukan polis Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bersama anggota Task Force Balai Polis (BP) Batu Berendam susulan laporan dibuat mangsa iaitu pengadu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan mangsa menyatakan seorang lelaki tidak dikenali datang ke spa tempatnya bekerja dan bertanyakan pakej rawatan untuk rakan wanitanya yang dalam perjalanan ke premis itu.
Menurutnya, selepas diberitahu mengenai rawatan disediakan, suspek masuk ke dalam spa sebelum bertindak menutup mulut pengadu dengan tangan dan menariknya ke bilik rawatan.
"Suspek kemudian meminta wang dan memegang tangan pengadu dengan kuat yang mana pengadu itu cuba melawan untuk melepaskan diri.
"Suspek cuba merogolnya, namun dia melawan serta menjerit meminta tolong menyebabkan lelaki itu melarikan diri.
"Pengadu kemudian menghubungi majikan dan memberitahu kejadian dan diarah mengunci pintu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, beberapa minit kemudian pengadu terdengar loceng dan pintu premis dibuka yang mana suspek sekali lagi cuba membuat perkara tidak elok terhadapnya.
"Suspek bagaimanapun melarikan diri apabila wanita itu menghubungi majikannya," katanya.
Menurut Christopher polis turut merampas topi keledar, kunci motosikal dan motosikal yang dilaporkan hilang daripada suspek yang direman tujuh hari bermula hari ini.
Katanya, hasil soal siasat suspek mengaku terbabit kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 376/511 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan